Insan & Komuniti 23 Oct, 2024

Hadiah Deepavali! 9 keluarga terima sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia! Ringankan beban kewangan!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


UMPAMA peribahasa `antan patah lesung hilang’ – episod sedih yang menyelubungi hidup Ranjini Maheswaran, (17 tahun) serta tiga lagi adik-adiknya iaitu; Sumen Raj (15 tahun), Kishor Raj (14 tahun) dan Bhuvana (10 tahun), datang bertimpa-timpa. 

Selepas pandemik COVID-19 meragut nyawa ibu kesayangan, Tamilselvi a/p Gunasigaran (35 tahun), pada 18 September 2021, kehidupan Ranjini dan adik-adiknya terus diselubungi kesedihan dan trauma. 

Tragedi itu turut mencetuskan krisis sosial yang serius dan tragis buat empat beradik ini apabila terpaksa menumpang teduh di rumah datuk mereka; Gunasigaram a/l Suppiah, (61 tahun), yang uzur dan tidak bekerja. 

Ranjini dan adik-adiknya yang terputus hubungan dengan bapa kandung mereka sejak 9 tahun yang lalu, kini bergantung ihsan dengan ibu saudara mereka, Magies a/p Gunasigaran. 

Mendasari kesedihan dan kekurangan hidup anak yatim COVID-19 ini, Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, YKM memperuntuk sebanyak RM10,900 setahun bagi meringankan beban empat adik-beradik yatim itu. 

“Mereka berhadapan dengan dugaan yang cukup besar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Situasi ini pasti akan memberikan kesan jangka panjang kepada anak-anak ini jika kita tidak memberikan perhatian yang serius kepada masa depan mereka. 

“Kita tidak boleh menutup mata atau mengabaikan nasib anak yatim dan yatim piatu COVID-19 seperti ini yang berada di sekeliling kita,” katanya yang menyantuni empat beradik itu di rumah datuk mereka di Taman Bukit Mutiara, Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa, 22 Oktober 2024. 



Tambah beliau, selain Ranjini dan adik-adiknya, YKM turut memberikan sumbangan kepada sembilan lagi keluarga COVID-19 yang merayakan sambutan Hari Deepavali yang merupakan perayaan penting bagi komuniti Hindu di Malaysia. 

Sembilan keluarga tersebut yang terdiri daripada lima keluarga di Selangor, dua keluarga di Negeri Sembilan, dan dua buah keluarga lagi di Melaka dan Pahang akan menerima sumbangan serupa pada pada 22 Oktober 2024 dan akan dikreditkan ke akaun masing-masing. 

YKM yang ditubuhkan pada tahun 2021 memperuntuk sebanyak RM5 juta setahun untuk terus membantu hampir 1,000 anak-anak yatim dan yatim piatu merentasi agama dan bangsa melalui Bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading dan Hadiah Kecemerlangan SPM serta pengurusan. 

Pada masa yang sama, YKM kini melaksanakan pemutihan data bagi mengemas kini maklumat diri dan keluarga melalui borang yang telah dihantar menerusi emel dan aplikasi WhatsApp.

Pengemaskinian maklumat diri dan keluarga ini perlu bagi memudahkan penyaluran bantuan dan program untuk tahun 2025. 

Sementara itu, sumbangan makanan bagi program ziarah kasih hari ini ditaja oleh pihak Baker’s Cottage. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
20
0
14
0
You will be interested