Insan & Komuniti 04 Sep, 2021

Tolong kami! Bantu Pusat Jagaan Al-Fikrah! Atikah kini galas tugas arwah bapa jadi pengerusi!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


“SAYA akan terus memikul tanggungjawab dan amanah mengurus serta menjaga 70 penghuni warga emas uzur, sakit, terdampar tanpa waris dan sebagainya sebagaimana yang dilakukan oleh arwah bapa sejak mewujudkan Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia lebih sembilan tahun lalu.

“Saya reda dengan pemergian bapa (Mohd Azmi Md Zain) dan akan memanfaatkan pengalaman bekerjasama dengan beliau selama tujuh tahun mengurus pusat jagaan ini bagi memastikan dapat terus beroperasi membela nasib penghuni,” kata Nurul Atikah Mohd Azmi, 33.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat jagaan

Sebahagian petugas yang akan berganding bahu dengan Nurul Atikah Mohd Azmi (tengah) mengurus  Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia.


Nurul Atikah merupakan anak ketiga daripada enam adik-beradik Allahyarham Mohd Azmi iaitu pengerusi pusat jagaan berkenaan yang terletak di Kampung Sungai Sekamat, Kajang, Selangor. Beliau meninggal dunia pada 18 Ogos 2021 lalu selepas 20 hari disahkan negatif Covid-19, bagaimanapun terpaksa bertarung nyawa selama seminggu kerana masalah radang paru-paru.

Nurul Atikah yang kini mengalas jawatan sebagai pengerusi selepas diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa pusat berkenaan minggu lalu akan melaksanakan tugas itu sebaik mungkin dengan mendapat kerjasama daripada 15 petugas serta sokongan daripada sahabat arwah bapa beliau dan penduduk sekitar.



Beliau berkata, bukan suatu tugas yang mudah untuk dia mengurus serta mengendalikan pusat jagaan berkenaan terutama dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 sekarang dan berharap mendapatkan kerjasama khusus daripada petugas selain sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, sejak pusat jagaan itu beroperasi terlalu banyak NGO, badan kerajaan dan orang perseorangan datang menghulurkan bantuan walaupun arwah bapa sudah tiada mereka tetap meneruskan sokongan bagi memastikan penghuni di situ mendapat pembelaan sewajarnya.

“Saya berasa terharu serta amat bersyukur kerana mereka masih bersama-sama membantu Al-Fikrah dan saya akan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengerusi dengan hati penuh  ikhlas supaya mendapat keredaan daripada Allah SWT selain dipermudahkan segala urusan,” katanya.


Atikah (berdiri, tengah) akan memikul tanggungjawab dan amanah seperti arwah bapanya.


Nurul Atikah berkata, daripada 70 penghuni pusat jagaan itu sekarang yang berumur di antara 30 hingga 90 tahun, 50 adalah lelaki dalam kalangan warga emas, Orang Kelainan Upaya  (OKU) dan mualaf, manakala selebihnya 20 ialah wanita.

Menurutnya, daripada rekod kebanyakan penghuni yang dihantar ke pusat jagaan itu adalah rujukan dari pihak jabatan kerajaan terbabit dengan permasalahan masyarakat, pihak hospital dan wakil pemimpin komuniti yang membabitkan warga emas seperti sakit teruk, tiada waris, terdampar di hospital dan disisih keluarga kerana tidak mampu untuk dijaga.


Seperti tugas rutin arwah bapanya, Atikah akan memberi layanan terbaik kepada warga emas di pusat jagaan itu.


Beliau berkata, sebagai langkah awal peralihan tanggungjawab dia akan memastikan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 senantiasa diambil berat sebagai menjaga kesihatan penghuni di samping mengkaji keperluan sekarang dan akan datang pusat berkenaan dari segi operasi, penghuni serta penambahbaikan premis sedia ada.

“Saya juga akan mengukuhkan lagi hubungan dengan semua pihak termasuk penduduk sekitar pusat jagaan ini, pengurusan masjid, agensi swasta, jabatan kerajaan dan pihak berkuasa dengan harapan hubungan harmoni  akan meningkatkan lagi kerja kebajikan dengan terus membantu Al-Fikrah. 

“Saya akan berusaha membentuk diri supaya dapat meneruskan usaha murni arwah bapa kerana ia bukanlah suatu tugas yang mudah terutama dalam memastikan penghuni ini terurus dengan baik selama hayat mereka,” katanya. 


Bagi Atikah warga emas di pusat jagaan itu ibarat ibu dan bapa kepada beliau yang memerlukan perhatian dan kasih sayang seorang anak.


Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Kampung Sungai Sekamat, Jalan Cheras, Kajang, Selangor atau hubungi nombor telefon 013-2345692 Nurul Atikah, 03-87330715 (Pejabat) atau e-mel: pjfmalfikrah@gmail.com. - KitaReporters
39
10
1
13
1
You will be interested