Insan & Komuniti 21 Jan, 2021

Bantuan persekolahan untuk anak-anak yatim! YIDE, Central Sugars Refinery tampil beri bantuan

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

MISI sumbangan bantuan kelengkapan persekolahan sesi 2021 yang disampaikan para penyumbang bertujuan memberi kemudahan kepada anak-anak yang bakal menerimanya, lebih-lebih lagi mereka daripada kalangan kurang mampu. Selain itu, harapan juga tentunya semoga menjadi pendorong mahupun suntikan untuk mereka terus gigih berusaha mencapai kejayaan dan peningkatan cemerlang dalam bidang pendidikan. : KitaReporters


Dua orang anak-anak Rumah Anak Yatim seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menerima sumbangan beg galas antara peralatan kelengkapan sekolah sesi 2021.Kredit Foto : FB YIDE.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan YIDE:

https://kitareporters.com/search?search=yayasan+islam+darul+ehsan


Bagi tujuan itu, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama badan-badan NGO mahupun syarikat-syarikat korporat setiap tahun mengadakan program sumbangan bantuan kelengkapan sekolah kepada anak-anak yatim, anak-anak golongan asnaf dan pelajar miskin di bawah kategori B40.

Untuk sesi persekolahan 2021 yang bermula, pihak YIDE turut mengagihkan kelengkapan persekolahan bagi anak-anak di 17 buah Rumah Anak Yatim di bawah seliaan agensi itu di seluruh Selangor.


Empat orang anak-anak penerima bantuan peralatan kelengkapan sekolah sesi 2021 bergambar kenangan bersama para pegawai Yayasan Islam Darul Ehsan dan wakil Central Sugars Refinery selepas majlis pengagihan yang berlangsung di Kuang, Selangor.


Sejumlah 588 orang anak-anak yatim dan miskin yang terpilih dan tinggal di rumah-rumah anak yatim berkenaan menerima sumbangan set kelengkapan sekolah termasuk pakaian seragam, kasut, stokin, tudung, beg galas dan peralatan menulis.   

Majlis pengagihan yang diadakan pada Selasa 12 Januari 2021 itu berlangsung di Rumah Pertubuhan Kebajikan Ehsan As Shakur (PEKEAS) dan Rumah Kebajikan Anak Yatim Damai, Kuang, Selangor dengan kerjasama syarikat Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).

Majlis yang berlangsung dalam suasana ringkas tetapi penuh makna khusus bagi anak-anak penerima sumbangan  bantuan tersebut turut dimuat naik pada laman sosial YIDE.

YIDE pada majlis itu diwakili Pengurus Besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah dan Pemegang Amanah YIDE, Mohd Salim Sain.


Terpancar keriangan pada wajah anak-anak daripada Rumah Anak Yatim seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan yang terpilih menerima sumbangan bantuan kelengkapan dan peralatan sekolah bagi sesi 2021.


Melalui usaha ini diharap mampu menjadi penyuntik semangat kepada anak-anak penerima sumbangan bantuan kali ini untuk terus gigih berusaha memajukan diri dibidang pelajaran yang menjadi aset bila dewasa nanti.

Nur Mohd Razali dalam kenyataannya, di samping mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada pihak CSR dan penyumbang-penyumbang lainnya, berharap anak-anak penerima antara golongan bertuah terpilih memanfaatkan bantuan itu dengan sewajarnya.

Sehubungan itu, katanya, jadikanlah sumbangan yang diterima sebagai inspirasi ke arah menyuntik meningkatkan kemajuan diri khusus dibidang pelajaran yang bakal menjadi bekalan masa hadapan. - KitaReporters 



Sebahagian anak-anak daripada Rumah Anak Yatim di bawah seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan yang menerima sumbangan bantuan kelengkapan peralatan sekolah bagi sesi 2021.

0
0
0
0
0
You will be interested