
Program tahun kedua itu menyerlahkan keindahan bandar bersejarah Taiping sebagai antara destinasi berbasikal tercantik di negara ini.
Para peserta dilepaskan pada jam 7 pagi dari Dataran Warisan Taiping dalam program yang berlangsung meriah pada Ahad 30 November itu.Mereka kemudian menyusuri laluan sekitar Sepetang, Simpang Empat dan Kamunting yang menawarkan pengalaman berbasikal menyeluruh sambil menikmati keindahan alam semula jadi dan warisan budaya Perak. Sama ada mengejar kedudukan podium atau sekadar menikmati pemandangan, para peserta berkumpul untuk meraikan gaya hidup aktif dan semangat kekitaan.Aktiviti ini dianjurkan bersama Kelab Berbasikal Elit dan Gosportz Sdn Bhd dengan sokongan Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh.
“Heritage Ride atau Kayuhan Warisan ini menyatukan masyarakat melalui sukan, sejarah dan kesihatan.
"Ia tentang meraikan asal usul kita dan mengangkat generasi baharu untuk membina komuniti yang lebih sihat dan lebih kuat pada masa depan,” ujar Kah Woh.
Menerusi kerjasama Kementerian Pendidikan, acara ini menawarkan 250 penyertaan percuma kepada pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun.
Ia sebagai inisiatif untuk menggalakkan generasi muda menjadikan sukan berbasikal sebagai aktiviti dan gaya hidup.
Malah lebih menarik para peserta boleh membawa basikal mereka menaiki tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerusi perkhidmatan tanpa henti di mana-mana stesen.
Perkhidmatan itu mendapat sambutan luar biasa sehingga habis ditempah, memberi peluang kepada peserta tiba lebih awal, meneroka Taiping dan membuat persediaan sebelum hari kayuhan.


Selain aktiviti kayuhan, Dataran Warisan turut dimeriahkan dengan trak makanan, cabutan bertuah dan program penaja, menjadikan kawasan itu ruang riang untuk keluarga, rakan-rakan dan peminat berbasikal berkumpul.
Semua pemenang menerima pingat serta hadiah wang tunai sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.
Heritage Ride Taiping 2025 direalisasikan menerusi sokongan rakan kerajaan seperti Majlis Perbandaran Taiping, Visit Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama turut memastikan kelancaran dan keselamatan penganjuran.
Edisi tahun ini sekali lagi mengukuhkan reputasi Taiping sebagai destinasi di mana warisan bertemu gaya hidup sihat -- dan tempat generasi muda digalakkan untuk membesar, belajar dan berkembang melalui aktiviti dua roda. - KitaReporters
