PERSONALITI media sosial Khaby Lame yang kini menjadi wajah kempen bagi jenama fesyen antarabangsa Hugo Boss mengakui dirinya seorang beragama Islam dan juga berkebolehan untuk menghafal al-Quran.
Malah pempengaruh atau influencer yang mempunyai pengikut paling ramai dalam TikTok itu mengakui dia banyak menerima persoalan tentang agama Islam sepanjang ‘live’ dalam media sosial.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan influencer atau pempengaruh
Kongsi lelaki berusia 22 tahun itu, dia mengamalkan ajaran Islam walaupun dibesarkan di kota besar di Itali.
Kongsi lelaki yang berjaya mengatasi kedudukan individu yang mempunyai pengikut paling ramai dalam Tik Tok sebelum ini, Charli D’Amelio berkata, pada usianya setahun keluarganya telah berpindah ke Itali.
Namun ketika usianya menginjak 14 tahun keluarganya menghantar Lame ke sebuah sekolah berhampiran Dakar di Senegal bagi mendalami al-Quran.
Dia akhirnya berjaya menjadi seorang al-hafiz hasil pengajian di sekolah berkenan.
“Kami belajar pengajian al-Quran, saya menghafaz setiap surah. Setiap maksud dalam al-Quran sangat menyentuh.
“Saya merupakan seorang Muslim dan mengamalkan ajaran Islam sejak dari kecil,” katanya dalam satu wawancara dengan media Itali.
Memetik laporan theislamicinformation.com, Lame mengakui sebelum mendedahkan agamanya, dia telah mendapat sokongan daripada pengikut Islamnya selepas secara terbuka menunjukkan sokongan terhadap perjuangan Palestin.
Berkongsi kisah keterlibatan diri dalam dunia TikTok, dia memberitahu dia bermula ketika musim pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
Ketika itu dia berdepan saat mencemaskan apabila kehilangan pekerjaan, dan banyak menghabiskan masa selama berjam-jam setiap hari dengan memuatkan video dalam TikTok.
Menurutnya, dia, langsung tidak menyangka video yang dihasilkan tular di seluruh dunia.
“Apa yang saya miliki hari ini semuanya adalah secara semula jadi. Ia satu percubaan yang tidak disangka-sangka menjadi,” ujarnya.
Kandungan video Lame sering mencuit hati pengguna TikTok kerana sindiran dan reaksi lucunya terhadap 'life hacks' yang dianggap terlalu rumit.
Bukan sahaja seorang Muslim yang beramal, tetapi Khaby juga seorang yang lantang menyuarakan sokongannya kepada Palestin dan menentang penjajahan regim aparteid Israel.
Khaby pernah mengeluarkan satu kenyataan dalam laman Twitternya pada Jun 2021 dengan berkata, “Buatlah apa sahaja yang kamu mahu, buatlah lebih lagi. Tetapi Baitulmuqadis tetap sentiasa menjadi milik rakyat Palestin.”
Lebih mengharukan dirinya, Januari 2022, Lame diangkat menjadi wajah kempen bagi jenama fesyen antarabangsa Hugo Boss.
Memetik laporan Hollywood Reporter, Boss mengambil pendekatan penjenamaan semula yang menyasarkan segenap kelompok masyarakat.
Pemilihan Lame sebagai duta juga bertepatan lantaran ‘influencer’ yang berpangkalan di Itali itu kini mengumpul 146.8 juta pengikut dalam TikTok, mengatasi D'Amelio, yang mencatatkan 142.3 juta pengikut. - KitaReporters