Insan & Komuniti 22 Jan, 2026

Video| Nampak kelibat puntianak! Perkara biasa bagi pemandu lori! Dah lali diganggu makhluk ghaib!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Dalam dunia pemandu lori, jalan raya bukan sekadar laluan beraspal yang membawa muatan dari satu destinasi ke destinasi lain. 

Ia adalah ruang hidup  yang merentas hutan, ladang, perkampungan sunyi dan lebuh sepi disinari hanya oleh lampu kenderaan dan bulan di langit. Siang atau malam, hujan atau panas, mereka tetap mengemudi, kadangkala bersendirian selama berjam-jam.



Di laluan-laluan inilah, tidak mustahil untuk terserempak dengan sesuatu yang bukan dari alam nyata. Dalam kepercayaan orang Melayu, alam ini tidak hanya dihuni manusia. Ada makhluk dari alam ghaib seperti jin, penunggu dan yang paling sering disebut, puntianak.

Inilah yang dikongsi oleh seorang pemandu lori dalam TikTok dikenali sebagai HadieKargo atau akaun @hadieperdanatebov6 apabila memuat naik satu video pendek, disertai kapsyen ringkas tetapi menggetarkan.



“Puntianak, perkara biasa bagi kami driver lori.”

Video tersebut dirakam sekitar laluan Temerloh ke Lanchang, Pahang, kira-kira jam 1.30 pagi. Dalam rakaman itu, kelihatan satu figura duduk di tepi jalan, rambut panjang mengurai, dalam suasana sunyi dan gelap.

Walaupun video itu pendek, kesannya panjang. Ribuan netizen membanjiri ruangan komen, berkongsi pengalaman masing-masing yang hampir serupa seolah-olah laluan itu memang ‘berpenghuni’.



“Tu memang port dia bang, laluan saya selalu balik kampung Kuala Lumpur–Temerloh,” kongsi salah seorang netizen.

HadieKargo sendiri membalas dengan nada bersahaja, seolah-olah apa yang dilihat itu hanyalah sebahagian rutin hidupnya.

“Ya, secara kebetulan dia nak cerahkan mata,” balasnya.



Bagi pemandu lori yang sudah bertahun-tahun di jalanan, apa yang menakutkan bagi orang biasa mungkin sekadar gangguan kecil. 

“Samalah dulu masa bawa lori macan-macam nampak, tapi macam biasa jer rasa. Macam tiada yang menakutkan,” cerita netizen tersebut.

Daripada perkongsian netizen itu, sudah cukup menggambarkan betapa kerapnya pemandu-pemandu ini berhadapan dengan perkara-perkara aneh sepanjang perjalanan mereka.



Ada juga yang cuba memperinci apa yang sebenarnya kelihatan dalam video itu. 

“Tengah duduk, muka menghadap belakang,” jelasnya sambil diiyakan oleh HadieKargo yang menjelaskan makhluk ghaib tersebut berambut panjang.

Di situlah imaginasi netizen mula bermain. Dalam budaya Melayu, puntianak sering digambarkan sebagai perempuan berambut panjang, berpakaian putih, dan muncul di kawasan sunyi.



“Saya pernah kena dekat Lenggong, Perak. Berhenti tidur tepi jalan dalam pukul tiga pagi, ia henjut belakang kereta. Dahlah belakang 4x4 saya penuh batu nisan. 

"Saya marah ia, lepas tu ia heret cangkul atas tar keliling kereta. Saya buka tingkap maki dua tiga bakul terus start kereta tidur dekat masjid,” cerita netizen ini.

Seorang lagi netizen pula terkejut apabila menyedari lokasi itu dekat dengan tempatnya.

“Masya-Allah, warung aku sebelah tu. Baru lagi kan? Sebab atap tepi tu baru seminggu pasang,” soalnya terkejut.



Bagi orang biasa, cerita-cerita seperti ini mungkin hanya hiburan TikTok. Tetapi bagi mereka yang hidup di jalan raya, pemandu lori, pemandu bas, pemandu treler, kisah seperti ini adalah sebahagian daripada realiti.

Mereka merentas laluan gelap, hutan tebal, kampung sunyi dan jalan lama yang jarang dilalui orang. Di situlah, kata mereka, tabir antara alam manusia dan alam ghaib terasa lebih nipis.

Sama ada ia benar-benar puntianak atau sekadar bayang-bayang dalam gelap malam, satu perkara pasti, kisah ini telah membuka satu lagi sisi dunia pemandu lori yang jarang kita lihat. - KitaReporters



15
18
0
17
0
You will be interested