Kanak-kanak berpeluang mengetuai membaca ikrar Rukun Negara pada penutupan majlis Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Kedah 2025.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan melaksanakan Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNAS) Ke-3 bermula 28 April 2025 dari rumah ke rumah di seluruh Malaysia dan pelbagai program melalui inisiatif baharu yang bakal diperkenalkan nanti boleh meningkatkan lagi tahap perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi berkata, usaha ke arah itu perlu dilakukan kerana jumlah penduduk di negara ini terus bertambah, mahu tidak mahu, berkongsi mendiami negara dan negeri dapat dilakukan secara bersama-sama.
Melalui ukuran nilai indeks itu ia akan membolehkan Kerajaan mengenal pasti dan merancang usaha-usaha dan program-program intervensi yang lebih baik dan menarik.
Antara hadirin pelbagai kaum yang hadir.
Kedah dengan keluasannya 9,447 kilometer persegi masa kini mempunyai jumlah komposisi penduduk kira-kira 2.2 juta orang.
Secara perbandingan, Kedah menduduki tempat kelima penduduk paling ramai di Malaysia selepas Negeri Selangor (7.3 juta orang penduduk), Johor (4.1 juta orang penduduk), Sabah (3.7 juta orang penduduk), dan Perak (2.5 juta orang penduduk). Daripada 34.1 juta rakyat Malaysia, 2.2 juta berada di Negeri Kedah.
"Maka dengan sebab itulah perpaduan amat mustahak untuk disemai, dibajai dan dijaga sebaik-baiknya supaya
kepelbagaian yang wujud dalam kalangan penduduk itu dapat dicari titik persamaannya. Dengan itu, baharulah kita dapat hidup dalam suasana yang aman, damai, harmoni dan bersatu padu," katanya.
Ruji Ubi (tengah) memukul gong bagi menutup majlis Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Kedah 2025 di Dataran Darulaman, Jitra pada 19 April 2025.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutupan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Kedah 2025 setelah berlangsung selama tiga hari mulai 17 April 2025 lalu di Dataran Darulaman, Jitra dan berakhir 19 April 2025 dengan pesertanya tinggal banyak kenangan manis setelah melihat pelbagai pengisian menarik, termasuk pameran "Rumah Kami" yang terdiri daripada etnik kaum Melayu, kaum Cina, kaum India, kaum Siam, kaum Orang Asli serta Rumah Kami orang Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, jadikanlah perayaan-perayaan kaum sebagai tempat mula berseminya kasih sayang, kenal mengenal antara satu sama lain bagi melahirkan kehidupan penuh dengan warna-warna keceriaan.
"Melalui suasana harmoni dan sifat hormat-menghormati antara satu sama lain, perpaduan akan bertangkup lebih erat dan mesra," katanya lagi.
Beliau mewakili pihak KPN merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera-jentera perpaduan di negeri Kedah yang sentiasa berusaha menjadi pemangkin kedamaian komuniti melalui program-program perpaduan yang dianjurkan dari semasa ke semasa tanpa membataskan penyertaan kaum.
Orang Asli turut membuat persembahan pada
Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Kedah 2025.
Terdahulu itu, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kedah, Ahmad Puat Junus pula berkata, program Sambutan Minggu Perpaduan diadakan bertujuan untuk menyebar pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat Malaysia.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung seperti Fun Walk Baju Tradisi, jualan FoodUnites, Karnival Sukan Rakyat, Pameran Rumah Kami, Tayangan Wayang Pacak, Karnival Ekonomi KRT, Bicara Perpaduan, Jualan Rahmah dan lain-lain telah dapat memberi manafaat kepada pengunjungnya. - KitaReporters