Insan & Komuniti 14 Jan, 2024

Demi minat mendalam, Mohd Rostam buat kostum adiwira! Selain terima tempahan, juga ada servis sewaan!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Mohd Rostam Hassan mengenakan kostum adiwira Ironman bersama isteri, Norul Huda Mohd Daud.


Sesiapa sahaja pasti akan terpaku atau terpegun untuk beberapa ketika tatkala melihat kelibat hero pujaan mereka lalu di depan mata. 

Bagaimana pula andai seseorang yang mengenakan kostum adiwira tiba-tiba muncul melintasi anda. Mata berkedip ataupun tidak? Yang pasti mesti terkejutkan!

Itu yang sering terjadi kepada seorang bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mohd Rostam Hassan, 44, apabila menjadi tumpuan tiap kali beliau muncul di khalayak ramai dengan mengenakan kostum adiwira atas permintaan 'peminat' iaitu tuan rumah sesebuah majlis keraian atau keramaian. 


Mohd Rostam Hassan memeriksa kostum yang dihasilkannya. 


Tidak pernah terlintas pada hatinya untuk terbabit secara serius dalam pembuatan dan memperagakan kostum adiwira itu namun ia terjadi secara tidak sengaja asbab tidak puas hati dengan kostum yang ditempah secara dalam talian untuk majlis hari ulang tahun kelahiran anaknya yang berusia tiga tahun ketika itu.

"Saya kecewa dengan kostum Kamen Rider yang dibeli untuk dipakai pada sambutan hari lahir anak keempat, Daniel Hafidh yang sangat meminati watak adiwira.

"Selepas menerima barang itu (kostum Kamen Rider), saya dapati kondisinya sangat teruk dan terus membuang. Saya tidak sanggup pakai untuk buat kejutan hari jadi Daniel," katanya ketika ditemui di kedai Costume Cosplay Rental Kuantan, Taman Guru, Kuantan pada 6 Januari 2024 lalu.


Mohd Rostam memaklumkan medium YouTube adalah tempatnya belajar membuat kostum.


Kerana kecewa, Mohd Rostam mencabar dirinya untuk mereka cipta satu set lengkap adiwira demi anak kesayangannya itu.

"Saya seterusnya cuba mendapatkan maklumat mengenai cara menghasilkan kostum dalam Iinternet dan bila jumpa (dapat maklumat) saya mula yakin mampu menghasilkan satu kostum adiwira lengkap lebih baik daripada yang dibeli," katanya.

Berbekalkan ilmu yang diperolehi melalui YouTube, Mohd Rostam yang pernah bertugas di Pangkalan Udara Kuantan memberanikan diri untuk menghasilkan kostum Ironman, Judge Dredd, Batman dan Stormtroopers sebagai permulaan.

Katanya, kostum itu dibuat menggunakan kepingan 'eva foam' dan proses dilakukan secara berulang kali sehingga memperoleh kualiti kostum yang memuaskan.


Mohd Rostam memperlihat koleksi kostum Ironman yang dihasilkan sejak 2018.


"Saya mula dengan buat helmet (topi) terlebih dahulu kerana itu adalah komponen yang paling sukar. Kalau helmet sedikit 'lari' ia nampak tidak cantik kerana, biasanya orang akan melihat muka terlebih dahulu.

"Jadi, kalau kita boleh buat kepala (topi) itu cantik, Insya-Allah komponen yang lain pun akan menjadi cantiklah," katanya yang berpuluh-puluh kali mencuba dan menguji kostum dalam tempoh setahun sebelum ia berhasil menjadi satu set kostum lengkap. 

Tanpa menoleh kebelakang, Mohd Rostam yang menjadikan pembuatan kostum sebagai hobi  telah memuat naik hasil reka ciptanya dalam laman sosial Facebook sekitar tahun 2018.

Menurutnya, bermula daripada situ dia mula menerima jemputan bagi meraikan majlis sambutan hari jadi dan program di sekolah di sekitar Kuantan.


