PERANCANGAN pembandaran yang mampan merupakan aspek penting dalam menjamin kualiti hidup rakyat serta kelestarian pembangunan negara. Di Malaysia, kebanyakan perancangan bandar yang dirangka Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah bersifat ideal dan menyeluruh.


Namun, pelaksanaannya sering terbantut akibat kekangan kewangan serta kerenah birokrasi. Kegagalan pelaksanaan ini memberi kesan langsung terhadap pencapaian Malaysia dalam merealisasikan matlamat pembandaran mampan, khususnya dari segi penyediaan kemudahan asas seperti sistem jalan raya dan pengangkutan awam yang efisien.
Sebagai perbandingan, Singapura merupakan antara negara yang mencapai kedudukan tertinggi dalam senarai bandar paling selesa untuk didiami di dunia. Kejayaan ini bukan dicapai secara kebetulan, tetapi hasil perancangan bandar yang sangat terperinci, berwawasan dan konsisten.
Ini termasuk penggunaan kawasan hijau, taman rekreasi dan taman botani secara meluas dalam pelan pembangunan bandar.
Langkah ini bukan sahaja menambah nilai estetik dan keselesaan kepada penduduk, malah menurunkan suhu kawasan penempatan sehingga 2°C berbanding bandar-bandar lain yang tidak dirancang secara lestari.

Perancangan bandar di Singapura dikatakan antara yang terbaik di dunia.
Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia), Datuk TPr Dr Alias Rameli berkata, Malaysia mempunyai aspirasi yang sama melalui pelbagai pelan dan dasar pembangunan seperti Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Pihak Berkuasa Tempatan dan Pelan Induk Bandar Pintar.
Beliau berkata, bagaimana pun, pelaksanaan inisiatif ini sering bergantung kepada keupayaan kerajaan negeri dan PBT yang menghadapi masalah kewangan terhad.
Selain itu, birokrasi yang rumit serta ketidakselarasan antara agensi kerajaan menyebabkan pelaksanaan tidak berlaku secara sistematik.

Dr Alias Rameli
"Oleh itu, Malaysia wajar mengambil pendekatan lebih dinamik bagi mengelak kekangan kewangan dan masalah birokrasi yang menjadi penghalang untuk merealisasikan perancangan pembandaran mampan dan berdaya saing.
"Negara boleh membuat pelaburan dalam infrastruktur hijau seperti taman botani, koridor hijau dan sistem pengangkutan rendah karbon bagi memberikan pulangan jangka panjang dari segi kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan sosial.
"Perancangan pembandaran yang ideal hanya berjaya jika disusuli dengan pelaksanaan yang berkesan, berasaskan fakta, serta didukung kerjasama antara kerajaan pusat, negeri dan PBT.
"Malaysia perlu memperkukuh struktur pentadbiran, membina kapasiti kewangan dan mencontohi amalan terbaik negara maju seperti Singapura demi menjamin pembangunan bandar yang benar-benar mampan, inklusif dan selesa untuk semua," katanya.

Sidang media sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) dan Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) 2025 pada 28 hingga 31 Oktober 2025.
Beliau berkata demikian pada prapelancaran dan sidang media Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) dan Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) di Lobi Blok B, Perbadanan Putrajaya.
Turut hadir, Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia, TPr Mazrina Abdul Khalid dan Naib Presiden Jabatan Perancang Bandar, Perbadanan Putrajaya, Datin TPr Salmah Salman
Sidang media itu juga sempena Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) 2025.
Majlis Perasmian HPBS dan NPC 2025 akan diadakan pada 28 Oktober 2025 dan bakal disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Perbadanan Putrajaya selaku tuan rumah.
HPBS 2025 bertemakan Pembaharuan Semula Bandar: Agenda Perancangan untuk Rakyat manakala tema NPC 2025 ialah "AI Meets Urban Planning".
NPC 2025 & MyCity Expo 2025 yang merupakan platform perkongsian ilmu dan pameran akan berlangsung pada 28 hingga 31 Oktober 2025. Turut diadakan sesi forum, ucaptama dan dialog yang menampilkan tiga personaliti:
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa
- Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari
- timbalan Gabenor Jawa Timur, Dr Emil Elestianto Dardak

Mazrina Abdul Khalid
Bagi TPr Mazrina Datuk Abdul Khalid, konsep perancangan pembandaran Madani perlu diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan kesinambungan pembangunan negara yang mampan dan berteraskan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, konsep pembandaran Madani menekankan elemen kesejahteraan sosial, keterangkuman, kelestarian alam sekitar dan kemajuan ekonomi.
Ini selaras dengan aspirasi Malaysia ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi.
"Melalui Kota Madani, pembangunan dilaksanakan secara inklusif, perumahan kerajaan dan penduduk dibina dalam kawasan yang sama, juga kemudahan lain seperti sekolah, pusat perniagaan, masjid dan balai polis terletak dalam lingkungan yang dekat untuk bergerak iaitu 500 meter hingga satu kilometer atau 10 hingga 15 minit.

Seremban 2 dibina dengan konsep bandar terancang bagi mengimbangi kesesakan teruk Bandar Seremban.
"Melalui perancangan pembangunan semula bandar itu, semua akses lebih mudah dicapai dan penduduk tidak perlu banyak bergerak menggunakan kenderaan sendiri sekali gus mengelak kesesakan di jalan raya.
"Konsep Kota Madani memberi ruang kepada pembangunan secara holistik dan menyeluruh, sekali gus mendorong pelaburan yang seimbang ke kawasan yang kurang membangun, dengan sokongan prasarana, digitalisasi dan tenaga kerja terlatih," katanya. - KitaReporters