Insan & Komuniti 23 Dec, 2025

Tolong kami! Bantu IR Malaysia! Inisiatif MySedekah Ramadan! Untuk ribuan keluarga terjejas krisis!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Menjelang Ramadan 1447H (Februari 2026), ribuan keluarga terjejas krisis kemanusiaan di dalam dan luar negara berdepan kebimbangan mendapatkan bekalan makanan untuk sahur dan berbuka.



Bagi mereka, selain menjalani dan menikmati ibadah dalam keadaan serba kekurangan, Ramadan juga bulan penuh ujian dan ketidakpastian untuk terus bertahan hidup.

Di Sudan, seorang ibu, Samake, berkongsi bagaimana bantuan pek makanan Ramadan yang diterimanya sebelum ini memberi kelegaan besar kepada keluarganya. 

“Anak-anak saya teruja melihat sumbangan pek makanan yang kami terima ini. Rasa sebak bila melihat mereka dapat menikmati makanan tanpa perlu berkongsi sedikit demi sedikit seperti selalu. Alhamdulillah, saya tak perlu risau lagi apa yang akan kami makan esok,” katanya.

Situasi lebih mencabar di Gaza, Palestin, apabila Umm Muhammad menceritakan realiti berbuka puasa dalam situasi yang sukar. 

“Kami hilang segala-galanya. Setiap hari, kami berpuasa dalam kelaparan. Bila tiba waktu berbuka, hanya sebiji kurma atau setin makanan yang dikongsi lima atau enam orang dalam suasana gelap, tanpa elektrik. Bantuan ini satu rahmat besar bagi kami,” ujarnya. 




Berasaskan keperluan mendesak ini, Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) pada 22 Disember 2025 melancarkan inisiatif MySedekah Ramadan sempena 1 Rejab 1447H dan akan berlangsung dari 22 Disember 2025 hingga 20 Mac 2026, dengan sasaran kutipan dana sebanyak RM2.5 juta.

Inisiatif ini menyasarkan bantuan kepada komuniti terjejas, termasuk anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan keluarga berpendapatan rendah di Palestin (Gaza), Sudan dan Malaysia, dengan sasaran keseluruhan 32,000 penerima manfaat, merangkumi sumbangan pek makanan, hidangan panas atau baucar tunai bagi memastikan keperluan sahur dan berbuka dapat dipenuhi sepanjang Ramadan.

Bagi pek makanan, setiap penerima akan mendapat makanan asas atau makanan ruji mengikut negara masing-masing seperti beras, tepung, jagung, pasta, bijirin, kekacang, daging dalam tin, minyak masak, gula, teh dan kurma.

Rekod Pelaksanaan Bantuan Ramadan IR Malaysia 

Sebagai sebuah organisasi kemanusiaan yang berpengalaman, IR Malaysia mempunyai rekod pelaksanaan bantuan Ramadan yang menyeluruh dan berkesan.

Pada Ramadan 2025 lalu, IR Malaysia telah menyalurkan bantuan Ramadan di 71 lokasi di seluruh Malaysia, melibatkan 5,100 keluarga di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Bantuan tersebut disalurkan dalam bentuk pek makanan atau baucar tunai, bergantung kepada keperluan setempat dan akses kepada pasar raya. 

Melalui baucar tunai, penerima bantuan dapat membeli makanan dan keperluan asas mengikut keperluan keluarga masing-masing, manakala pek makanan mengandungi barangan asas seperti beras, mi, minyak masak, gula, garam, tepung gandum, kicap, sos cili, minuman malt coklat, biskut, teh, kopi, sardin, kurma, santan dan rempah ratus.

Pada peringkat antarabangsa pula, IR Malaysia turut menyalurkan bantuan kepada 730 keluarga di negara-negara bergolak termasuk Palestin, Syria, Lubnan, Yaman, Sudan dan Somalia, mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam membantu komuniti paling terkesan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood: “Pengalaman melaksanakan bantuan Ramadan selama ini membuktikan bahawa sokongan tepat pada masanya mampu memberi kelegaan besar kepada keluarga yang bergelut dengan kelaparan.

“Dengan MySedekah Ramadan, kami berusaha memastikan setiap keluarga yang memerlukan, sama ada di Malaysia atau yang terkesan oleh konflik, dapat menjalani Ramadan dengan keperluan asas yang mencukupi dan harapan untuk terus bertahan.”


MySedekah Ramadan merupakan salah satu inisiatif di bawah Kempen MySedekah, yang menyokong usaha pengumpulan dana keseluruhan berjumlah RM3.5 juta bagi pelbagai projek bantuan kemanusiaan IR Malaysia di dalam dan luar negara.

Melalui sumbangan MySedekah, pelbagai bentuk agihan telah dirancang oleh IR Malaysia sepanjang tahun ini (2025), antaranya bantuan Ramadan, bantuan kecemasan banjir, projek hidroponik, projek Gift of Hope (GOH), bantuan pendidikan melalui Refugee Intellectual Skills & Excellence (RISE), projek keusahawanan, projek kesihatan serta inisiatif kehidupan mampan di peringkat antarabangsa.

Tambah Siti Fadilah, “MySedekah Ramadan diwujudkan bagi memanfaatkan semangat bersedekah yang subur dalam kalangan masyarakat sepanjang bulan Ramadan, dengan impak bantuan yang berterusan dan memberi manfaat sepanjang tahun merentasi pelbagai sektor.” 

Seiring semangat dan keberkatan Ramadan, IR Malaysia mengajak orang ramai untuk merebut peluang berkongsi rezeki mengikut kemampuan, bermula serendah RM10, atau melalui pakej sumbangan RM250 untuk pek makanan atau baucar tunai, serta RM50 bagi makanan panas, demi memastikan tiada keluarga yang terpaksa berpuasa tanpa juadah berbuka.

Orang ramai boleh menyumbang kepada kempen MySedekah Ramadan di www.islamic-relief.org.my atau menghubungi talian +603-8926 3434 untuk info lanjut. - KitaReporters/Kenyataan Media

9
11
0
13
0
You will be interested