Insan & Komuniti 20 Apr, 2020

PKP: KRT BUKAN AH LONG!! KAMI NAK TOLONG!!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Orang dulu-dulu ada berkata: "Malu bertanya, sesat jalan." Mungkin semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, peribahasa itu boleh diubah kepada kata-kata: "Malu beritahu, macam mana nak bantu." Nasib baiklah ada kumpulan kejiranan yang kekal prihatin dan tetap ambil berat terhadap masalah masyarakat setempat. : KitaReporters

Pengerusi KRT Kasturisari Presint 14, Mahmod Mat Ali. 


“ADA yang malu untuk memaklumkan keluarga mereka terputus bekalan makanan dan sangat memerlukan bantuan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membentaras penularan wabak Covid-19 sejak pertengahan Mac lalu. 

"Tapi berdasarkan data sedia ada dan maklumat group WhatsApp kejiranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari Presint 14, Bandar Sungai Buaya ini, kami berjaya mengesan keluarga terbabit,” kata Pengerusinya Mahmod Mat Ali.

Ahli Jawatankuasa KRT Kasturisari Presint 14, Bandar Sungai Buaya di Rawang, Selangor sedang menyusun barangan keperluan harian sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik.


Beliau ketika dihubungi berkata, hasil kutipan dana daripada pelbagai pihak khususnya jiran tetangga yang berjaya dikumpul, KRT itu membeli beberapa barangan keperluan asas seperti gula, tepung gandum dan susu.

Menurutnya, pembahagian dan penyusunan barang keperluan asas itu dilakukan di Pusat Komuniti KRT oleh ahli jawatankuasa (AJK) KRT berkenaan yang bertungkus lumus memasukkan ke dalam beg plastik sebelum diedarkan kepada 30 keluarga terbabit.


Sebagai mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara, KRT Kasturisari Presint 14, Bandar Sungai Buaya di Rawang, Selangor ini meminta bantuan anggota RELA Bandar Sungai Buaya untuk mengedarkan bungkusan barangan keperluan asas berkenaan kepada keluarga yang sudah dikenal pasti.

Mahmod berkata, KRT berkenaan berasa bangga apabila mendapat kerjasama yang baik daripada jiran tetangga kawasan itu yang senantiasa prihatin dan bersedia menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga yang kesusahan.

Katanya, jika ada keluarga dalam KRT itu atau kawasan perumahan berdekatan yang masih tidak mendapat bantuan bekalan makanan boleh menghubungi beliau atau AJK KRT, yang penting jangan malu.

Menurutnya, setakat ini, stok barangan keperluan asas masih ada dan sumbangan dana juga terus diterima daripada pelbagai pihak yang sudi membantu untuk membolehkan KRT melaksanakan siri kedua bantuan itu.

“KRT juga akan mengkaji bagi menambahkan lagi barangan keperluan asas yang akan diedarkan di samping mengesan beberapa keluarga untuk dibantu bersesuaian dengan kedatangan bulan Ramadan tidak berapa lagi,” kata Mahmod. - KitaReporters

Ahli Jawatankuasa KRT Kasturisari Presint 14 selesai membungkus barangan keperluan harian untuk diedarkan. 

8
1
1
0
1
You will be interested