Insan & Komuniti 24 Mar, 2025

Mencari Hati Emas di puncak Everest! Mohd Fakhrul teruskan Projek Pendakian Amal Bomba de Everest!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa kini bersedia sepenuhnya untuk misi pendakian ke puncak tertinggi dunia, Gunung Everest, menerusi Projek Pendakian Amal Bomba de Everest “Mencari Hati Emas” 2025.

Beliau, yang merupakan anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) di Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebelum ini telah menawan Gunung Kilimanjaro, Tanzania yang berketinggian 5,895 meter dari aras laut pada 14 Februari 2024 sebagai sebahagian daripada persediaannya untuk mendaki Gunung Everest. 

Mohd Fakhrul Munir kini dalam keadaan fizikal dan mental yang optimum setelah menjalani sesi latihan intensif termasuk pendakian di Gunung Kinabalu. 

Pengalaman di Kilimanjaro juga telah membantu beliau menyesuaikan diri dengan penyakit ketinggian, terutama dari segi pernafasan, selera makan dan pola tidur. 

Persiapan dari segi peralatan turut berada pada tahap hampir sempurna dengan 80 peratus keperluan sudah dilengkapkan. 



Beliau baru-baru ini meluangkan masa mendapatkan kelengkapan seperti pakaian dan kasut khas untuk pendakian, berdasarkan nasihat daripada sherpa yang bakal menjadi jurupandunya. 

Sherpa turut berpuas hati dengan pemilihan peralatan yang dibuat bagi memastikan keselesaan dan keselamatan sepanjang ekspedisi ini. 

Selain itu, deposit permit pendakian telah dijelaskan sepenuhnya, termasuk jaminan sherpa berkaitan bekalan oksigen semasa pendakian nanti. 

“Saya dijadualkan berlepas ke Kathmandu, Nepal pada 7 April ini. Setibanya di sana, saya akan melakukan beberapa pendakian terlebih dahulu bagi membiasakan diri dengan penyakit ketinggian atau Acute Mountain Sickness (AMS). 

“Saya dijangka berada di Nepal selama dua bulan sebelum memulakan pendakian ke puncak Everest dan akan menunggu kebenaran akhir (green light) daripada sherpa sebelum meneruskan pendakian ke puncak.

"Saya bersyukur kerana semua persiapan berjalan lancar. Latihan di Gunung Kinabalu dan pengalaman di Kilimanjaro banyak membantu saya menyesuaikan diri dengan cabaran ketinggian. 

“Saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk mendaki Gunung Everest," kata Mohd Fakhrul Munir. 

Projek Pendakian Amal Bomba de Everest ini bukan sekadar satu pencapaian peribadi tetapi juga bertujuan mengumpul dana bagi membantu anggota bomba yang tercedera atau terkorban sewaktu menjalankan tugas serta mereka yang masih dalam perkhidmatan. 



Selain itu, projek pendakian amal ini juga turut mengumpul dana untuk pembedahan dan rawatan transplantasi (buah pinggang) selain memberi kesedaran kepada masyarakat awam untuk menjadi penderma buah pinggang. 

Projek ini turut mendapat sokongan penuh daripada pengurusan tertinggi JBPM dan dianjurkan bersama Kelab Kembara Kosmopolitan, Gedung Penawar Sdn. Bhd., serta Kumpulan AL Baghdadi Group Sdn. Bhd. 

Untuk mengumpul dana, Mohd Fakhrul Munir telah melancarkan jualan amal alat pemadam api (keluaran khas) satu kilogram berserta barangan kombo eksklusif seperti baju-T dan topi tahan lasak. 

Alat pemadam api ini boleh dibeli pada harga RM139 seunit, manakala baju-T eksklusif berharga RM59 dan topi RM39. Pembelian secara kombo bagi ketiga-tiga item ini boleh didapati pada harga RM199. 

"Saya berharap rakyat Malaysia akan terus menyokong usaha ini. Setiap sumbangan akan memberi manfaat kepada anggota bomba yang berkorban demi keselamatan negara. Bersama-sama, kita boleh membawa perubahan," katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media


8
13
0
17
0
You will be interested