Apakan daya, kereta baharu yang dibawa pulang rosak lapan jam kemudian. Lebih menyedihkan, sudah berbulan-bulan, namun masalah itu belum juga selesai.
Pelik, tapi kenyataan!
Wanita itu, Nagakanni Subramaniam dimaklumkan pihak Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bahawa siasatan awal mendapati enjin keretanya rosak kerana terdapat benda asing seperti gula.
"Dia (pegawai pemasaran Ibu Pejabat Perodua) kata, material tersebut tidak digunakan oleh Perodua.
"Masalahnya, saya pun tak bawa apa-apa makanan atau gula dalam tempoh lapan jam itu, apatah lagi nak usik enjin," tulisnya.
Sudahlah berbulan-bulan masalah tidak diselesaikan, malah dia diminta oleh pegawai pemasaran berkenaan untuk membuat pinjaman kedua bagi mendapatkan kereta baharu.
Dia bagaimanapun menolak cadangan itu memandangkan pinjaman pertamanya pun belum selesai.
Lebih mengesalkan apabila dia dimaklumkan pihak syarikat berkenaan tidak boleh memberi sebarang dokumen kebenaran untuk menggantikan kenderaan rosak itu dengan yang baharu sedangkan dia masih membuat pembayaran pinjaman setiap bulan.
Mempertahan haknya sebagai pengguna yang teraniaya, satu laporan dibuat oleh Nagakanni berhubung kejadian itu.
Hantarannya itu menuai pandangan negatif netizen terhadap syarikat berkenaan.
Bersimpati dengan nasib Nagakanni, ada yang mencadangkan dia membuat laporan kepada Tribunal Pengguna.
Namun, ada juga yang menyalahkan segelintir pembeli kenderaan yang tidak membaca dengan teliti sebelum menandatangani dokumen.
Sementara itu, Perodua dalam kenyataannya menjelaskan, pihaknya sudah berkomunikasi dengan pelanggan terbabit sejak Oktober tahun lalu (2023).
"Sejak itu, kami telah mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan isu terbabit termasuk menawarkan kereta sementara untuk digunakan serta menawarkan pilihan untuk membeli semula kereta berkenaan," ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Pada masa sama, pihak Perodua memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan berterima kasih atas kerjasama yang diberikan selain berjanji untuk berkongsi maklumat lanjut mengenai siasatan menyeluruh berhubung isu itu. - KitaReporters