Insan & Komuniti 27 Apr, 2021

Video| Dua kawan bukan Muslim Daud Kim ikut berpuasa! Selepas empat hari puasa, ini kata mereka!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this

Daud Kim (duduk kanan), Brian (duduk kiri) dan Michael (berdiri) berbuka puasa dengan kurma selepas Daud membaca doa buka puasa di sebuah restoran. - Kredit foto: YouTube Daud Kim


SUDAH lebih 2 minggu umat Islam di seluruh dunia berpuasa pada bulan Ramadan 1442H/2021M ini. Rata-rata umat Islam di mana sahaja menunaikan ibadat puasa dengan penuh ikhlas demi tuntutan agama. Bagi individu yang dilahirkan Muslim dan tahu hal agama, adalah sesuatu pelik jika sengaja tidak berpuasa.

Malulah sedikit kepada bukan Muslim yang mengetahui mengenai ibadat yang sedang umat Islam kerjakan pada bulan Ramadan. Tanpa kita sedar, ada bukan Muslim memandang hormat dan kagum dengan kemampuan umat Islam berpuasa sebulan, tidak makan dan minum walau setitik air seharian suntuk.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Daud Kim

Setelah dimaklum perbuatan melaga botol air dan menyebut `cheers` tidak boleh, mereka melagakan buku lima (tangan) untuk menunjukkan keseronokan kejayaan berpuasa sehingga waktu berbuka. - Kredit foto:  YouTube Daud Kim. 


Segelintir bukan Muslim kagum melihat ketabahan umat Islam berpuasa tanpa menunjukkan sebarang perubahan dalam kehidupan seharian. Mereka tetap menjalankan kerja harian seperti biasa, masih boleh senyum, berbual dan tidak tewas dengan ujian makanan yang ada di sekitar.

Hatta sewaktu melihat rakan bukan Muslim sedang makan, umat Islam yang ikhlas berpuasa tidak terliur sampai nak membatalkan puasa dan mereka tidak pantas terpedaya untuk menyentuh makanan yang disuakan oleh rakan-rakan bukan Muslim. 


Daud Kim disapa oleh ramai yang mengenalinya sewaktu berada di masjid. - Kredit foto: YouTube Daud Kim.


Pada masa sama, ada juga bukan Muslim yang berasa seronok untuk turut berpuasa, terutamanya (kalau di Malaysia) kerana mereka tahu waktu berbuka ada banyak pilihan makanan yang sedap-sedap disediakan terutama di hotel atau restoran yang menyediakan hidangan bufet. Sesetengahnya seronok dengan adanya bazar Ramadan.


Daud Kim dan dua rakannya yang bukan Muslim diundang (oleh seseorang yang baru mereka kenali di masjid), untuk makan di restoran selepas solat. - Kredit foto: YouTube Daud Kim


Kali ini penulis menyorot kisah individu bukan Muslim yang turut berpuasa. Kalau kita layari internet atau YouTube kita dapat tonton banyak perkongsian pengalaman mereka berpuasa pertama kali pada bulan Ramadan.

Saudara baru atau pun mualaf, Youtuber dari Korea Selatan Daud Kim, telah mengutarakan topik berpuasa menjelang Ramadan berkait kewajipan amalan itu dalam Islam. 

Buat yang belum mengenalinya, Daud Kim adalah Youtuber mualaf tersohor yang istiqamah dalam menghasilkan konten berkisar Islam dan kehidupannya sebagai Muslim di Korea Selatan.


Percubaan Brian dan Michael makan dengan tangan buat pertama kali sewaktu iftar. Kredit foto: YouTube Daud Kim


Sewaktu menjadi tamu YouTube, dua rakan iaitu Brian dan Michael kelihatan teruja mendengar kupasan Daud Kim mengenai tujuan dan hikmah berpuasa, sehingga menimbulkan minat mereka untuk merasai pengalaman berpuasa.

