Insan & Komuniti 07 Nov, 2024

Tolong kami! Bantu penduduk Gaza, Lubnan! IR Malaysia lancar kempen Rayuan Musim Sejuk! Sasar RM200k!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Kanak-kanak antara golongan yang paling terdedah dengan ancaman musim sejuk.


Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia), pada 1 November 2024, melancarkan kempen Rayuan Musim Sejuk bagi mengumpul dana khusus untuk membantu penduduk Timur Tengah yang terjejas dengan ancaman musim sejuk.

IR Malaysia menyasarkan kutipan dana sebanyak RM200,000 bermula 1 November hingga 31 Disember 2024 untuk disalurkan kepada keluarga-keluarga yang terjejas teruk di Gaza, Palestin dan keluarga kurang berkemampuan di Lubnan.

Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Mohd Shukor Tahir berkata, bantuan akan diagihkan di beberapa kawasan seperti utara Gaza, Gaza tengah, Khan Younis dan Rafah di Palestin manakala di Lubnan, agihan akan dilaksanakan di Akkar, El Hermel, El Minieh-Dennie, Baalbek, Zahle, Baabda, West Bekaa, Rachaya, Jezzine dan Hasbaya.

“Antara bantuan yang akan diberikan kepada penduduk Gaza ialah barangan keperluan seperti pakaian musim sejuk dan selimut. Manakala di Lubnan, bantuan meliputi pek makanan dan bantuan tunai.

“Tahun ini, dijangka seramai 32,704 orang dari kedua-dua negara mendapat manfaat melalui bantuan musim sejuk IR Malaysia,” katanya lagi.


Agihan bantuan musim sejuk di Lubnan pada 2023.


Tambah Mohd Shukor, keperitan dan kesengsaraan yang dihadapi penduduk Gaza dan Lubnan ketika ini harus diambil perhatian oleh semua pihak.

“Kita semua maklum, Gaza masih berada di fasa peperangan dan konflik di Lubnan pula semakin meningkat dan merebak. 

"Keadaan sangat genting saat ini, jadi, penting untuk kita membantu penduduk Gaza dan Lubnan demi memastikan musim sejuk mereka dapat diharungi dengan baik dan penuh kehangatan. 

“Saya menyeru kepada semua, marilah kita bersama-sama membantu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang diuji khususnya kanak-kanak, bayi, warga emas dan kaum wanita kerana mereka merupakan golongan yang paling terdedah dengan ancaman maut ketika musim sejuk,” katanya.


Setiap keluarga penerima manfaat di Lubnan menerima sumbangan 2 tilam dan 2 selimut pada agihan musim sejuk 2023.


Sementara itu, seorang penduduk Gaza berkongsi, “Kami sudah tidak tahu ke mana lagi nak pergi. Semua tempat telah musnah.

“Sedih melihat nasib anak-anak saya yang terpaksa menghadapi musim sejuk hanya dengan sehelai pakaian nipis. 

"Jika kami tidak mati kerana dibom, mungkin kami akan mati akibat kelaparan dan kesejukan.”

Tahun lalu (2023), melalui sumbangan rakyat Malaysia, IR Malaysia berjaya melaksanakan projek bantuan musim sejuk di Lubnan dengan mengagihkan barangan keperluan seperti baucar pakaian, tilam dan selimut kepada 133 keluarga dan memanfaatkan 665 individu. 

Orang ramai diseru untuk menyokong usaha kemanusiaan ini dan menyumbang ke kempen Rayuan Musim Sejuk melalui laman web IR Malaysia; www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk maklumat lanjut. - KitaReporters/Kenyataan Media


Salah satu bantuan musim sejuk Islamic Relief di Gaza pada tahun 2022 ialah sumbangan alat pemanas.

12
8
0
10
0
You will be interested