Sebagai seorang Ibu kepada anak yang ada masalah kesihatan mental jenis skizofrenia, saya sering diberi nasihat untuk menghantar anak saya ke Tanjung Rambutan atau Hospital Bahagia untuk memulihkannya.
Malah setiap kali berlaku insiden melibatkan pesakit mental, reaksi masyarakat hampir sama, mereka takut, berasa marah dan mendesak supaya pesakit mental “dikurung” di hospital mental.

Hospital Bahagia, hospital penyakit mental, yang terbesar di Malaysia.
Nama Hospital Bahagia atau Tanjung Rambutan sering disebut, seolah-olah itulah satu-satunya jawapan kepada masalah kesihatan mental, khususnya skizofrenia.
Hakikatnya, tanggapan ini bukan sahaja silap, malah berbahaya kepada pesakit mental dan adakalanya memberi info yang silap kepada penjaga dan keluarga pesakit skizofrenia..
Saya seorang Ibu yang menjaga anak yang sakit skizo ini sejak beliau didiagnos sebagai pesakit skizo ketika umurnya 24 tahun, sekarang anak saya sudah berusia 44 tahun.
Maknanya 20 tahun saya cuba memahami apa itu sakit skizo dan mencari banyak ilmu tentang perubatan sakit ini.
Daripada research yang saya buat dan pembacaan saya dan ilmu-ilmu yang saya dapat daripada ceramah dan menghadiri kursus caregiver (penjaga pesakit), barulah saya tahu bahawa sakit mental jenis ini tak sama dengan " orang gila" yang kita nampak berkeliaran di jalan raya dan gelandangan yang tidak dipedulikan.
Sebenarnya skizofrenia bukan penyakit keganasan. Ia adalah gangguan mental kronik yang menjejaskan pemikiran, emosi dan fungsi sosial seseorang.
Ramai pesakit skizofrenia sebenarnya tidak agresif, bersifat pasif, pendiam dan mudah cemas.
Mereka bukan ancaman kepada masyarakat, tetapi golongan yang memerlukan sokongan berterusan dan persekitaran yang sesuai untuk pulih.

Pelbagai masalah boleh timbul apabila pesakit skizofrenia ditempatkan dalam hospital psikiatri yang menempatkan pelbagai kategori pesakit mental, termasuk kes psikotik akibat dadah, pesakit yang agresif dan kes forensik.
Campuran ini boleh memberi kesan buruk kepada pesakit skizofrenia yang mudah terpengaruh, berasa trauma dan takut.
Disebabkan itu, pesakit bukannya semakin pulih, malah ada yang menjadi semakin tertekan dan mengalami kemerosotan fungsi.
Hospital psikiatri sebenarnya diwujudkan untuk rawatan akut -- rawatan segera untuk keadaan perubatan yang timbul secara tiba-tiba -- menstabilkan pesakit melalui ubat dan kawalan keselamatan. Ia bukan pusat pemulihan jangka panjang.
Pesakit yang sudah stabil sepatutnya dibantu untuk kembali berfungsi dalam masyarakat, bukan terus bergantung sepenuhnya kepada institusi.
Di sinilah kegagalan sistem berlaku. Pesakit skizofrenia memerlukan lebih daripada ubat. Mereka perlukan rutin, sokongan psikososial, latihan kemahiran hidup dan peluang untuk merasa diri mereka berguna.
Tanpa semua ini, mereka mudah mengalami ‘institutionalisation’ (penginstitusian) atau terlalu lama bergantung kepada hospital sehingga hilang keyakinan untuk hidup di luar.
Lebih membimbangkan, kerana percampuran pesakit mental yang diakibatkan daripada penyalahgunaan dadah, mereka yang bersifat agresif dan tidak stabil, sering memberi pengaruh negatif kepada pesakit skizofrenia.
Persekitaran yang tidak sesuai ini meningkatkan risiko relapse (kembai sakit) dan melambatkan proses pemulihan.
Atas sebab inilah Malaysia perlu memikirkan secara serius penubuhan pusat pemulihan khas untuk pesakit skizofrenia.

Pusat pemulihan ini bukan hospital, tetapi pusat komuniti berasaskan pemulihan fungsi. Hanya pesakit yang stabil dari segi ubat ditempatkan di sini. Tiada campuran kes dadah atau forensik. Suasana perlu tenang, selamat dan berperikemanusiaan.
Di pusat ini, pesakit menjalani rutin harian seperti terapi kerja, menjalankan aktiviti berkebun, memasak, aktiviti seni, senaman ringan, keagamaan dan latihan komunikasi sosial.
Fokus utama bukan diagnosis, tetapi keupayaan untuk hidup berdikari secara berperingkat-peringkat.
Model ini telah lama dilaksanakan di negara maju dan terbukti mengurangkan kadar kemasukan semula ke hospital, juga turut mengurangkan beban keluarga serta meningkatkan kualiti hidup pesakit skizo.
Malangnya di Malaysia, sistem kita masih terlalu berfokus kepada hospital dan terlalu sedikit kepada pemulihan jangka panjang.
Skizofrenia tidak boleh dirawat dengan mengasingkan pesakit daripada dunia. Ia hanya boleh diurus dengan memberi mereka ruang untuk pulih, berfungsi dan kembali menjadi sebahagian daripada masyarakat.
Jika kita benar-benar mahu menjaga keselamatan awam dan maruah insan, maka sudah tiba masanya kerajaan, pembuat dasar dan masyarakat melihat skizofrenia dari sudut pemulihan, bukan hukuman.
Perlu diingat bahawa pesakit skizofrenia bukan gila dan perlu disorok. Mereka adalah insan-insan istimewa untuk dipulihkan.
Sama-samalah kita memahami isu pesakit mental jenis skizofrenia ini yang ramai tidak faham dan sering membuat andaian yang salah. - KitaReporters
