Insan & Komuniti 26 May, 2025

Terbaik pelajar UniKL MITEC! Santuni warga emas Nur Hasanah! Cantikkan landskap! Baik pulih peralatan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Sebahagian pelajar UniKL MITEC, Bandar Seri Alam, Masai, Johor melakukan kerja membaik pulih landskap dan membuat lukisan mural pada dinding pagar Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH).


Program amal kebajikan dalam komuniti masyarakat khususnya yang membabitkan pelajar dari institut pengajian tinggi (IPT) merupakan antara pembuka jalan bagi mereka untuk terus aktif membantu masyarakat selepas tamat pengajian nanti.

Pembabitan mereka itu memberi peluang untuk membuat penilaian serta memahami masalah yang berlaku dalam komuniti masyarakat terutama membabitkan pengabaian ibu bapa yang uzur, menghidap pelbagai penyakit dan menjadi gelandangan.

Setiausaha Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor, Aidah Jaamat, berkata mereka boleh datang ke pusat jagaan warga emas itu untuk membuat pelbagai aktiviti, memulihkan prasarana atau kemudahan asas, melakukan kerja mencantikkan kawasan dan bangunan amat dihargai.


Aidah Jaamat melahirkan rasa terharu ketika berucap pada majlis penyampaian sijil penghargaan kepada pelajar UniKL MITEC yang melakukan kerja amal kebajikan di pusat jagaan berkenaan.


Jelasnya, sesuatu sumbangan atau infak bukan hanya sekadar menghulurkan derma wang ringgit yang sering menjadi anggapan sesetengah pihak tetapi adalah sebaliknya, malah lebih bermakna seperti mengadakan aktiviti menghiburkan hati warga emas, memberikan motivasi, memolekkan landskap dan sebagainya.

Menurutnya, bagi seseorang pelajar selepas menamatkan pengajian dan memperoleh kerjaya baik hendaklah turut nenanamkan keazaman untuk terus membantu mereka yang memerlukan sokongan atau bantuan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan syarikat atau agensi mereka bertugas.

“Perkara itu bukan omong kosong malah sering berlaku apabila ada kakitangan syarikat atau agensi kerajaan memaklumkan mereka pernah datang ke pusat jagaan ini melakukan aktiviti amal kebajikan ketika masih belajar di universiti atau kolej.


Pelajar memasang plastik hitam untuk mencegah rumput liar tumbuh di landskap halaman pusat jagaan berkenaan.


“Situasi begini membuat kami yang mengurus pusat jagaan berasa amat terharu kerana kehadiran mereka untuk kali kedua ini adalah atas pengsyoran kepada majikan bagi membantu pusat jagaan serta warga emas yang menjadi penghuninya,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sijil penghargaan kepada 15 pelajar Jurusan Facilities Maintenance Engineering UniKL MITEC dari Bandar Seri Alam, Masai, Johor yang menganjurkan “Projek Peningkatan dan Penyelenggaraan Landskap Untuk Rumah Jagaan Warga Emas” yang berlangsung di PJNH selama hari tiga hari bermula pada 16 Mei 2025.

Turut hadir pada majlis itu, Lecturer Project Management merangkap penasihat projek berkenaan, Sulastri Zainal Abidin; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengurus PJNH, Kairul Ahmad; dan Ahli Jawatankuasa Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24), Zaiton Yaacob.


Sulastri Zainal Abidin memuji pelajar terbabit kerana berjaya menunjukkan disiplin yang tinggi dan mutu kerja khidmat bakti berkualiti dengan memanfaatkan peluang diberikan bagi membantu PJNH.


Pada projek berkenaan pelajar terbabit dipecahkan kepada kumpulan kecil untuk melakukan kerja membaik pulih landskap, melakukan kerja pembersihan, mencuci dan memperbaiki peralatan elektrik seperti kipas, pendingin hawa, menggantikan soket, menyantuni warga emas dan sebagainya.

Ketika berucap pada majlis itu, Sulastri berkata, walaupun jarak perjalanan mereka ke PJNH hampir 360 kilometer, namun segala penat lelah hilang bagaikan tidak terasa apabila beliau bersama pelajar dapat menyantuni warga emas di pusat berkenaan.

Tambahnya, walaupun dalam tempoh masa yang singkat namun semua pelajar dapat berganding bahu dan bekerjasama bagi menyiapkan tugasan yang diberikan dengan sempurna terutama mencantikkan landskap pokok bunga serta lukisan mural pada dinding pagar PJNH.


Seramai 15 pelajar Jurusan Facilities Maintenance Engineering UniKL MITEC, Bandar Seri Alam, Masai, Johor merakamkan kenangan bersama warga emas Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor selepas melaksanakan “Projek Peningkatan dan Penyelenggaraan Landskap Untuk Rumah Jagaan Warga Emas” pada 16 Mei 2025.


Jelasnya, projek itu juga umpama memberi pendedahan berguna kepada pelajar terbabit dalam proses belajar serta menimba ilmu mengenai aktiviti amal kebajikan dalam komuniti yang boleh dipraktikan apabila menceburi bidang kerjaya dan melaksanakan CSR untuk syarikat atau agensi tempat mereka bertugas.

“Berbuat baik kepada warga emas dengan membantu pusat jagaan bagi meringankan bebanan yang ditanggung adalah satu nilai murni yang mulia serta tidak ternilai apatah lagi apabila berada dalam komuniti masyarakat di kampung kerana akan menjadi contoh terbaik,” ujaranya.

Pengarah program itu, Luqman Harish, pula berkata bagi memastikan projek itu berjalan lancar dia bersama rakannya Setiausaha program, Hubeib Hassan mengadakan perbincangan terlebih dengan pihak pengurusan PJNH terutama mengenai tugasan yang dilakukan.


Beberapa pelajar melihat rakan mereka membersihkan kipas angin dalam bilik tidur warga emas.


Menurutnya, daripada sesi perbincangan itu mereka mengenal pasti peralatan yang diperlukan untuk tugasan landskap, membaik pulih peralatan elektrik dan sebagai supaya aktiviti berkenaan dapat dilakukan dengan sempurna dalam tempoh singkat.

“Saya berterima kasih kepada semua rakan yang melakukan tugasan dengan baik malah berjaya memupuk budaya bekerjasama serta bergotong-royong tanpa mengenal penat lelah sehingga berakhir dengan kerja pembersihan,” ujarnya.

Hubeib berkata, objektif utama projek itu adalah untuk memperbaiki persekitaran PJNH sambil memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar kerana mereka akan terbabit secara langsung dalam kerja peningkatan landskap dan penyelenggaraan kecil di pusat berkenaan. 

Selain itu, menurutnya, ia juga bagi memupuk kemahiran teknikal kerana projek berkenaan bertujuan membentuk semangat kerjasama, pengurusan projek serta tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar, di samping memberi peluang untuk mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar. - KitaReporters


Aidah (tengah) merakamkan kenangan bersama tenaga utama menjayakan “Projek Peningkatan dan Penyelenggaraan Landskap Untuk Rumah Jagaan Warga Emas”  di PJNH.


Pelajar-pelajar merakamkan kenangan bersama Mohiadin Bahado (tengah) yang banyak memberi kata-kata semangat supaya mereka terus melakukan kerja amal kebajikan.

30
10
1
16
0
You will be interested