Insan & Komuniti 10 Feb, 2026

Ramadan di bumi kanggaru: Musafir iman, maruah dan amanah! Erti ketabahan, keberanian dan kesyukuran!

@mohd fudzail mohd nor
Mohd Fudzail Mohd Nor merupakan penulis bebas setelah pencen. Belajar di New Zealand, bekerja di TV3, pernah bekerja selama 18 tahun di Arab Saudi dan UAE sebelum balik ke Kelana Jaya, Selangor akibat diserang strok dan menjadi warga OKU. Emel: [email protected]

Share this

Akhir tahun 1988 menjadi noktah kepada satu fasa panjang kehidupan saya. Setelah enam tahun bermandikan angin sejuk New Zealand, angin yang bukan sahaja menggigit tulang, tetapi mengajar erti disiplin, sunyi dan ketekunan, lalu saya menaiki penerbangan Qantas dari Auckland menuju Sydney.


Sydney

Di dalam beg saya tersimpan bukan sekadar pakaian dan buku, tetapi kenangan seorang pelajar Melayu yang menamatkan pengajian di Universiti Waikato dalam bidang Sains Komputer dan Statistik. Enam tahun itu ialah tahun-tahun membina diri, menahan rindu, dan menguji keazaman.

Sebagai pengajian minor, saya memilih bahasa Maori. Ada sesuatu pada bahasa dan budaya bangsa asal itu yang memikat jiwa saya dan hubungan rapat dengan alam, sejarah panjang yang dipadam tetapi tidak pernah lenyap. 

Saya melihat persamaan yang ketara dengan bahasa dan budaya Melayu: kaya kiasan, berlapik adat, dan menjunjung maruah.

Ramai bertanya, sepanjang enam tahun itu, tidakkah ada cinta? Jawapan saya sederhana, ada dan tiada.
Keutamaan saya satu: Habiskan pengajian. Selebihnya saya serahkan kepada masa dan takdir. Saya tahu ramai menanti jawaban baik di Malaysia mahupun New Zealand. Dan saya balik menganggur.

Walaupun tawaran kerja terus daripada syarikat IT di Hamilton dan Auckland datang silih berganti yang menarik, menawan dan menjanjikan kesenangan dan keputusan saya tidak berubah. 

Balik tetap balik. Biasiswa ini amanah rakyat, dan amanah tidak boleh digadai demi keselesaan peribadi.

Sydney pada awalnya hanyalah persinggahan sehari sebelum saya pulang ke Malaysia. Namun sebaik melangkah keluar dari lapangan terbang, satu soalan menggema dalam diri: Ke arah mana?


Pusat Bisnes Sydney

Saya benar-benar tidak tahu. Dalam kekosongan itu, Tuhan mempertemu saya dengan kebetulan yang menyelamatkan hati. Beberapa pelajar Malaysia turut keluar dari lapangan terbang. Dengan keberanian seorang perantau, saya menegur dan bertanya sama ada saya boleh menumpang.

Mereka menyambut saya dengan terbuka. Lebih mengharukan, salah seorang daripada mereka pernah menjadi rakan ketika mengikuti Intensive English Course. Dunia terasa kecil, dan hati terasa lapang. 

Saya mengikut mereka menaiki teksi, meninggalkan lapangan terbang dengan rasa lega yang tidak terucap.

Visa pelawat saya diluluskan selepas beberapa saat mencemaskan di kaunter imigresen. Beg saya ditinggalkan di stor lapangan terbang. Saya menunaikan solat zuhur, lalu keluar menjelajah Sydney.

Sewaktu berkelana di Sydney setelah berkunjung ke Sydney Opera House. Ikon dunia dengan bumbung seperti layar perahu. Lambang seni, muzik dan identiti Australia moden. 

Sydney Harbour Bridge yang digelar The Coathanger. Jambatan keluli besar yang menghubungkan pusat bandar dengan North Shore. Queen Victoria Building (QVB)

Bangunan era Victoria abad ke-19, kini pusat beli-belah mewah dan bersejarah. Sydney Tower Eye, menara tertinggi di Sydney, menawarkan pemandangan 360 darjah seluruh bandar. Dan terus ke Kings Cross.

Terletak kira-kira dua kilometer dari pusat bandar, Kings Cross selama beberapa dekad dikenali sebagai daerah lampu merah. 

Di sinilah pelacur wanita dan lelaki menggembar-gemburkan dagangan mereka secara terbuka. Jalur hiburan, bar dan restoran memenuhi setiap lorong. Kawasan ini juga terkenal dengan perdagangan alkohol haram dan dadah, sebuah dunia malam yang bergerak di pinggir moral masyarakat.

Saya tertarik untuk melihat sendiri daerah ini, bukan kerana dorongan nafsu, tetapi kerana rasa ingin tahu seorang pengamat budaya.


King Cross

Saya singgah di sebuah kedai kecil yang menjual t-shirt, berniat mencari t-shirt Kings Cross sebagai kenangan. Semua yang bekerja di situ adalah gay, bersikap lembut dan ramah.

Salah seorang daripada mereka berkata dengan senyuman,
“Boleh beli t-shirt Kings Cross yang kamu suka.”

Saya tersenyum lalu bergurau,
“Saya lebih suka orangnya.”

Lelaki Mat Saleh itu mendekat dan berbisik lembut,
“Am I right for you?”

Kedai itu bergema dengan ketawa yang ringan, tanpa prasangka. Dalam seketika itu, saya sedar: Di kota asing, manusia tetap manusia mencari penerimaan, mesra dan pengiktirafan, walau jalannya berbeza.

