Insan & Komuniti 05 Nov, 2025

Tolong kami! Bantu IR bantu rakyat Sudan! Hentikan perang! Beri akses kepada bantuan kemanusiaan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Organisasi kemanusiaan dan perlindungan awam memberi amaran keras berhubung laporan mengenai pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di dalam dan sekitar El Fasher, Darfur Utara, di mana orang awam dibunuh, dibiarkan kelaparan, dan hidup dalam ketakutan ketika pertempuran semakin memuncak ke tahap bencana. 


Islamic Relief Sudan turut memberi sokongan moral kepada golongan kanak-kanak dan wanita yang terjejas di Sudan.


Tanpa tindakan segera, puluhan ribu nyawa berisiko hilang dalam masa beberapa hari akibat keganasan, kebuluran, dan halangan berterusan terhadap akses bantuan kemanusiaan.

Selama beberapa bulan, serangan berterusan dan pertempuran darat telah memusnahkan El Fasher, menyebabkan orang awam terperangkap di antara kawasan pertempuran. 

Seluruh kejiranan musnah, rumah dibakar, dan mayat dibiarkan tidak dikebumikan di jalanan. 

Saksi melaporkan adegan mengerikan di mana orang awam dibunuh ketika cuba melarikan diri, yang cedera dibiarkan mati, dan kanak-kanak menangis di sisi jasad ibu bapa mereka.

“Dalam tempoh 72 jam yang lalu, kami menerima pelbagai laporan dipercayai mengenai serangan terhadap orang awam di rumah mereka, di tempat awam, hospital, serta di tepi jalan ketika mereka cuba melarikan diri ke Tawila dan kawasan lain. 

"Serangan terhadap orang awam, petugas perubatan, dan petugas bantuan perlu dihentikan serta-merta,” kata Peter Burgess, Ketua Inter-Agency Working Group (IAWG).


Sumbangan khemah oleh Islamic Relief Malaysia.


Orang awam yang cuba melarikan diri ke Tawila dan kampung berhampiran berdepan pelbagai kekejaman termasuk pemerasan, penculikan, keganasan seksual dan hukuman mati di sekatan jalan. Penduduk Tawila melaporkan mayat ditemui setiap sepuluh meter di sepanjang laluan antara El Fasher dan Tawila. Ramai yang tiba dalam keadaan cedera, kekurangan zat, dan ada yang meninggal dunia sebaik tiba.

Lebih 400,000 orang pelarian dalam negara (IDP) sudah berlindung di Tawila sebelum kejatuhan El Fasher. 

Kini, mereka yang berjaya tiba di Tawila menghadapi kekurangan makanan, ubat-ubatan dan tempat perlindungan. 

Kanak-kanak yang tiba bersendirian, kelihatan trauma dan kebuluran, manakala komuniti tuan rumah pula semakin tertekan. 

Agensi kemanusiaan hanya mampu memenuhi kurang separuh daripada keperluan asas semasa.


Aktiviti psikososial bersama kanak-kanak Sudan.


Sementara itu, akses kemanusiaan ke El Fasher terhenti sepenuhnya, dan keselamatan mereka yang masih terperangkap menjadi kebimbangan besar. 

Petugas tempatan beroperasi dalam keadaan berbahaya tanpa komunikasi dan dengan konvoi bantuan disekat. 

Ahli keluarga kehilangan nyawa akibat kelaparan dan kehausan di dalam bandar tanpa mampu melarikan diri, sementara agensi bantuan tidak dapat masuk. 

Organisasi kemanusiaan dan perlindungan menyeru kerajaan, badan serantau, dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak segera bagi menghentikan kekejaman ini:

  • Menuntut penghentian segera serangan terhadap orang awam, penahanan sewenang-wenangnya, kehilangan paksa dan hukuman mati tanpa perbicaraan.
  • Memastikan pengunduran dan pemindahan orang awam dilakukan dengan selamat, serta akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan.
  • Melindungi orang awam, petugas kemanusiaan dan perubatan, serta infrastruktur awam termasuk hospital dan kemudahan air dan tenaga di bawah Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa.
  • Menyediakan bantuan kemanusiaan seperti makanan, air, rawatan perubatan dan perlindungan serta melakukan operasi pemindahan segera di sepanjang laluan perpindahan antara El Fasher dan Tawila.
  • Menyokong petugas tempatan dan rangkaian perlindungan komuniti yang terus mempertaruhkan nyawa mereka untuk membantu mangsa.
  • Mengecam keras serangan ke atas orang awam termasuk pembunuhan di luar undang-undang, penahanan berasaskan etnik, dan keganasan seksual, serta memastikan akauntabiliti terhadap jenayah ini.
  • Menggunakan pengaruh diplomatik dan ekonomi untuk menghentikan pemindahan senjata serta sokongan kewangan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam konflik.

Sumbangan untuk rakyat Sudan.


Sehubungan itu, Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) menyokong sepenuhnya kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh IAWG ini dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera bagi melindungi orang awam serta memulihkan akses kemanusiaan di Sudan.

“Situasi di El Fasher amat membimbangkan dan menyayat hati. Penduduk awam terperangkap dalam pertempuran yang berlarutan, ramai kehilangan nyawa, manakala kebuluran dan penderitaan semakin meningkat. 

"Laporan yang diterima menggambarkan keadaan kemanusiaan yang amat kritikal,” kata Siti Fadilah Mohd Hood, Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia.

“Walaupun Islamic Relief tidak beroperasi secara langsung di El Fasher disebabkan sekatan akses dan situasi keselamatan yang tidak menentu, Islamic Relief terus menyalurkan bantuan kemanusiaan di wilayah berdekatan iaitu Darfur Tengah, termasuk melalui pusat kesihatan, pemakanan dan pengagihan bantuan makanan asas.

“Islamic Relief juga sentiasa memantau perkembangan dengan rapi dan bersedia untuk menyalurkan bantuan tambahan sebaik keadaan mengizinkan,” jelas beliau.

Islamic Relief telah beroperasi di Sudan sejak tahun 1984, menyalurkan bantuan kecemasan, perkhidmatan kesihatan, makanan dan tempat perlindungan kepada komuniti yang terjejas. - KitaReporters/Kenyataan Media

14
10
0
8
0
You will be interested