Memang benar, apabila tiba Ramadan ini, mereka betul-betul berpuasa, siap bersahur dan memastikan mengambil makanan yang halal sahaja. Kisah mereka berpuasa boleh ditonton di saluran YouTube Daud Kim, dalam video bertajuk, "Korean Guys Try Fasting For the First Time | Ramadan VLOG #3".


Daud Kim, Brian dan Michael dibelanja makan nasi beriani di restoran. - Kredit foto: Youtube Daud Kim


Video itu dimulakan dengan aktiviti Brian bersahur untuk persediaan berpuasa. Selepas hari keempat mereka berpuasa, Daud Kim membuat satu video mengisahkan pengalaman dua rakannya itu. Kepada soalan Daud Kim bagaimana perasaan berpuasa, Brian berkata, "tidaklah terlalu sukar", manakala Michael  mengaku "sukar sedikit kerana tak dapat minum air".


Sewaktu menuju ke masjid. Brian dan Michael ingin turut serta untuk melihat masjid dan bagaimana orang Islam solat. - Kredit foto: YouTube Daud Kim


Michael menerima hakikat manfaat berpuasa, iaitu menjadikan dalaman tubuh rasa bersih dan fikiran segar. Sementar Brian berkata, "My body is hard, but my brain works so well  -  fikiran berfungsi dengan baik tetapi tubuh 'hard' mungkin dimaksudkan sebagai teruji. Daud kemudian menghuraikan keadaan itu sebagai `detox`.


 Aktiviti solat di masjid. - Kredit foto: YouTube Daud Kim


Tambah Daud Kim lagi,  mengamalkan ibadat puasa Ramadan bukan sahaja mengenai tidak boleh makan dan minum, tetapi tujuan untuk `refresh` minda, menilai diri sendiri, memikirkan mengenai kebajikan jiran, dan yang penting ingat pada Yang Maha Pencipta yang memberikan segalanya dan dengan itu kita sedar untuk sentiasa menghargai-Nya.


Brian (kanan) gembira dapat melalui pengalaman berada di masjid. - Kredit foto: YouTube Daud Kim.


Pertama kali dapat mengunjungi masjid, mereka sangat teruja. Usai solat, komen Michael, dia terasa ingin ikut solat sebab terasa tidak hormat hanya berdiri di masjid melihat orang lain solat. Brian juga ingin ikut solat tetapi katanya, dia bimbang dianggap tidak menghormati kerana dia bukan Muslim, sambil kemudian menyoal Daud bolehkah kalau dia nak turut sembahyang? Daud Kim memberitahu boleh, sebab dia juga berpuasa dan solat sewaktu baru hendak mendekati Islam dan ketika itu dia juga belum Muslim.


Brian merakam suasana sewaktu dia bersahur.  - Kredit foto: Youtube Daud Kim


Sewaktu diuji dengan dugaan untuk menjatuhkannya pada tahun lalu (2020), Daud Kim hilang ramai kawan Muslim yang sebangsanya yang juga Youtuber.  Ramai antara mereka tidak lagi membuat konten berkaitan Islam tanpa memberitahu sebab, dikhuatiri berpunca daripada tuduhan netizen mengatakan mereka membuat konten Islam semata-mata kerana wang. 


Daud Kim (tengah) menemu bual dua rakannya yang bukan Muslim, mengenai pengalaman mereka berpuasa. - Kredit foto: YouTube Daud Kim


Hilang ramai kawan, Allah gantikan Daud Kim dengan ramai kawan baru. Pengikut Daud Kim mendoakan dua rakannya yang belajar berpuasa itu agar mendapat hidayah. Selain menyantuni kawan dengan berbuka puasa bersama-sama di luar, Daud Kim juga menjemput kawan Muslim berbuka di rumah. Dia nampaknya sangat seronok menjalani ibadat puasa, aktif bersilatulrahim dengan jemaah di masjid dan menyantuni pengikut yang menegurnya apabila terserempak. - KitaReporters


4
0
0
0
0
You will be interested