PADA usia 21 tahun kita kalau sudah dapat memegang komisen lebih RM8k sebulan, itu adalah satu pencapaian yang baik bagi seorang anak muda yang baru belajar menapak dalam bidang perniagaan terutama membabitkan bidang menginfak atau mewakafkan al-Quran oleh orang ramai kepada anak-anak di semua pusat pengajian pondok dan sekolah tahfiz di seluruh negara.
Konsep beli dan wakaf ini banyak dilakukan oleh pengendali umrah apabila jemaah diberi tawaran untuk mewakafkan kitab suci al-Quran ketika berada di Mekah dan Madinah untuk tujuan pahala bagi anggota keluarga dengan bayaran, selalunya tidak sampai pun RM100. Dan kitab itu akan dijadikan bahan bacaan kepada pengunjung masjid di kedua-dua kota suci itu, sementara menunggu masuk waktu solat.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan al-Quran
Syed Rahim Syed Omar, mahu berjaya untuk teruskan jejak dakwah syiar Islam melalui wakaf Al-Quran.
Kini konsep wakaf itu yang dikenali Program Kasih Ikhlas AAT (PKIA) diceburi oleh anak muda ini, Syed Abdul Rahim Syed Omar, 21, yang bertanggungjawab mengedar al-Quran dari syarikat penerbitan Ade Azhar Trading (AAT) untuk memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan Al-Quran premium nombor 1 negara untuk edaran ke seluruh dunia.
Daripada asalnya seorang pelajar dalam bidang kulinari di sebuah institut hospitaliti di Seremban, Syed Rahim memilih untuk memasuki bidang perniagaan al-Quran kerana di samping belajar berniaga dia mahu mengumpul pahala akhirat kerana berasa itulah perniagaan yang melekat di hatinya dalam usaha untuk menjadikannya usahawan muda yang berjaya.
Diuji dari seawal dia menjual naskah pertama al-Quran Ade Azhar Trading itu dengan berdepan dengan kata-kata tohmahan yang pilu apabila disergah oleh golongan tertentu yang menyindirnya sebagai "penunggang agama" kerana mahu mendapat untung dengan "menjual" kitab berkenaan.
"Orang mungkin salah sangka melihat Syed berambut panjang sambil memegang kitab Al-Quran dan menghampiri setiap orang untuk bertanyakan sudikah mereka menginfak atau mewakafkan al-Quran ke tahfiz, hospital, rumah anak-anak yatim dan lain-lain yang dimahukan oleh penderma melalui program Kasih Ikhlas ATT," katanya.
Dia ditemui ketika sedang menghampiri pengunjung-pengunjung Tasik Titiwangsa dan meminta lima minit masa untuk menerangkan tujuannya.
Beliau mempunyai sasaran untuk menyebarkan al-Quran wakaf oleh rakyat negara ini kepada umat Islam ke seluruh dunia kerana bahan penerbitan ATT itu sangat berkualiti tinggi.
Wakaf itu boleh dilakukan dalam dua cara, wakaf ahli keluarga (Wakaf Keluarga) iaitu wakaf yang dikhususnya manfaatnya kepada ahli keluarga yang ditentukan oleh pewakaf, dan wakaf kebajikan (Wakaf Khairi), iaitu wakaf am dan khas.
Program Kasih Ikhlas AAT ini sebelum ini dikenali sebagai Program Infak Insaniah bermula pada tahun 2009 dan selain menghantar kitab al-Quran itu kepada pondok-pondok pengajian, ATT turut menyumbangkan bantuan makanan dan keperluan yang bersesuaian bagi mempelbagaikan infak daripada orang ramai.
Syed Rahim berani mengambil sikap jika ingin "melawan arus" ini kena faham dua sikap sama ada apabila diuji kita jadi orang sedih dan merungut atau gembira dengan setiap ujian kerana cabaran manusia ini membuatkan kita lebih dekat mengenal Allah SWT dan tahu tujuan manusia dijadikan khalifah adalah untuk menyebarkan dakwah termasuk bersedekah dan menyebarkan syiar agama.
Bersama pasukan membina empayar perniagaan Al-Quran.
Dia menyahut pilihan ujian kedua itu dan kini terukir namanya sebagai satu pasukan terbaik, dengan hanya mempunyai tiga orang saja dalam pasukannya, mencapai jualan sebanyak RM80k.
Dan kini setiap bulan, pendapatan yang dikecapinya tidak kurang RM5 sebulan adalah jumlah yang agak banyak untuk seorang anak muda kalau dibandingkan jika dia mula bekerja dengan gaji seorang pemegang diploma.
Anak yatim yang merantau dari kampung halamannya di Dungun, Terengganu adalah anak bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Syed Omar Muhammad yang memilih untuk melupakan minat asalnya dalam bidang masakan selepas mendapati bidang ini sesuai sebagai tapak perniagaan yang bagus untuk berdikari.
Dia mahu menjadi pewaris junjungan baginda Nabi Muhammad SAW kerana bidang perniagaan adalah asas terbaik membina umat Islam yang kaya dan mampu memberi sedekah serta menyumbang balik derma untuk membangunkan umat Islam, terutama anak-anak miskin dan asnaf yang sedang mencari ilmu di sekolah-sekolah pondok yang mahu mendapatkan kitab suci bagi mendalami pelajaran.
Anak bongsu daripada lima beradik ini mengalu-alukan orang ramai atau syarikat tertentu yang sedang mencari al-Quran yang bermutu tinggi untuk diwakafkan kepada anak-anak asnaf dan pusat pengajian tahfiz dengan menghubunginya melalui talian 011-25423742.
"Kerjasama dan sokongan daripada individu yang banyak membantu kerja murni ini bagi golongan yang memerlukan mendapat bantuan bahan ilmiah yang berkualiti dan juga infrastruktur yang dapat memberi keselesaan kepada golongan asnaf, Maahad Tahfiz, sekolah, madrasah dan pondok pengajian.
"Kami juga mengadakan kerjasama dengan rumah anak yatim dan persatuan yang memerlukan bantuan," katanya. - KitaReporters
Maaf Umi... Sapaan lembut Syed Rahim untuk masa lima minit bila berjumpa dengan pengunjung. Dia mahu menjelaskan tujuaan sapaannya itu.