
Kerajaan Madani berjanji akan membantu dan membangunkan pondok-pondok agama memandangkan institusi sistem pendidikan Islam itu pernah menjadi benteng akidah, ilmu dan ruh perjuangan umat Islam semasa negara dijajah dahulu.
Sehubungan itu, peruntukan lebih RM2.1 juta telah diluluskan kepada Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan di Bachok bagi kerja-kerja membaik pulih segera beberapa pondok yang didapati terlalu daif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selepas bertemu guru-guru pondok di Malaysia, Indonesia dan Pattani, beliau sedar betapa pendok-pondok agama, yang menjadi benteng ilmu Islam, makin luntur.
Ini kata beliau, kerana kekangan perkembangan dan perhatian kerajaan yang lebih tertumpu kepada sekolah arus perdana.
"Atas kesedaran itu, sebelum hadir ke Bachok saya telah meneliti keadaan beberapa pondok di sini (Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan) yang terlalu daif.
"Maka saya meluluskan peruntukan lebih RM2.1 juta bagi baik pulih segera, yang akan dimulakan dalam beberapa minggu ini," umum Perdana Menteri.

Beliau menjelaskan, inilah sebahagian daripada usaha Negara Madani, dan percubaan kerajaan Madani membangunkan bangsa berasaskan keyakinan dan akhlak.
"Ia belum sempurna, namun dengan bimbingan para guru serta teguran dan kritikan membina, Insya-Allah kita akan terus memperbaiki kekurangan ini demi kemaslahatan umat dan kemuliaan negara," ujar Anwar.
Terdahulu, Perdana Menteri ke Kelantan pada malam 8 Ogos 2025 dan langsung ke Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan di Bachok untuk bertemu dengan guru-guru pondok dan anak-anak pelajar di pusat itu bagi memenuhi undangan Tuan Guru Sheikh Wazir Al-Makki.
Ketika diminta berucap, Anwar menyingkap sejarah perjuangan Islam tatkala umat diserang penjajah sama ada di Tanah Melayu, Indonesia, India, Mesir dan seluruh dunia sehingga sistem pemerintahan yang ada tunduk dan menyerah kepada kekuatan asing.
Ketika itu, kata beliau, sistem ekonomi dan pendidikan ditawan, dan lebih mendalam lagi ialah penjajahan jiwa dan pemikiran.

"Namun dalam keadaan seluruh sistem robek dan runtuh, yang bertahan sebagai benteng akidah, ilmu dan ruh perjuangan umat ketika itu hanyalah pesantren dan pondok-pondok. Itulah sejarah yang perlu kita insafi.
"Kerana itu setelah memegang tampuk pemerintahan, saya menggariskan gagasan Madani.
"Di samping membina kestabilan, memperkukuh tatakelola dan menolak salah guna kuasa, gagasan ini melihat keperluan untuk memperbaharui sistem pendidikan bagi memperkukuh jati diri anak-anak kita.
"Justeru semua pelajar Islam kini didedahkan kepada pengajian al-Quran, termasuk Matan Arbain Hadis 40 Imam Nawawi, di semua sekolah, bukan hanya di sekolah agama atau pondok," tambah beliau.

Sementara itu, semasa menghadiri Ijtimak Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di Machang pada 9 Ogos 2025, bersama Menteri Besar Kelantan, Perdana Menteri sekali lagi mengulang pendirian pondok-pondok agama wajar diberi peluang untuk tumbuh kembali dan juga diberi nafas baharu.
Beliau berkata, sudah tiba masanya gedung Ilmu yang selama ini menjadi kubu pertahanan akidah umat sewaktu zaman penjajahan diberi nafas baharu.
"Setelah sekian lama ia mulai luntur lantaran tidak dapat berkembang dengan baik, saya percaya institusi seperti ini wajar diberi ruang untuk tumbuh kembali," tambahnya.
Untuk itu, beliau menyeru Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri agar mewujudkan kepentingan sinergi dalam mengangkat martabat dan keupayaan institusi pondok.
"Kuasa yang diberi wajar digunakan dalam muafakat untuk manfaat pendidikan (pondok) yang mengatasi perbedaan pendirian politik demi maslahah umum. Kita harus merancang untuk membina dan bukan untuk bersengketa.
"Sebelum ini, pondok adalah kubu pertahanan ilmu dan akidah, namun hari ini kita wajar persiap dan bangunkan institusi pondok sebagai benteng melawan pengaruh yang merosakkan dan menyediakan anak kita menghadapi tantangan zaman," jelas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media
