Insan & Komuniti 26 Jan, 2026

Ziarah Mahabbah! Masyarakat Orang Asli tak dilupakan! Santuni Madani! Surau dan kubur dibersihkan!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Masyarakat Orang Asli tidak dilupakan oleh kerajaan apabila sebanyak 30 kotak makanan diberikan kepada mereka yang duduk di Perkampungan Orang Asli Tebang, Gerik.


Bantuan kotak makanan diberikan kepada seorang penerima.

Sumbangan itu disediakan o9leh Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) melalui kerjasama Zakat Perak Al-Ridzuan dan MUBARAK Gerik menerusi Program Ziarah Mahabbah dan Bantuan Kotak Makanan serta Beras Fidyah.

Menurut laporan MAIPk, program ini bertujuan menyantuni komuniti Orang Asli serta menyalurkan bantuan keperluan asas kepada golongan yang memerlukan. 

Usaha itu bagi meringankan beban kos sara hidup harian. 



Penyerahan bantuan disempurnakan oleh Pengurus Besar MAIPk Zon Timur, Zul-Azri Hosaini yang turut berkesempatan berinteraksi secara dekat dengan komuniti setempat bagi memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan MAIPk dan rakan strategik dalam memastikan agihan zakat dan fidyah dilaksanakan secara beramanah, menyeluruh dan menyantuni golongan asnaf serta komuniti pedalaman di negeri Perak. 


Petugas MAIPk yang menyertai Program Ziarah Mahabah di Kampung Orang Asli, Tebang di Gerik.

Sementara itu, sepasukan 11 orang pegawai dan pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) menyertai program gotong-royong membersihkan surau, kawasan perkuburan dan sekitar Kampung Pauh Hulu, Sayong di Kuala Kangsar.

Turut memeriahkan program Santuni Madani ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KSU KPT) Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan & Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd. Nor Azman Hassan; dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr. Shamsuri Abdullah.


Empat pelajar PUO sedang membersihkan kawasan di Kampung Pauh Hulu, Sayong di Kuala Kangsar.

PUO dalam satu kenyataan memberitahu, pasukan PUO diketuai Norman  Zamri bersama pegawai-pegawai kanan serta pelajar Ijazah Kejuruteraan Awam semester 5 dan 6.

“Pasukan itu gigih turun padang bersama komuniti membersih surau, kawasan perkuburan & sekitar kampung membuktikan mahasiswa bukan sahaja cemerlang akademik, malah peka dan komited terhadap kesejahteraan masyarakat.

“Syabas kepada pasukan PUO yang turut serta menyumbang tenaga dan masa dalam program gotong-royong berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada 1 Disember 2025.


Sebahagian pelajar PUO membersihkan kawasan di Kampung Pauh Hulu, Sayong di Kuala Kangsar.

Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif ini bertujuan menanam dan memupuk nilai murni dalam jiwa generasi muda supaya mereka tidak bersikap mementingkan diri sendiri, sebaliknya berjiwa prihatin dan sentiasa mahu menyumbang serta berbakti kepada masyarakat demi membina komuniti madani yang harmoni dan sejahtera. - KitaReporters



Pelajar PUO dan pegawai bergambar di depan surau selepas menyertai program gotong-royong Santuni Madani di Kampung Pauh Hulu, Sayong di Kuala Kangsar.

11
15
0
11
0
You will be interested