
Para tetamu dapat menikmati produk hiliran berasaskan ikan keli selepas majlis pelancaran Produk Hiliran Sejati Madani Kampung Makmur di Kolej Komuniti Pasir Salak, Perak.
Projek Sejati Madani yang melibatkan usaha ternakan ikan air tawar dalam kanvas yang dimulakan di Kampung Makmor, Kampung Gajah, Perak pada 2024 berbaloi apabila berjaya menghasilkan tiga produk hiliran berasaskan ikan keli.
Antara tiga
produk utama komuniti Kampung Makmur ialah Bebola Ikan Keli, Kek Ikan Keli dan
Fillet Ikan Keli Butter Garlic Herb.
Ketiga-tiga
produk ini dihasilkan sepenuhnya oleh sekumpulan peserta program berkenaan yang akan mula
dipasarkan kepada umum.
Pelancaran
produk ini merupakan kesinambungan daripada Projek Ternakan Ikan Air Tawar
Dalam Kanvas yang dilaksanakan pada September 2024.
Majlis
Pelancaran Produk Hiliran Sejati Madani Kampung Makmur diadakan di Kolej
Komuniti Pasir Salak, Perak pada 20 Jun 2025.
Ia telah dirasmikan oleh Pegawai Khas Kepada Menteri Besar Perak bagi DUN Kampong Gajah iaitu Khairul Azwan Harun.

Khairul Azwan Harun (dua, kiri) menunjukkan salah satu produk berasaskan ikan keli selepas pelancaran di Kolej Komuniti Pasir Salak, Perak
Khairul Azwan mencadangkan beberapa langkah lanjutan bagi memperkukuh impak projek ini.
Beliau berkata, JPKK Kampung Makmur perlu mendaftarkan produk secara rasmi dengan jenama dan logo yang dipilih.
“Penjenamaan strategik ini penting agar produk komuniti bukan sahaja dikenali pada peringkat tempatan, malah mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
“Selain itu, manfaatkan platform digital, koperasi komuniti serta teruslah menimba ilmu dan menyemai semangat keusahawanan dalam kalangan komuniti,” katanya.
Hadir sama Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti JPPKK Wan Marina Wan Mohd Nowalid dan Pengarah Kolej Komuniti Pasir Salak, Mohd Shahrir Ahmad Zaini.
Majlis ini bukan sekadar pelancaran produk, tetapi lambang kejayaan sebuah perjalanan transformasi komuniti daripada usaha menternak ikan air tawar dalam kanvas kepada penghasilan produk makanan hiliran yang mempunyai nilai pasaran dan potensi komersial yang tinggi.
Projek
Sejati Madani ini merupakan inisiatif strategik yang menggabungkan latihan
kemahiran, inovasi, dan keusahawanan komuniti.
Dengan
sokongan peruntukan sebanyak RM10,000, projek ini berjaya membina satu modul
latihan yang mantap dan merangkumi aspek menyeluruh daripada penghasilan produk
hingga ke aspek pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran.
Bagi
memantapkan lagi, seramai 17 peserta dalam kalangan ahli JPKK Kampung Makmur
telah menyertai siri latihan intensif yang diadakan dari 21 Mei hingga 12 Jun 2025 di Kolej
Komuniti Pasir Salak.
Mereka
didedahkan kepada pelbagai teknik pemprosesan ikan keli seperti penghasilan
filet, kek ikan dan bebola ikan yang kesemuanya menggunakan ikan keli ternakan
sendiri.
Malahan, satu produk inovatif turut diperkenal iaitu Fillet Ikan Keli Butter Garlic Herb, hasil olahan resipi unik yang mampu memberi kelainan dalam pasaran produk berasaskan ikan air tawar itu.

Khairul Azwan Harun (dua, kiri) melihat produk hiliran yang dihasilkan penduduk Kampung Makmur, dekat Pasir Salak, Perak
Tidak terhenti setakat itu, para peserta juga menerima latihan dalam bidang pembungkusan dan pelabelan, pemasaran digital, serta pengurusan perakaunan usahawan kecil, semuanya bagi memastikan mereka bukan sekadar mampu menghasilkan produk, tetapi juga bijak mengurus dan memasarkan perniagaan.
Jelaslah, pelancaran ini bukan sekadar satu majlis perasmian, tetapi menjadi simbol kejayaan komuniti luar bandar dalam memanfaatkan sumber sedia ada, memperkukuh semangat gotong-royong, dan melakar hala tuju baharu ke arah ekonomi yang lebih lestari dan berdaya tahan. - KitaReporters