Insan & Komuniti 21 Oct, 2025

Cipta rekod! 1.6j benih anak udang galah dilepaskan serentak di 7 sungai di Johor! Rekod Malaysia!

Share this

Segamat ‘syurga’ Jenggo. Itulah perumpamaan bahawasanya daerah ini merupakan ;syurga’ buat penggemar udang galah sepit biru atau lebih dikenali sebagai Jenggo.



Pada 12 Oktober 2025 lalu, sebanyak 1.6 juta benih anak udang galah dilepaskan secara serentak di tujuh sungai di negeri Johor di mana Jabatan Perikanan Johor mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip berkata, pelepasan serentak benih anak udang galah itu dilakukan di tujuh perairan sungai daerah meliputi daerah Segamat, Batu Pahat, Tangkak, Muar, Mersing, Kluang dan Kota Tinggi.

"Di Segamat ini, kita melepaskan benih anak udang galah sebanyak 475,000 ekor ke dalam Sungai Buloh Kasap.

"Program ini bukan saja meningkatkan bekalan dan populasi udang galah di negeri ini tetapi turut bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya melepaskan benih hasil air tawar berdasarkan spesis yang ditentukan oleh Jabatan Perikanan Johor.

"Jangan lepaskan spesis air tawar asing yang boleh membahayakan ekosistem air tawar kita.

"Ia juga bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersama memelihara sumber asli air tawar bagi membolehkan ekosistem sentiasa berada dalam keadaan sihat dan generasi akan datang juga boleh menikmati hasil ikan asli," ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Pelepasan Benih Anak Udang Galah di Jambatan Putus Buloh Kasap, Segamat.

Pengiktirafan itu diberikan wakil MBOR bagi kategori pelepasan benih anak udang galah serentak terbanyak di Malaysia.

Program berkenaan turut dihadiri Penolong Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Yeo Moi Ein; Pengarah Perikanan Johor, Rosmawati Ghazali; dan wakil MBOR, Siti Nurhanim Mohd Noh.

Zahari yang juga ADUN Buloh Kasap berkata, secara purata ratusan ribu anak benih udang galah dilepaskan setiap tahun di perairan seluruh negeri Johor bagi menambah bekalan hasil air tawar, sekali gus memulihara kepelbagaian biodiversiti negeri.

"Usaha berkenaan giat dilakukan oleh pihak kami melalui program pelepasan benih anak udang galah sebagai usaha menguruskan penambahan sumber hasil air tawar negeri.

"Biasanya kita melepaskan benih anak udang galah secara purata lebih kurang ratusan ribu (benih) dalam setahun di seluruh negeri secara berperingkat-peringkat. 

"Hari ini adalah pelepasan serentak yang dilaksanakan sebagai acara pelepasan akhir untuk tahun ini (2025).

"Tahun 2025 secara keseluruhannya sudah jutaan anak benih udang galah dilepaskan termasuk (program) hari ini," kongsinya.



Dalam pada itu, Zahari mengingatkan masyarakat supaya tidak menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bom ikan sama ada di perairan air tawar seperti sungai dan tasik atau di perairan laut kerana ia bukan saja memusnahkan ekosistem, malah membahayakan diri dan persekitaran setempat.

Menurut beliau, akhir-akhir ini aktiviti berkenaan agak terkawal dan aduan mengenainya semakin berkurangan, namun pihaknya sentiasa melaksanakan pemantauan dalam usaha mencegah aktiviti yang haram berkenaan. - KitaReporters

7
16
0
12
0
You will be interested