Usaha terkini malah pertama di negara apabila diwujudkan platform untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkongsi dan menyampaikan pelbagai informasi mengenai industri kebajikan kerana sebelum ini tiada saluran yang menyebar luas maklumat termasuk keperluan dalam kerja kebajikan.

Kewujudan
platform itu memberi pendedahan lebih tepat, cermat, berdaya guna malah sebaran
lebih cepat untuk diuar-uarkan kepada masyarakat
umumnya di samping menjimatkan atau meminimumkan pembaziran masa, tenaga serta
kos bagi mencapai hasil lebih optimum.
Mengambil inisiatif itu, satu kumpulan pejuang kebajikan melancarkan radio online kebajikan yang pertama di Malaysia yang dijenamakan Peduli Radio dengan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pada 24 Ogos 2025.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi INSAF Malaysia, Ishak Abdul Kadir dan penerima Anugerah Tokoh NGO Belia (Kepimpinan Rumah Kebajikan) yang juga Penolong Setiausaha Pertubuhan Gabungan Rumah Kebajikan Perpaduan Negeri Selangor (PAKAR), Muhammad Syafiq Mohiadin yang berlangsung di Konti Peduli Radio di Aras 3, Park & Ride Terminal Putrajaya Sentral, Presint 7, Putrajaya.

Ahmad Fahmi Fadzil menerima ucapan terima kasih daripada Tuan Ishak selepas merasmikan Peduli Radio.
Pendengar boleh mengikuti Peduli Radio di www.peduliradio.com.
Muhammad
Syafiq yang dilantik sebagai penyampai radio berkenaan, berkata stesen radio
itu akan sentiasa memberi info terkini mengenai peranan serta berkongsi
maklumat mengenai NGO dalam kerja kebajikan termasuklah memaklumkan kepada
orang ramai tempat bagi disalurkan sumbangan.
Tambahnya, Peduli Radio juga akan menjadi platform untuk mewakili seluruh NGO termasuk di luar negara mengenai pelbagai perkara berkaitan kerja kebajikan, bantuan, sokongan dan sumbangan yang boleh disalurkan supaya usaha dibuat itu menepati sasaran sebagaimana dirancangkan.
Menurutnya, stesen radio itu juga sebagai platform yang membawa naratif kebajikan kepada masyarakat dan menjadi hab mengumpulkan kisah-kisah perjuangan NGO, misi kesukarelawanan dan pengesahan inspirasi kepada pendengar.

Muhammad Syafiq Mohiadin mendapat kepercayaan menjadi penyampai pertama Peduli Radio.
Jelasnya, beroperasi selama 24 jam itu sudah pasti akan memberi peluang kepada orang ramai, pemimpin, aktivis masyarakat, sukarelawan dan ahli NGO atau sesiapa sahaja untuk berbual sambil berbincang pelbagai isu yang berlaku dalam komuniti terutama apabila membabitkan NGO.
“Peduli Radio akan menjadi platform terbaik untuk mereka apabila berpeluang bersiaran secara langsung dengan memberi kebebasan untuk bersuara tanpa melalui perantaraan dengan mengemukakan pendapat atau cadangan yang membina ke arah kebaikan untuk semua.
“Namun begitu, perkara yang boleh menjadi sensitif atau menyinggung mana-mana pihak kami tidak benarkan kerana stesen radio ini akan bersiaran dalam suasana santai, mesra pendengar dan membawa usaha kepada kebaikan NGO apabila mendampingi masyarakat,” ujarnya.

Muhammad Syafiq bersama Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang selepas Segmen YBSM.
Muhammad
Syafiq berkata, bagi berkongsi informasi Peduli Radio mewujudkan segmen khas iaitu
“Bersama Yang Berkhidmat Syafiq Mohiadin (YBSM)” yang berupa ‘live radio podcast’
dengan menjemput ramai tetamu istimewa yang sudah terbabit NGO sejak sekian
lama bagi membantu masyarakat dan sebagainya.
Jelasnya,
pada setiap minggu tetamu yang diundang itu terbabit dengan kerja kebajikan
menerusi NGO mereka dalam pelbagai bentuk sumbangan atau bantuan untuk
berkongsi cerita perjuangan serta cabaran atau dugaan terpaksa ditempuh ketika
melaksanakan kerja kebajikan.
“Menerusi segmen ini masyarakat boleh mendengar untuk memahami tugas NGO dalam melakukan kerja kebajikan secara tidak langsung memberi inspirasi kepada pendengar untuk sama-sama berkongsi idea supaya usaha dilakukan boleh dibuat penambahbaikan yang lebih berkesan.

Muhammad Syafiq berkongsi beberapa informasi dengan pendengar ketika bersiaran.
“Sudah tiba
masanya radio kebajikan diwujudkan dan berperanan membentuk jiwa dan nilai-nilai
kebaikan buat masyarakat di negara kita, manakala setiap segmen yang
diketengahkan pasti membawa impak dan kesan positif buat semua pendengar.
“Justeru
itu, saya menyeru semua masyarakat untuk menyokong inisiatif ini dengan menjadi
pendengar Peduli Radio dan menjadikannya stesen radio harian anda,” katanya
sambil menambah Peduli Radio juga boleh diklasifikasikan sebagai radio untuk
komuniti.
Anda juga boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan isu kebajikan dan misi kemanusiaan dengan mengikuti akaun media sosial Peduli Radio.
Sokongan anda pasti akan menjadikan Peduli Radio sebagai radio pilihan komuniti hari ini. - KitaReporters

Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (tiga dari kiri) merakamkan kenangan bersama tetamu jemputan selepas merasmikan Peduli Radio di Putrajaya Sentral, Presint 7, Putrajaya.