SUASANA pagi Ahad di pekarangan Open University Malaysia (OUM) di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor yang biasanya agak sunyi, tiba-tiba meriah apabila orang ramai menyerbu tapak letak kereta yang menempatkan pelbagai pakaian dan barangan rumah sempena Free Market Ramadan dan Raya anjuran Bandar Baru Bangi Community (BBBC).
Lebih menarik, ramai ibu bapa membawa anak-anak bersama untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam program perkongsian rezeki pada 8 Februari 2026 itu.
@razakbasarudin Free Market Seksyen 7 Bandar Baru Bangi.
♬ original sound - razakbasarudin

Program yang berlangsung sejak jam 8 pagi itu bukan sahaja menjadi medan mendapatkan barangan keperluan secara percuma, malah berperanan sebagai platform pendidikan tidak formal kepada kanak-kanak mengenai nilai empati, keprihatinan dan semangat memberi.
Pengarah Program Free Market Ramadan dan Raya, Khansa' Zulkiflee, berkata kehadiran ramai kanak-kanak bersama keluarga menjadi perkara paling menggembirakan sepanjang penganjuran program berkenaan.

Ibu bapa patut dipuji kerana membabitkan anak-anak dalam program Free Market, sekali gus membentuk mereka menjadi generasi yang empati dan mempunyai kesedaran sosial tinggi.
“Saya paling suka melihat anak-anak yang hadir dan mengambil bahagian. Kita perlu beri kredit kepada ibu bapa kerana mereka bukan sekadar datang sebagai penyumbang, tetapi melatih anak-anak dan anggota keluarga untuk terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.
"Pendekatan itu secara tidak langsung mendidik anak-anak sejak kecil untuk menjadi insan yang prihatin, bertanggungjawab dan suka membantu masyarakat sekeliling.
“Apabila dari kecil mereka dilatih untuk memberi, menyantuni masyarakat dan menderma, ini akan membentuk generasi yang empati, berakhlak serta mempunyai kesedaran sosial yang tinggi,” katanya.


Free Market adalah platform pendidikan tidak formal kepada anak-anak mengenai nilai empati, keprihatinan dan semangat memberi.
Program Free Market itu dianjurkan oleh sukarelawan BBBC dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) serta Ahli Majlis MPKj Zon 16, Bukhari Bachok.
Seramai 50 penyumbang mengambil bahagian dalam program kali ini, melepasi sasaran asal iaitu 47 penyumbang, sekali gus membuktikan sambutan komuniti yang semakin memberangsangkan.
Khansa berkata, Free Market atau Pasar Percuma kali ini diadakan bagi meraikan Ramadan serta Tahun Baharu Cina, selari dengan konsep keterangkuman yang dibawa oleh penganjur.
"Namun, keadaan agak sesak berikutan kawasan parkir terhad, terutama apabila kebanyakan penyumbang mahu berada berhampiran lokasi utama di hadapan Open University Malaysia (OUM).
“Terdapat juga penyumbang yang hadir secara ‘walk-in’ tanpa pendaftaran awal selepas mendapat maklumat daripada rakan dan media sosial seperti Facebook dan WhatsApp, jadi sukarelawan kami terpaksa mengambil sedikit masa untuk menyusun kenderaan," katanya.

Khansa' Zulkiflee

Apabila dari kecil anak-anak dilatih memberi, menyantuni masyarakat dan menderma, ini akan membentuk generasi yang empati.
Beliau berkata, barangan kanak-kanak seperti pakaian, kasut, beg sekolah dan buku menjadi antara paling cepat habis kerana mendapat sambutan tinggi, terutama daripada keluarga yang mempunyai ramai anak.
“Malah sebelum jam 9 pagi pun, kebanyakan barangan kanak-kanak sudah habis diambil pengunjung.
"Selain itu, orang ramai berminat untuk mendapatkan pakaian raya yang digantung kerana lebih mudah dipilih berbanding pakaian yang dilonggok, selain keadaannya masih baik dan baharu walaupun sudah digunakan sebelum ini," katanya.
"Begitu juga dengan barangan keperluan Ramadan dan Aidilfitri seperti telekung, jubah dan tudung turut menjadi tumpuan pengunjung, selain peralatan rumah termasuk karpet, kereta sorong bayi dan mainan kanak-kanak," katanya.


Penyumbang sanggup berpanas semata-mata mahu memberi sumbangan barangan dan pakaian mereka kepada orang ramai.
Khansa gembira kerana setiap kali Free Market dianjurkan, penyumbang dan penerima sama-sama puas hati kerana barangan habis dan sambutan luar biasa.
Program itu turut mendapat sokongan penaja yang menyumbang makanan dan minuman seperti nasi lemak, teh, air balang, teh tarik, air sirap dan roti bun untuk pengunjung.
"Saya berharap program ini dapat dikekalkan untuk tempoh yang lama dan jka bukan kami pun yang menganjurkan, mungkin pelapis akan meneruskan aktiviti yang baik ini sampai bila-bila.
"Kami juga berharap dapat meningkatkan keberkesanan program ini malah ia diperluas ke tempat lain, tak kisah la jika mereka menggunakan konsep yang sama.
"Baru-baru ini ada masjid di Cheras mengadakan aktiviti Free Market menggunakan konsep yang kami buat. Ini amat menggembirakan, semoga lebih ramai dapat mengambil konsep ini malah kami sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran.
"Ia satu petanda positif kerana program seperti free market melahirkan komuniti yang prihatin, suka memberi dan menerima," katanya.

Sukarelawan BBBC yang banyak membantu melancarkan program Free Market Ramadan dan Raya.

Putera Kelana Mohamad,
Sementara itu, Penyelaras Sukarelawan BBBC, Putera Kelana Mohamad, berkata beliau terharu dengan kehadiran penyumbang dari pelbagai kawasan, bukan sekitar Bandar Baru Bangi saja tapi dari Cyberjaya, Semenyih, Serdang, Banting malah di luar Selangor termasuk Negeri Sembilan dan Pahang.
“Bukan sahaja orang Melayu, malah keluarga Cina dan India hadir mengambil barangan secara percuma. Inilah matlamat kami, Free Market ini bukan untuk satu kaum sahaja tetapi meraikan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama malah sesiapa saja tanpa mengenali status mereka.
"Penyumbang juga sangat bertanggungjawab kerana memastikan barangan yang diberikan dalam keadaan baik, bersih dan masih cantik untuk digunakan.
“Kami maklumkan awal-awal supaya barangan yang dibawa bukan untuk dibuang. Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan sempurna dan berbaloi untuk orang ramai,” katanya.


Bukan sekadar menyumbang pakaian, mereka juga memberi dengan senyuman ikhlas.
Beliau berterima kasih kepada sukarelawan BBBC yang banyak membantu melancarkan perjalanan program, mereka hadir sejak awal pagi untuk memastikan penyumbang mendapat lokasi yang sesuai, lebih teratur dan selesa selain mengawal lalu lintas.
"Insya-Allah untuk program Free Market akan datang, mungkin sebelum Hari Raya Haji, BBBC merancang menambah baik penganjuran akan datang termasuk mencari lokasi lebih luas bagi mengelak kesesakan dan memberi keselesaan kepada penyumbang dan orang ramai yang hadir," katanya. - KitaReporters

Bukan setakat memberi pakaian dan barangan rumah percuma, penyumbang juga menyediakan minuman kepada orang ramai secara percuma.