
Peniaga di Bazar Ramadan di negeri ini digalakkan menawarkan menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah. Inisiatif ini diambil sempena pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) dan Program MySaveFood @ Ramadan.
Pengarah
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak Datuk Kamalludin
Ismail berkata, sebanyak 10 lokasi BRR akan dilaksanakan di Perak pada tahun
ini (2025).
Beliau berkata, antara lokasi tersebut ialah Taman Cempaka (Ipoh); Taman Perpaduan (Tambun); Puncak Bougainvillea (Kuala Kangsar); Bersebelahan OCBC Bank dan Simpang Empat Hutan Melintang (Teluk Intan); Pekan Gerik (Gerik); Kamunting (Taiping); hadapan Pejabat Majlis Daerah Tapah (Tapah); belakang Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) (Lumut); dan Dewan Kerian Permai (Parit Buntar).
“Setiap lokasi ini akan dilaksanakan sebanyak lapan kali BRR sepanjang bulan Ramadan dan dijangka seramai 52,000 pengunjung berpeluang menerima insentif melalui Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan atau Retail Digitalisation Inisiative (ReDI) iaitu RM20 seorang melalui e-wallet TnG untuk berbelanja di BRR.
“Pemberian ini hanya terhad kepada 650 pengunjung terawal ke BRR pada tarikh-tarikh yang terpilih,” katanya selepas sesi walkabout BRR dan Program MySaveFood @ Ramadan di Taman Cempaka di Ipoh pada 6 Februari 2025.

Kamalludin berkata, pada tahun 2024, seramai 8,350 pengunjung Bazar Ramadan Rahmah telah menikmati insentif e-wallet RM20 yang ditawarkan oleh KPDN Perak.
Menurut
beliau, peniaga yang menawarkan Menu Rahmah di BRR juga akan diberikan insentif
RM100 secara one-off pada tahun ini (2025).
Secara
inisiatif BRR ini merupakan salah satu komponen utama di bawah Program Payung
Rahmah yang bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat menerusi
penyediaan pilihan juadah berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan.
Katanya,
semua peniaga di bazar tersebut digalakkan menawarkan Menu Rahmah pada harga
RM5 dan ke bawah sebagai pilihan tambahan dalam menu masing-masing demi
memastikan golongan berpandapatan rendah mampu menikmati juadah berbuka puasa
yang seimbang.
Kamalludin
berkata, KPDN bersama Touch n GO juga meneruskan perluasan program ReDI yang bertujuan untuk memastikan peniaga kecil ini
tidak terus ketinggalan di dalam arus perdana dan bersama-sama dalam melibatkan
diri menerusi model baharu perniagaan secara digital.
Menurut beliau, seramai 571 peniaga di BRR di seluruh Perak telah mengaplikasikan pembayaran digital tanpa tunai (cashless).

Pada masa ini juga, turut dilaksanakan Program MySaveFood @ Ramadan 2025 yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia dengan kerjasama KPDN Perak dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Perak.
“Program yang dilaksanakan ini merupakan satu inisiatif untuk mengurangkan pembaziran makanan di tapak Bazar Ramadan. Lebihan makanan yang tidak terjual oleh peniaga akan disumbangkan kepada pihak yang memerlukan,” ujarnya.
Beliau berkata, sepanjang Ramadan 2024 tahun lalu, program ini berjaya menyelamatkan 1,728 kg makanan yang tidak terjual, membuktikan bahawa inisiatif ini dapat menjana impak sosial dengan membantu golongan kurang bernasib baik mendapat manfaat juadah berbuka puasa.
Selain itu, katanya penguatkuasaan juga telah dipertingkat pada bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri di bawah Ops Pantau 2025 yang telah bermula pada 2 Mac 2025 sehingga 31 Mac 2025.
Seramai 195 penguat kuasa dan 75 Pegawai Pemantau Harga terlibat dalam menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan memantau harga barang-barang keperluan asas.
Kamalludin
berkata, lokasi tumpuan dan sasaran Ops Pantau 2025 adalah seperti di bazar
Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam,
pasar basah, pasar pagi, pasar malam, dan pasar raya besar, pasar raya, pasar
mini serta kedai runcit.
“Pendekatan
penguatkuasaan dilaksanakan dengan membuat pemeriksaan dan pemantauan secara
lebih kerap dan bersasar ke atas harga barang yang menjadi tumpuan rakyat pada
bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri seperti gula, telur ayam, minyak masak,
tepung gandum, barang basah dan barang untuk membuat kuih muih supaya mempunyai
tanda harga.
“Bagi mendapatkan maklumat berkaitan BRR dan makluman pemberian e-wallet, pengguna disarankan untuk melayari laman rasmi KPDN dan menjadi pengikut kepada akaun media sosial rasmi utama KPDN Perak dalam Facebook KPDN Perak dan TikTok KPDN Perak,” katanya. - KitaReporters
