Insan & Komuniti 27 Apr, 2025

Video| Raya retro! 4k serbu sambutan Aidilfitri Masjid Al-Falah! Tema klasik imbau memori kampung!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

.



LEBIH 4,000 jemputan menyerbu Majlis Aidilfitri Masjid Al-Falah Kampung Sungai Ramal Dalam, Selangor, yang disifatkan sebagai sambutan di luar dugaan kerana inilah pertama kali acara besar seperti itu diadakan di masjid baharu selepas dibuka secara rasminya Ramadan 2025.

Dengan bertemakan konsep klasik atau retro, jemputan diajak mengenakan busana Melayu seperti baju Melayu, bersamping dan bertengkolok. 

Hasilnya, suasana di bawah Masjid Al-Falah itu persis perkampungan Melayu dengan jemputan menikmati makan minum dalam keramaian gilang gemilang.



Surau Al-Umm memenangi dekorasi khemah terbaik sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Masjid Al-Falah, Kampung Sungai ramal Dalam, Kajang, Selangor.


Pengerusi Lembaga Tadbir Masjid Al-Falah, Yahya Jumadi, berkata pihaknya agak terkejut dengan sambutan di luar dugaan itu, yang berbeza ketika majlis hari raya diadakan di masjid lama dulu hanya sekitar 1,500 hingga 2,000 jemputan.

Beliau berkata, ramai jemputan turut memakai pakaian tradisional Melayu, bersamping dan bertengkolok, tema klasik era 60-an dan 70-an yang diadakan khusus bagi menyambut lebaran di masjid baharu ini.


Yahya Jumadi


"Kami juga meminta tujuh surau di bawah Masjid Al-Falah dan sembilan jalan di Kampung Sungai Ramal Dalam menghias khemah mereka dengan konsep klasik, ala-ala kampung tradisional. Ternyata ia berhasil sehingga suasana desa seperti melambai-lambai orang ramai yang hadir.

"Ia sekali gus mengubat kerinduan jemputan yang pernah tinggal di kampung dan merasakan mereka seolah-olah menyambut keramaian sempena Aidilfitri itu di kampung sendiri," katanya. 

Turut hadir, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Orang Besar Daerah Hulu Langat, Dato Orang Kaya To’ Engku Maha Bijaya Hulu Langat, Datuk Rosli Othman.



Hiasan khemah dari Surau Al-Ukhuwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi mendapat hadiah saguhati.


Menurutnya, setiap surau dan jalan yang mengambil bahagian dalam menghias khemah diwajib menggunakan elemen klasik, seperti pinggan mangkuk, basikal lama, telefon dan pelbagai perhiasan yang boleh menggamit memori dan menghidupkan suasana desa.

"Hasilnya, 16 khemah dihias dengan pelbagai dekorasi menarik persis kampung tradisional dengan peserta turut memakai pakaian tradisional Melayu yang melambangkan suasana klasik era 60-an dan 70-an.


Lebih 4,000 tetamu hadir di majlis Sambutan Aidilfitri Masjid Al-Falah, Kampung Sungai Ramal Dalam.


"Mereka juga menyediakan menu masakan tradisional yang bukan terhad kepada ketupat, lemang dan rendang sahaja tetapi pelbagai lauk pauk enak cara kampung seperti nasi minyak dan sup kambing yang dicicah dengan roti Bengali," katanya.

"Sambutan baik menyebabkan kebanyakan menu dan lauk pauk habis seawal jam 2 petang walaupun majlis sepatutnya berakhir jam 3 petang," kata Yahya lagi.  


Hiasan dekorasi khemah Surau Al-Rahim, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi dipilih pemenang tempat ketiga.


"Saya minta maaf jika ada jemputan datang lewat dan tidak dapat makan seperti sesi pagi tapi itulah yang termampu dihidangkan. Insya-Allah,  kami akan menambah baik untuk tahun depan (2026)," katanya.

Menurut beliau, selepas ini lokasi sambutan Aidilfitri ini, jawatankuasa Masjid Al-Falah mencadangkan ia dijadikan dewan terbuka untuk sesiapa sahaja terutama ahli kariah mengadakan pelbagai acara seperti majlis perkahwinan, sambutan hari kebesaran Islam dan kenduri kesyukuran.



Labu sayung yang menyimpan air dan telefon dail menghiasi dekorasi bertema klasik dari sebuah surau yang mengamb il bahagan.


"Kami akan menambah baik beberapa kemudahan sedia ada bagi membolehkan majlis keramaian yang diadakan nanti berjalan dengan lancar dan memberi keselesaan kepada jemputan.

"Kami akan memasang kipas tambahan bagi memberi keselesaan kepada jemputan kerana keadaan menjadi lebih panas apabila terlalu ramai di bawah ini, apatah lagi cuaca di luar pun panas," kata Yahya.


Kreativiti menghias khemah dengan tema kampung tradisional yang dihias dengan talam dan tudung saji.


Keseluruhan, beliau berpuas hati walaupun banyak yang boleh ditambah baik, insya-Allah tahun depan (2026) keadaan lebih baik dan pihaknya lebih bersedia untuk menerima lebih ramai jemputan.

"Kami akan melakukan perbincangan untuk melihat beberapa kelemahan yang boleh ditambah baik selain maklum balas jemputan bagi memudahkan kami menyantuni jemputan dan memastikan mereka datang selepas ini lebih selesa dan pulang dengan perut yang kenyang serta hati yang gembira," kata Yahya bagi akhiri bicara. - KitaReporters  


Wanita menyediakan juadah untuk tetamu dengan pakaian tradisional seperti di kampung sempena Sambutan Aidilfitri Masjid Al-Falah.

14
12
0
9
0
You will be interested