Insan & Komuniti 15 Aug, 2025

Video| Masya-Allah! Simulasi Haji Cilik berjaya! Telatah lucu peserta kerjakan rukun Islam kelima!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Seramai 154 kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun mengambil bahagian dalam program Simulasi Haji Cilik 2025 anjuran Andalusia Bangi dengan kerjasama Masjid Al-Hasanah (MAH) Bandar Baru Bangi, Selangor. Program yang bermula jam 7 pagi hingga 1 petang itu dirasmikan Imam I MAH, Ustaz Mohd Salaman Salleh. - KitaReporters




Hati tersenyum melihat anak-anak berusia dalam usia dua tahun belajar memakai kain ihram dengan si ayah membantu bagi memberi keselesaan supaya tidak terlondeh, manakala telatah mereka berlari-lari anak mengerjakan sai di antara Bukit Safa dan Marwah mengundang geli hati.

Ada pula melakukan tawaf dengan berlari laju sehingga petugas tidak sempat menahan mereka kononnya mahu cepat menghabiskan tujuh pusingan, sementara ketika sesi melontar jamrah, ada membuang batu penuh semangat sebab kata mereka  untuk "membunuh" iblis.

Ini antara telatah sebahagian dari 154 kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun yang mengambil bahagian dalam program Simulasi Haji Cilik 2025 anjuran Andalusia Bangi dengan kerjasama Masjid Al-Hasanah (MAH) Bandar Baru Bangi, Selangor.

Program yang bermula jam 7 pagi hingga 1 petang itu dirasmikan Imam I MAH, Ustaz Mohd Salaman Salleh.


Peserta Simulasi Haji Cilik teruja menunjukkan dokumen haji yang mereka dapat sepanjang menyertai program itu.  


Pengurus Andalusia Bangi, Fatin A'alia Datuk Ibrahim berkata, melalui program itu, pihaknya menyediakan kelengkapan seperti lencana haji, beg, pasport, buku panduan dan tiket kapal terbang, supaya mereka dapat rasakan inilah perjalanan haji nanti.

Beliau berkata, sebelum ini, kanak-kanak berkenaan mungkin pernah melihat datuk atau nenek mereka menunai haji, justeru mereka boleh tahu walaupun tahap pengetahuan serta ilmu mereka mungkin tidak sampai ke tahap seperti orang dewasa.


Fatin A'alia Ibrahim.


Fatin A'alia menyerahkan cenderahati kepada Ustaz Mohd Salaman Salleh.


"Pendidikan haji secara simulasi memang berkesan kerana pembelajaran secara praktikal dan interaktif lebih mudah kanak-kanak fahami. Mereka boleh mereka melihat, menyentuh, dan bergerak, bukan sekadar mendengar atau membaca. 

"Apabila mereka "melalui sendiri" pengalaman seperti tawaf, sai, melontar jamrah dan wukuf, maklumat itu lebih mudah tertanam dalam ingatan. Pengalaman ini menjadi sesuatu yang bermakna dan sukar dilupakan.

"Aktiviti Simulasi Haji Cilik menjadikan pembelajaran lebih menarik berbanding ceramah. Bila seronok, kanak-kanak lebih fokus dan mudah faham," katanya.



Seorang petugas Andalusia menunjukkan kepada adik Mirza, 7, cara memakai kain ihram sambil ayahnya, Mazhar Wan Har (kiri) turut membantu.


Katanya, walaupun belum layak menunaikan haji sebenar, mereka dapat membina kekuatan mental dan disiplin seperti berjalan jauh, beratur, mengikuti arahan, dan menjaga kebersihan diri serta tempat. 

"Mini Kaabah dan tawaf membantu mendedahkan kanak-kanak cara mengelilingi Kaabah dengan tertib manakala larian sai antara Bukit Safa dan Marwah secara simulasi membolehkan mereka memahami sejarah Hajar dan Nabi Ismail.

"Melontar jamrah pula melatih fokus, keberanian dan kefahaman mengenai ujian Nabi Ibrahim, berpakaian ihram memberi pengalaman dan kefahaman mengenai kesamarataan dalam Islam, manakala wukuf di Arafah membolehkan mereka menghayati konsep doa dan pengampunan," katanya.


Sesi sai memerlukan peserta berjalan kaki dan berlari-lari anak dari Bukit Safa ke Marwah.


Fatin berkata, pendidikan atau kursus mengenai haji perlu dimulakan sejak kanak-kanak masih kecil kerana ia membentuk asas kefahaman agama sejak awal usia. 

"Dengan memperkenal konsep haji sejak kecil, mereka lebih memahami rukun Islam kelima ini secara bertahap dan mendalam. Ia menyemai nilai-nilai murni ibadah haji yang mengandungi banyak nilai seperti kesabaran, kesederhanaan, toleransi, dan pengorbanan.

"Pendidikan Islam tidak hanya tertumpu kepada solat dan puasa sahaja, tetapi merangkumi semua rukun Islam termasuk haji. Dengan itu, kurikulum pendidikan agama menjadi lebih lengkap dan seimbang," katanya.

Pendidikan haji sejak kecil memupuk minat dan cita-cita menunaikan haji kerana apabila mereka belajar keindahan dan keistimewaan haji, mereka menjadikan haji satu matlamat hidup yang mereka dipersiapkan sejak awal.


Inilah wajah-wajah bakal haji dan hajah yang suatu hari nanti akan menunaikan ibadat itu apabila dewasa.


"Haji mempunyai banyak rukun dan wajib yang perlu difahami dengan betul, justeru pendedahan awal membantu mereka tidak merasa asing atau terlalu sukar apabila tiba masanya. Kanak-kanak yang sudah didedahkan dengan simulasi haji seperti aktiviti “haji cilik” lebih mudah faham secara praktikal.

"Anak-anak yang tahu serba sedikit mengenai haji boleh lebih bersedia jika mereka perlu ikut ibu bapa menunaikan haji atau umrah. Ini boleh mengurangkan tekanan kepada ibu bapa ketika berada di Tanah Suci," katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan petugas yang membantu anak-anak terbabit bersemangat  sepanjang program itu.

"Bayangkan hari minggu terpaksa bangun awal pagi semata-mata untuk menyertai program ini, ada yang masih mengantuk tapi apabila tiba sesi praktikal, mereka terus bersemangat dan terus lupa kepada mengantuk," katanya. - KitaReporters


Sebahagian peserta Simulasi Haji Cilik bergambar kenangan bersama petugas Andalusia selepas selesai program sehari di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.

24
7
0
8
0
You will be interested