Insan & Komuniti 10 Jul, 2025

Warkah buat Putri Qisya! Moga kau tabah! Jadi anak solehah! Doakan walid, umi, adik-adik ke syurga!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

ALLAHYARHAM Mohamad Azim Izat Ishak, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi serta empat anak, Putra Rayyan Nur Izzat, Hawa Adriana Nur Izzat, Annayla Humaira Nur Izzat dan Tuah Haydar yang terkorban dalam tragedi di Sungai Korok.


Daripada: Rodly Fadly

Gombak, Kuala Lumpur.


Assalamualaikum Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim. 

Warkah ini ayahanda titipkan khas buat anakanda Qisya. Anakanda pasti tidak mengenali ayahanda, begitu juga ayahanda juga secara peribadi tidak mengenali Qisya, cuma mengikuti berita mengenai anakanda menerusi media. 

Walaupun tidak mempunyai apa-apa hubungan persaudaraan (kecuali saudara sesama Islam) dan tidak mengenali keluarga Qisya, namun apa yang menimpa Qisya turut menyentap emosi ayahanda. Kesedihan turut meresap ke dalam lubuk sanubari ayahanda.

Ayahanda yakin, bukan ayahanda seorang sebaliknya ramai yang lain turut berkongsi kesedihan Qisya dan keluarga atas kehilangan lima enam insan tersayang -- ayah Qisya, Mohamad Azim Izat Ishak, ibu - Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi serta empat adik Qisya - Putra Rayyan Nur Izzat, Hawa Adriana Nur Izzat, Annayla Humaira Nur Izzat dan Tuah Haydar.


KERETA dipandu oleh Mohamad Azim terbabas ke dalam Sungai Korok, Jitra mengorbankan dirinya serta isteri dan anak-anak. - Kredit foto Bernama.


Berat mata kami yang memandang, sudah tentu berat bahu Qisya yang memikul. Walaupun nampak tenang namun ayahanda tahu di sebalik ketenangan wajah Qisya itu sudah pasti  tersembunyi kesedihan yang mendalam. 

Apatah lagi bila Qisya sendiri mula meluahkan rasa rindu terhadap walid, umi dan adik-adik yang terkorban dalam Sungai Korok, Jitra pada Sabtu, 5 Julai, 2025 lalu.

“Saya rindukan walid, umi dan adik-adik... tapi mereka semua dah tiada.” Begitu ungkapan Qisya menyebabkan hati ayahanda makin tersentuh. Mahu saja ketika itu ayahanda terbang mendapatkan Qisya, menggantikan tempat walid, memberi kasih sayang seorang ayah kepada Qisya.

Tapi, ayahanda sedar, yang tumbuh tidak sama dengan yang sudah patah, yang hilang sudah pasti tidak akan berganti. Cuma, apa yang mampu ayahanda lakukan adalah berdoa dari jauh agar anakanda Qisya tabah berdepan ujian ini.


LAPORAN KOSMO


Ingatlah pesanan walid yang menjengah dalam mimpi Qisya. “Jangan sedih, kami tengok kakak dari jauh. Tak apa, ramai yang akan jaga kakak nanti,” demikian ungkap walid dalam mimpi itu.

Memang benar kata-kata walid itu. Ketahuilah, bahawa Qisya tidak keseorangan dalam mengharungi detik-detik sukar ini. Qisya masih ada datuk, nenek dan ibu serta bapa saudara. Guru-guru dan rakan-rakan juga ada di belakang Qisya.

“Hari ini ramai cikgu dan ustazah datang beri semangat. Mereka minta Qisya sentiasa doakan arwah umi dan walid. Mereka kata Qisya anak solehah, umi dan walid tunggu di sana,” kata Qisya.

Malah, banyak pihak yang bukan sekadar bersimpati sebaliknya sudah tampil menghulurkan tangan, memberi bantuan malah sanggup membiayai pelajaran bagi Qisya memenuhi Impian menjadi seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).


AHMAD Zahid bertanyakan khabar Putri Qisya semasa menziarahnya. - Kredit foto Bernama


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri, semasa menziarah Qisya pada Selasa, 8 Julai, 2025, terus mengarahkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) agar mengambil Qisya sebagai anak angkat, dan Mara akan membantu sepenuhnya memastikan Qisya mendapat tempat di MRSM serta memantau perkembangan Qisya sehingga ke peringkat tertinggi.

Ayahanda difahamkan, memang menjadi impian umi mahu melihat Qisya melanjutkan pelajaran ke MRSM. Kini, peluang itu sudah terhidang di depan mata, ayahanda harap Qisya tidak sia-sia demi memenuhi harapan umi.

Sebelum itu, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) juga menawarkan pengajian sepenuhnya di Sekolah Zakat Kedah.

Penolong Ketua Pegawai Agihan LZNK, Yusof Ahmad berkata, Qisya ditawarkan menyambung persekolahan dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di Sekolah Zakat Kedah, di bawah seliaan penuh pihak LZNK.



Ayahanda yakin, dari masa ke semasa, lebih banyak pihak akan tampil membantu Qisya. Inilah hikmah di sebalik tragedi yang menimpa keluarga Qisya.

Qisya, kehidupan perlu diteruskan. Hubungan Qisya dengan walid, umi dan adik-adik mungkin terputus di dunia tapi tidak bermakna sudah terputus terus. Bahagiakanlah mereka di akhirat dengan doa dan sifat mulia Qisya.

Ingatlah pesan walid dan umi yang meminta Qisya belajar bersungguh-sungguh. Walaupun Qisya tidak dapat membalas jasa mereka di dunia tapi jika Qisya berjaya, itu sudah pasti membahagiakan mereka.

Pesan ayahanda, jadilah anak yang solehah kerana kunci untuk berjaya di dunia dan akhirat adalah keimanan serta ketaqwaan terhadap Allah SWT.


MOGA Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.


Ayahanda mendoakan semoga walid dan umi, Mohamad Azim Izat Ishak, 32; Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31; serta adik-adik,  Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan, yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang, Jerlun, dicucuri rahmat, dihimpunkan bersama golongan orang beriman dan dikurniakan syurga!

Akhir kalam Qisya, ayahanda juga mendoakan Qisya tabah, reda dan kuat berdepan ujian ini. Moga, Allah membuka pintu kejayaan dunia dan akhirat untuk Qisya. - KitaReporters 

 

15
9
0
14
0
You will be interested