PASANGAN suami isteri yang menghidap gout dan penyakit kulit kronik tidak pernah dihentikan bantuan yang disalurkan kepada mereka. Sebaliknya bentuk bantuan diganti daripada barangan keperluan harian kepada kredit tunai ke dalam akaun bank penerima sebagai kemudahan selain mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). : KitaReporters.com
Tiga pegawai PBMaINS MAINS memberi pandu arah mengisi borang khas kepada Aminah Indra Abdullah pada kunjungan ziarah ke rumah beliau di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, Seremban. - Kredit foto-foto Abu Aaesya.
Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan (PBMaINS) Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melakukan kaedah ini disebabkan suami isteri berkenaan tidak mampu mengambil sendiri bantuan barangan keperluan tersebut saperti biasa disebabkan masalah terpaksa mematuhi arahan kerajaan melalui PKP yang berakhir pada Selasa, 9 June 2020.
Pasangan tersebut Ahmad Abu Hassan, 46, dan isterinya Aminah Indra Abdullah, 36, dari Kampung Jiboi Baru, Ampangan di Seremban, Negeri Sembilan merupakan penerima bantuan PBMaINS MAINS sejak tahun 2007 hingga sekarang.
Aminah Indra Abdulalh (kanan) memperlihatkan dokumen diri untuk diteliti oleh salah seorang pegawai PBMaINS MAINS di rumahnya di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, Seremban.
Perkara ini ditegaskan oleh PBMaINS MAINS semasa melakukan kunjungan ziarah terhadap keluarga berkenaan melalui paparan dalam media sosialnya baru-baru ini berikutan laporan sebuah portal media tempatan mengenai sepasang suami isteri terpaksa menebalkan muka meminta bantuan bagi meringankan beban yang mereka tanggung kerana bantuan barangan keperluan sumbangan PBMaINS MAINS telah dihentikan.
Sehubungan itu, para pegawai PBMaINS MAINS turun padang mengadakan kunjungan ziarah keluarga ini dalam usaha mengetahui sendiri keadaan terkini mereka di samping menyampaikan bantuan wang tunai segera dan barangan keperluan asas.
Kunjungan ziarah tersebut diketuai Ketua Wilayah tengah PBMaINS MAINS, Che Som Omar; Ketua Bahagian Korporat, Mohd Hasni Zulkifle; Ketua Unit Komunikasi Korporat, Muzzammil Ismail; dan Pegawai Agihan Menara MAINS, Noraliza Alias.
Aminah Indra Abdullah (dua daripada kanan) menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian daripada pegawai pegawai PBMaINS MAINS.
Berdasarkan rekod PBMaINS MAINS, keluarga sembilan orang anak ini telah dibantu sejak 2007 dengan kira-kira 90 kali bantuan termasuk bantuan am kebajikan, persekolahan anak-anak, perubatan, sara hidup, bil tunggakan dan sewaan serta bantuan mesin jahit untuk berniaga berjumlah RM5,000.00 pada tahun 2013.
Keseluruhan bantuan yang diterima melalui PBMaINS MAINS oleh keluarga ini sehingga sekarang berjumlah RM27,590.00.
Ketua keluarga, Ahmad Abu Hassan yang hanya bekerja sendiri melakukan kerja-kerja kampung sebelum ini terjejas punca pendapatan sejak PKP dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Malahan lebih parah, Ahmad sering mengidap penyakit gout dan isterinya Aminah Indra Abdullah pula menderita penyakit kulit kronik.
Juga berdasarkan rekod yang ada, Ahmad menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Bantuan Kanak Kanak (BKK) RM400.00 sebulan selain turut menerima bantuan-bantuan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Perbincangan antara para pegawai PBMaINS MAINS dengan Aminah Indra Abdullah di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, Seremban semasa kunjungan ziarah perbadanan itu.
Para pegawai PBMaINS MAINS meneliti maklumat berkitan keluarga Ahmad Abu Hassan.
Sementara itu, PBMaINS MAINS akan membantu meringankan beban perbelanjaan rawatan hemodialisis setiap bulan dengan kadar maksimum RM3,000.00 seorang warga emas, Halizar Buru dari Taman Dato' Shah, Ampangan di Seremban.
Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Unit Khidmat Kesihatan PBMaINS MAINS, Norhafizah Daud semasa bersama eksekutifnya Noor Fatihah Osman pada ziarah kasih warga emas berkenaan di Seremban.
Beliau yang berusia 66 tahun tidak pernah bekerja dan berkahwin kini perlu menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu di sebuah pusat hemodialisis swasta di Seremban kerana penyakit yang dihidapinya.
Halizar Busu yang menjalani rawatan di sebuah pusat hemodialisis di Seremban, Negeri Sembilan semasa kunjungan ziarah kasih PBMaINS MAINS.
Pihak perbadanan yang prihatin dengan masalah bebanan kewangan Halizar telah bertindak positif membantu menjelaskan bayaran rawatan berkenaan.
Disebabkan tidak ada sumber pendapatan Halizar yang hanya bergantung harap dan ihsan adik beradik bagi kelangsungan hidupnya berterima kasih kepada pihak perbadanan atas inisiatif menghulurkan bantuan membiayai kos rawatan.beliau. - KitaReporters