
“Kasih bapa sepanjang jalan, kasih ibu bawa ke syurga.” Ibu atau bapa, peranan dan tanggungjawab tetap sama iaitu menjaga amanah Allah dengan baik dan penuh komited.
Tidak kira apa panggilan yang dipanggil, bapa, ayah, abah, daddy, walid, abuya, babah dan sebagainya mereka adalah lelaki pilihan Allah yang dikirim untuk memberi khidmat bakti dan kasih sayangnya kepada anak-anak sama juga seperti ibu.
Apabila mendengar perkataan bapa kita sering merujuknya kepada karakter bapa yang sering dilihat tegas, garang, serius dan tidak banyak bercakap.
Gerun dengan perwatakannya menjadikan anak-anak lebih selesa untuk bercerita dan meluahkan perasaan dengan ibu.
Karakter bapa juga sinonim dengan sifat kesungguhan dan ketekunan mereka dalam mencari rezeki agar dapat memberikan yang terbaik buat keluarga dan insan yang tersayang.
Kebanyakan para bapa tidak mudah mempamerkan rasa cinta dan sayang kepada anak-anak berbanding para ibu.
Mereka lebih banyak memerhati dan menggunakan bahasa badan dalam berkomunikasi dengan anak- anak.
Seorang bapa dilihat sebagai figura yang memiliki kekuatan emosi yang lebih tinggi berbanding para ibu kerana mereka tidak kerap menunjukkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada anak-anak.
Oleh itu, peranan ibu dilihat lebih ke hadapan dan besar dalam mendidik, melindungi dan berkorban demi membesarkan anak-anak berbanding kaum bapa.

Ibu dan bapa sebenarnya adalah tiang utama yang wujud dalam sesebuah ikatan perkahwinan dan keluarga dan mereka mempunyai peranan saling melengkapi dalam memastikan rumah tangga dan keluarga berjaya dibentuk dengan sejahtera dan bahagia.
Peranan bapa juga tidak boleh dipandang remeh kerana bapa mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai pemimpin, pelindung, pendidik dan juga pemberi nafkah buat isteri dan anak-anak.
Bapa adalah ketua dan nahkoda kapal yang memimpin keluarga dalam menentukan arah kapalnya berlayar sehingga ke destinasi rumah tangga yang sakinah, mawaddah dan rahmah.
Kedudukan seorang bapa amat dimuliakan dalam Islam sebagaimana kedudukan seorang ibu sehingga diingatkan oleh Allah Taala dalam al-Quran pada Surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”
Banyak kita dengar, membaca dan menonton di kaca TV tentang pengorbanan anak-anak yang menjaga bapa mereka yang uzur.
Setengahnya sanggup berhenti kerja dan tidak sambung belajar demi sayangkan bapa. Mereka sanggup memikul tanggung jawab mendahului adik beradik lain yang sibuk atau lepas tangan
Syabas dan tahniah! Mereka anak-anak soleh dan solehah yang Allah janjikan syurga buat mereka.
Sehubungan itu, bapa sebagai pemimpin, pendidik juga harus menunjukkan teladan melalui peranan penting dalam memastikan bahawa didikan yang diberikan kepada isteri dan anak-anak adalah didikan yang mengukuhkan kesedaran ke arah ilmu dunia dan akhirat.
Peranan bapa juga menentukan pembentukan nilai-nilai agama, moral, sosial dan disiplin dalam diri anak-anak supaya menjadi insan berguna dalam kehidupan.
Anak-anak diajar dan dibentuk supaya sentiasa disuburkan perasaan untuk taat kepada Allah, tidak menganiaya sesama manusia, selalu bertimbang rasa dan bersifat ramah kepada semua.
Ada pesanan dalam Surah Luqman ayat 13 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.”

Sentiasa perlu diingat bahawa anak-anak ibarat kain putih dan bapa adalah orang penting yang mencorakkannya selain ibu.
Sudah sampai masa bapa diberi penghargaan sama seperti seorang ibu. Mereka berhak dirai dan dilayan seperti raja pada sambutan Hari Bapa sama seperti Hari Ibu.
Bagi anda yang masih mempunyai bapa hargai mereka. Layan dengan penuh kasih sayang. Jaga hati dan gembirakan mereka selagi boleh dan ada masa.
Tidak pun dibawa keluar makan makan atau bercuti, berkumpullah adik beradik untuk meraikan bapa anda.
Kiranya mereka sudah tiada, buatlah majlis tahlil sedekah al-Fatihah dan berdoa semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman.
Seorang bapa bertanggungjawab dalam memastikan ahli keluarganya sentiasa berada dalam persekitaran yang sihat dan selamat tanpa mengira masa dan di mana berada.
Sekiranya bapa tidak menunjukkan sifat pelindung kepada anak-anak, mereka akan terasa tidak selesa, enggan berkomunikasi, memberontak, sekali gus mudah untuk terjebak dengan gejala sosial.
Tanpa bapa siapa kita. Tanpa bapa tidak kita melihat dunia. Hargai jasa budi dan pengorbanan seorang bapa.
Sekalung doa buat kaum bapa di seluruh negara. Terima kasih di atas pengorbanan dan jasa. Selamat Hari Bapa!
Al Fatihah dibaca untuk arwah ayahanda Hj Hamzah Hj Hamid. Semoga tenang di sana bersama orang beriman. Amin!! - KitaReporters
