Insan & Komuniti 18 Nov, 2025

Sikap tak bertamadun! Vandalisme di taman rekreasi! MPS rugi ribuan ringgit! Bahayakan pengunjung!

Share this

Geleng kepala penulis apabila melihat sendiri kesan vandalisme (laku musnah) yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan taman rekreasi di Segamat sehingga membawa kerugian puluhan ribu ringgit kepada pihak berkuasa.


 

 


Amalan budaya vandalisme yang berlaku hampir saban bulan di taman rekreasi di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Segamat (MPS) memerlukan kos membaik pulih puluhan ribu setiap tahun.

Penulis sempat mendapatkan pengesahan dari Yang Dipertua MPS, Mohd Helmi Sha'ri @ Shangari mengenai isu ini.

Beliau berkata, kegiatan vandalisme yang dilakukan oleh individu-individu tidak bertanggungjawab berkenaan amat dikesali kerana selain memerlukan kos pembaikan yang tinggi, ia boleh memberi kesan buruk kepada penggunanya dan mencalarkan imej MPS.


 


"Peralatan lampu neon dan pencahayaan yang disediakan oleh MPS untuk orang ramai beriadah waktu malam dirosakkan dan gejala itu berisiko mengakibatkan kecederaan kepada orang awam yang lain sebagai contoh terkena serpihan kaca lampu kepada pengguna dan kanak-kanak.

"Pada awal tahun 2025, MPS membelanjakan kos pembaikan sebanyak RM35,000 manakala tahun lalu (2024), sebanyak RM29,000 untuk membaiki peralatan riadah yang ada di seluruh taman rekreasi dan sekitar di kawasan pentadbiran MPS," katanya ketika ditemui penulis di Taman Rekreasi Sungai Kapeh, Segamat pada 1 November 2025. 

Beliau berkongsi lagi, antara vandalisme yang dilakukan termasuklah perbuatan mencabut skru, memecahkan lampu sorot dan wayar lampu dipotong pada peralatan pencahayaan.

Selain daripada itu, terdapat pengunjung yang membawa masuk basikal atau motosikal di dalam kawasan sekitar taman rekreasi dan pejalan kaki.

Perkara ini jelas melanggar peraturan sedia ada dan boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung lain, terutama kanak-kanak dan anak kecil.


 


Justeru itu, beliau berharap penduduk Segamat dan pengunjung luar, bersama-sama menjaga kemudahan yang disediakan serta melaporkan sebarang vandalisme yang berlaku.

Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang prihatin dengan keperluan warganya beriadah, adalah menjadi tanggungjawab MPS menyediakan kemudahan asas terbaik kepada pembayar cukai. Jadi kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab, perlulah menjaga amanah ini dengan baik. 

Mohd.Helmi turut menjelaskan kehadiran anggota penguat kuasa di Taman Rekreasi berkenaan hanya sekadar rondaan rutin biasa dan tidak mengganggu aktiviti beriadah sebagai langkah mengawal vandalisme ini. 

Susulan berlakunya perbuatan vandalisme tersebut kehadiran rondaan berkala anggota penguat kuasa di taman rekreasi ini amat diperlukan dan penulis sendiri secara peribadi menyokong usaha ini demi menjaga keselamatan orang ramai. - KitaReporters 



10
10
0
8
0
You will be interested