Namun Sydney tidak hanya menawarkan sisi jenaka dan toleransi.

Saya berjalan bersendirian di sebuah suburb Sydney, menyusuri jalan-jalan belakang Sydney yang jarang dilihat pelancong.

Tiba-tiba, satu suara kasar memecah udara:

“Hey you f*ckg Chinese, go home to your country!”

Saya berpaling. Sekumpulan punk sedang melepak dengan rambut mereka tegak seperti tanjak songsang, pakaian selekeh, botol arak di tangan, wajah bengis memandang saya.

Jeritan itu diulang.

Saya terkedu. Saya memang keturunan Cina. Namun entah bagaimana, keberanian muncul. Baru sahaja saya keluar dari Muzium Sydney. 

Ketika itu juga Australia sedang menyambut dua ratus tahun penubuhannya, dan saya melihat sendiri protes besar-besaran orang Aborigines yang mendakwa mereka telah mendiami bumi itu puluhan ribu tahun sebelum kedatangan kapal banduan British.

Semangat itu menyala dalam dada.

“Hey you fckg Poms, fckg ex-convicts, go home to your mother England!”

Mereka meluru ke arah saya.

Saya tiada pilihan. Saya berlari sekuat hati, lebih laju daripada Usain Bolt yang ketika itu masih bayi. Nafas tercungap, jantung berdegup tanpa irama.

Syukur, kira-kira seratus meter di hadapan, berdiri sebuah balai polis.

Saya meluru masuk. Punk-punk itu berhenti di pintu masuk, menjerit dan membuat isyarat mengancam. Malam setelah berbuka  itu, saya tidur di balai polis dengan solat tarawih demi keselamatan.


Punk Sydney

Setelah insiden itu, saya bersua dengan pelajar Malaysia lain yang belajar di Sydney. Kami berkumpul di rumah salah seorang daripada mereka, memasak hidangan berbuka puasa bersama-sama.

Sungguh indah rasanya berbuka puasa dengan komuniti sendiri di rantau orang. Selepas maghrib, kami menuju ke masjid berdekatan untuk solat isyak dan tarawih.

Masjid itu dimiliki komuniti Islam dari Timur Rusia. Suasananya tenang walaupun jemaah penuh sesak. Saya berniat solat tarawih dua rakaat sahaja, namun selepas dua rakaat, jemaah meneruskan empat. Saya berhenti seketika, kemudian menyambung semula mengikut niat asal. 

Selepas solat, saya berbual dengan jemaah dari pelbagai negara dan Islam menyatukan kami tanpa soal asal-usul.

Di Sydney juga saya menyertai perarakan besar komuniti Aborigines. Lebih 40,000 orang berarak menuntut pengiktirafan sejarah mereka lebih 50,000 tahun di bumi Australia.

Tahun 1988 menandakan 200 tahun ketibaan armada pertama kapal banduan British pada 1788 dan penubuhan koloni New South Wales. Namun peringatan Bicentenary ini menimbulkan persoalan besar: wajarkah meraikan 200 tahun kehadiran kulit putih?

Slogan protes bergema: “White Australia has a Black History.”

Saya turut menjerit bersama mereka,
“Aborigines telah ada di Australia selama 50,000 tahun.”

Itulah kali pertama saya berkawan dengan Aborigines Australia, bangsa yang penuh semangat dan bangga akan identiti.


Melbourne

Dari Sydney, saya ke Melbourne bersama seorang pelajar Malaysia yang menawarkan kereta. Sepanjang perjalanan, kampung-kampung kecil yang indah menyambut pandangan.

Di Melbourne, saya tinggal tiga hari dan melawat zoo, RMIT namun duduk di masjid dan bertemu kumpulan tabligh yang aktif pelbagai kaum, pelbagai bangsa. Saya pernah menyertai mereka semasa di Sekolah Menengah Teknik Kuantan dahulu.

Masjid menjadi tempat meletakkan beg, berbuka, makan minum percuma dan tidur.

Saya diajak berdakwah dari rumah ke rumah. Dalam dua jam berjalan di suburb Melbourne, banyak pintu tertutup, namun mereka tetap mengetuk. 

Saya simpati dan kagum walaupun bukan ahli kerana perlu izin ayah saya, seorang ulama.

Saya teringat pernah membantu seorang rakan Kiwi memeluk Islam di New Zealand dengan saya.

Selepas tiga hari, saya kembali ke Sydney untuk pulang ke Malaysia. Saya hampir tertinggal penerbangan.

Nama saya dipanggil.

“Mohd Fudzail?”

“You will be shifted to first class because the flight is full.”

Di kelas pertama, makanan melimpah. Jam menunjukkan pukul dua petang, lima jam sebelum berbuka.

“Are you fasting?”

Saya lapar. Namun saya tidak pernah gagal berpuasa sejak kecil.

“I am fasting.”

Saya bertahan. Ujian iman tidak selalu datang dalam kesusahan kadang-kadang ia hadir dalam kemewahan. Beg saya pula entah bagaimana terus terbang ke London.


Red Panda di Zoo Melbourne

Ramadan di Australia adalah musafir jiwa. Dari Kings Cross ke lorong belakang, dari kebencian ke persaudaraan, dari dakwah jalanan ke kelas pertama, semuanya mengajar saya tentang ketabahan, keberanian dan makna sebenar iman.

Di bumi kanggaru, saya belajar: Berpuasa di rantau orang bukan sekadar menahan lapar, tetapi meneguhkan keyakinan dan menjaga amanah.

Dan untuk itu, saya bersyukur. - KitaReporters

15
15
0
8
1
You will be interested