Kajian mendapati hanya 40 peratus wanita di Malaysia tampil menjalani saringan kanser serviks, sekali gus mencerminkan masih wujud jurang besar dalam akses maklumat kesihatan awam khususnya melibatkan masyarakat luar bandar.

Abdul Shukur Abdullah (dua dari kanan) bersama Pengarah LPKNN Terengganu Naemah Ibrahim (kiri) sewaktu menyempurnakan sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 peringkat negeri Terengganu di Dewan Serba Guna TNB Residence, Hulu Terengganu pada 31 Januari 2026.
Menyedari hakikat tersebut, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPKKN) sebagai agensi yang dekat dengan masyarakat khususnya wanita bertekad untuk meningkatkan lagi jumlah wanita yang menjalani saringan berkenaan.
Usaha ini bukan sahaja bertujuan memperluas capaian maklumat kesihatan, malah memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang sama rata dalam penjagaan kesihatan.
Sebagai langkah strategik, LPKKN memperkenal pendekatan melantik duta komuniti, khususnya di kawasan luar bandar, bagi menyampaikan maklumat yang lebih tepat dan mudah difahami mengikut sentimen masyarakat setempat.
Pendekatan ini dilihat penting kerana masih ramai yang belum bersedia sepenuhnya untuk menjalani saringan walaupun program ini telah dimulakan sejak 2019.

Penyampaian maklumat secara terus kepada komuniti setempat khususnya melibatkan masyarakat luar bandar memberi tambah nilai bagi sambutan sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 peringkat negeri Terengganu.
Sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 peringkat negeri Terengganu yang disambut setiap Januari, Hulu Terengganu dipilih sebagai lokasi pelantikan beberapa duta komuniti termasuk daripada masyarakat Orang Asli yang merupakan penduduk asal di kawasan tersebut.
"Untuk pendekatan bagi tahun 2026 ini, kita memilih pendekatan untuk mendekati kawasan luar bandar dan etnik-etnik tertentu yang kita dapati masih sukar mendapat akses berkaitan dengan kanser serviks ini walaupun kita telah bermula program ujian saringan ini sejak 2019.
"Kita melantik duta-duta ini agar kumpulan sasar dapat menerima sesuatu hebahan maklumat itu dengan lebih mudah difahami mengikut dialek-dialek etnik mahupun lenggok bahasa daerah masing-masing.
"Selain menyampaikan maklumat, ia juga merupakan serampang dua mata untuk kami di mana duta-duta yang dilatih ini akan menjalankan proses-proses saringan dalam komuniti mereka yang dilihat lebih membantu untuk usaha ini", ujar Ketua Pengarah LPKNN Dato' Abdul Shukur Abdullah yang hadir menyempurnakan sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 peringkat negeri Terengganu di Dewan Serba Guna TNB Residence, Hulu Terengganu pada 31 Januari 2026.
Turut hadir Pengarah LPKNN Terengganu, Naemah Ibrahim.

LPKKN memperkenal pendekatan melantik duta komuniti, khususnya di kawasan luar bandar, bagi menyampaikan maklumat yang lebih tepat dan mudah difahami.
Beliau menambah, LPKKN juga menyasarkan seramai 100 duta daripada kalangan Orang Asli di seluruh negara untuk digerakkan bersama duta komuniti lain.
Sasaran tahun ini adalah sebanyak 32,000 saringan kanser serviks di seluruh Malaysia, sebagai usaha mempertingkat kesedaran dan pencegahan awal penyakit berbahaya tersebut. - KitaReporters/Kenyataan Media

Abdul Shukur Abdullah (lima dari kiri) bersama Naemah Ibrahim (empat dari kiri) bersama wakil penerima-penerima inisiatif kempen sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 peringkat negeri Terengganu.