Tahun 2025 ini, Biro Haluan Fitrah Kedah dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) diberi tanggungjawab besar mengendalikan Program Maulidur Rasul Mualaf Peringkat Negeri Kedah 2025.

Seramai 155 peserta telah berpeluang ambil bahagian dalam pelbagai acara berlangsung di Masjid Kariah Bandar Perdana, Sungai Petani, Kedah pada 21 September 2025 lalu.
Peserta Musliminnya berpakaian baju Melayu dan bersampin, manakala Muslimatnya pula berpakaian menutup aurat di program bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang itu.
Semua peserta dari daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Padang Terap, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.

Peserta dari Kampung Orang Asli Ulu Legong, Baling turut menyertai program Maulidur Rasul Mualaf Peringkat Negeri Kedah 2025 pada 21 September 2025.
Ketua Pegawai Agihan LZNK, Mohamad Suraidi Saad ketika merasmikan program itu berkata, usaha dilakukan, boleh mengeratkan hubungan baik antara mualaf (atau kini disebut revert atau kembali) di seluruh negeri Kedah.
"Mereka mengikuti pelbagai acara disusun seperti Perbarisan Kontinjen Mualaf Daerah, Lintas Hormat Kontinjen Daerah, Tazkirah Maulidur Rasul, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) kemudian Anugerah Kontinjen Daerah terbaik.
"Ilmu yang diperolehi itu jika dihayati sepenuhnya boleh dijadikan panduan untuk memperbaiki diri sendiri," katanya.

Kontinjen Mualaf dari daerah Kubang Pasu bergambar kenangan setelah muncul sebagai pasukan terbaik di program tersebut.
Pengarah program itu, Wan Mohamed Yusfi Mohd Abdoh pula berkata, bagi menjayakan program begini, bukan perkara yang mudah.
"Bagaimanapun, Kontinjen Mualaf daerah Kubang Pasu muncul sebagai kumpulan terbaik, kedua dimenangi daerah Baling dan ketiga di menangi daerah Kulim," katanya.
Penerima hadiah kontinjen terbaik itu, Noraisah Abdullah berkata, dia sendiri tidak sangka, kontinjen Kubang Pasu berjaya muncul sebagai juara setelah menjalankan pelbagai aktiviti di program itu.
"Usaha dilakukan oleh peserta dengan penuh bersemangat, akhirnya membuahkan hasil," katanya.

Kontinjen Mualaf dari daerah Kuala Muda bergambar kenangan semasa menghadiri program itu.

Wan Mohamed Yusfi Mohd Abdoh (kiri) menyampaikan hadiah kepada Adam Abdullah mewakili kontinjen dari daerah Baling setelah mendapat tempat kedua di program itu.
Turut hadir menyaksikan program itu, Ketua Unit Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial LZNK, Mohd Khairi Ishak; Pegawai Zakat Daerah Kuala Muda, Ahmad Mustaqim Zainal Abidin; dan Setiausaha Masjid Kariah Bandar Perdana, Redzuan Mohammad. - KitaReporters