Mohd Rostam berpuas hati dengan hasil kreatif yang dihasilkan.


Ketelitian dan ketepatan perincian kostum adiwira yang dihasilkan oleh Mohd Rostam telah menarik minat pelanggan dari luar Pahang untuk membuat tempahan. 

"Setakat ini, saya sudah menerima tempahan hampir 18 hingga 20 kostum daripada pelanggan. Saya mengambil masa sekurang-kurangnya dua ke tiga bulan untuk menyiapkan satu kostum.

"Tempoh masa agak lama kerana mementingkan kualiti di samping memastikan pembuatannya kemas dan memuaskan hati pelanggan.

“Setiap satu kostum dijual di antara RM3,000 hingga RM8,000 dan harganya boleh menjadi lebih tinggi bergantung kepada kualiti bahan digunakan,” katanya yang  turut menjalankan perniagaan pencetakan pakaian.


Anak Mohd Rostam, Daniel Hakimi menggayakan kostum Bumblebee 


Bagi memastikan kostum dihasilkan ditambah baik, Mohd Rostam turut menghasilkan kostum tiga dimensi (3D) seperti ‘rapid prototyping’ menggunakan mesin mencetak 3D. 

Katanya, penghasilan kostum juga turut memasukkan elemen mekanikal dan penggunaan 'micro controller' atau 'arduino' untuk menjadikannya lebih realistik.

“Saya sentiasa meningkatkan kemahiran dalam bidang berkenaan terutama membabitkan teknologi supaya produk dihasilkan sentiasa menepati kehendak peminat adiwira.

“Cat kostum menggunakan teknologi automotif yang lebih berkualiti dan tahan lama berbanding kaedah cat spray tin," kata bapa kepada lima anak berusia di antara empat hingga 21 tahun itu.


Mohd Rostam menggunakan mesin 3D untuk memastikan kostum Ironman yang dihasilkan lebih kemas.

Selain itu, Mohd Rostam juga menawarkan perkhidmatan menyewakan kostum yang diusahakan bersama dengan isterinya Norul Huda Md Daud, 41. 

Katanya, kini mereka memiliki kira-kira 300 kostum merangkumi watak adiwira filem, komik, manga dan juga 'cosplay' yang disewa pada harga antara RM30 hingga RM200. 

Katanya, kostum berkenaan diperolehi dari ibu negara, Johor dan diimport dari luar negara malah ada juga kostum yang ditempah khas.

“Ada kalanya saya terpaksa mencari aksesori secara berasingan kerana tidak semua kostum didatangkan bersekali dengan aksesorinya, malah ada juga aksesori yang saya buat sendiri.

“Saya mahu memastikan pelanggan menyewa kostum lengkap kerana ia memberi kepuasan kepada saya apabila mereka menggayakan kostum itu menyerupai watak asalnya,” katanya.


Mohd Rostam Hassan bersama isteri, Norul Huda Mohd Daud dan lima anak mereka.

Apa yang menarik, setiap kostum dilengkapi aksesorinya malah mereka juga menawarkan perkhidmatan servis maskot bagi memenuhi undangan.

Mohd Rostam berkata, antara kostum yang sering menjadi pilihan kanak-kanak adalah watak Red Riding Hood, Spiderman, Harry Potter dan juga watak kartun Disney manakala kostum Maleficent, Darth Vader, Star Wars serta Naruto sering menjadi pilihan pelanggan dewasa.

Kepada mereka yang mencari kelainan ketika mahu melangsungkan majlis hari jadi atau sambutan hari istimewa seperti Hari Guru, Gari Bapa juga Hari Ibu, bolehlah hubungi Mohd Rostam atau cari Facebook, Costume Cosplay Rental Kuantan untuk sewaan kostum atau beliau sendiri tampil mengenakan sut adiwira pilihan tuan rumah. - KitaReporters 


Bumblebee bertemu peminat cilik

14
15
0
14
0
You will be interested