Malaysia sekali lagi menjadi destinasi pilihan Program Inspire apabila 21 peserta dari Kanada berhimpun bagi menyelami pengalaman kemanusiaan secara langsung menerusi edisi tahun ini (2025).
Sukarelawan Inspire membantu pelajar-pelajar membeli barangan keperluan.
Program Sukarelawan Antarabangsa anjuran Islamic Relief Canada (IR Canada) dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) itu berlangsung dari 30 Ogos hingga 8 September 2025 melibatkan peserta daripada pelbagai latar belakang.
Penganjuran kali keenam di Malaysia sejak diperkenal pada 2018 membuktikan keberkesanan program ini sebagai platform pembelajaran praktikal dan perkongsian budaya merentas sempadan di samping mencerminkan kesungguhan peserta dalam menyantuni komuniti setempat serta memperkasa peserta dengan pengalaman bermakna.
Sepanjang berada di Malaysia, para sukarelawan dari Kanada ini telah menyantuni 60 orang pelajar yang terdiri daripada 30 pelajar Refugee Intellectual Skills and Excellence (RISE) dan 30 pelajar Al-Noor Enrichment School melalui pelbagai aktiviti seperti pembelajaran interaktif, permainan, lawatan sambil belajar ke KidZania dan membeli-belah barangan keperluan pelajar.
Selain itu, sukarelawan turut dibawa menziarahi rumah keluarga pelajar untuk menyelami kisah kehidupan mereka di samping memberi sumbangan pek makanan untuk setiap keluarga.
Siti Noradilah Zainal (kanan) bersama Dr Tarek Faid dalam sesi latihan bersama para sukarelawan.
Menurut Siti Noradilah Zainal, Ketua Penyelaras Inspire IR Malaysia yang juga Pegawai Kanan Bahagian Program IR Malaysia, Inspire Malaysia tahun 2025 ini membawa kelainan dengan memperkenal kelompok masyarakat Orang Asli kepada para peserta.
”Tahun ini, peserta-peserta bukan sahaja diberi peluang untuk mendekati dan menyantuni anak-anak pelarian di negara ini, tetapi mereka juga diperkenal dan didedahkan dengan komuniti rentan lain yang ada di Malaysia.
”Mereka dibawa ke Mah Meri Cultural Village, Pulau Carey untuk mengenali dan memahami adat serta budaya Masyarakat Orang Asli.
”Di sini, peserta juga melakukan aktiviti pembungkusan dan agihan 100 pek makanan kepada komuniti Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Kampung Orang Asli Kepau Laut, Kampung Orang Asli Sungai Judah, Kampung Orang Asli Sungai Rambai dan Kampung Melayu Pulau Carey.
”Walaupun jadual mereka padat, para sukarelawan tetap memberikan komitmen seratus peratus terhadap segala aktiviti.
”Mereka datang ke sini dengan semangat untuk membantu dan dedikasi yang tinggi, terutama ketika meluangkan masa bersama kanak-kanak. Jelas terlihat keikhlasan itu melalui tingkah laku dalam setiap aktiviti yang dijalankan,” katanya.
Dr Tarek menyantuni pelajar-pelajar RISE dan Al-Noor Enrichment School.
Sementara itu, Dr. Tarek Faid, Pengurus Sukarelawan Antarabangsa, Program Khas IR Canada berkata, “Saya amat bersyukur dengan usaha dan kerjasama Islamic Relief Malaysia bersama pasukan dan sukarelawan sekolah RISE serta Al-Noor Enrichment School.
"Kanak-kanak di sini benar-benar istimewa dan kami berusaha menggembirakan mereka. Insya-Allah, saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.”
Seorang peserta sukarelawan dari Calgary, Kanada, Seerat, pula menyifatkan pengalaman di Malaysia sebagai luar biasa.
”Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana diberi peluang menyertai Program Inspire di Malaysia. Saya dapat merasai sendiri pengalaman menyantuni komuniti pelarian, khususnya anak-anak yatim.
"Melihat ketabahan mereka walaupun berdepan pelbagai cabaran, benar-benar membuka mata saya terhadap realiti kehidupan mereka.
”Lebih mengharukan, kanak-kanak ini tetap ceria, bermain dan ketawa seperti kanak-kanak lain. Pengalaman ini menjadikan saya lebih menghargai nikmat Allah serta meneguhkan semangat untuk terus berbakti dalam kerja-kerja kemanusiaan pada masa hadapan,” kongsinya.
Seerat memberikan pelukan terakhir sebelum berpisah dengan para pelajar.
Dengan visi untuk membina sebuah komuniti global yang diperkasa untuk menjadi ejen perubahan yang membawa kesan berkekalan, Inspire terus menjadi platform penting dalam menyemai semangat kesukarelawanan dan pembangunan mampan sejagat.
Tahun ini, selain Malaysia, Inspire turut dianjurkan di Bosnia dan Herzegovina, Turkiye, Kosova, Albania, Mekah dan Madinah, Indonesia, Afrika Selatan serta Maghribi. - KitaReporters/Kenyataan Media