Insan & Komuniti 19 Dec, 2025

Tak banyak cakap! Tapi banyak buat kerja! Kisah kerja keras anak muda ini buat netizen tersentuh!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. đź“§: [email protected]

Share this

Peribahasa Melayu lama ada menyebut, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. 

Ungkapan ini bukan sekadar hiasan bahasa, tetapi cerminan sikap hidup antara mahu atau sekadar memberi alasan.



Di tengah-tengah hiruk-pikuk dunia digital yang sarat dengan keluhan, rungutan dan perbandingan hidup, muncul seorang anak muda yang memilih untuk bekerja keras, diam-diam mengumpul pengalaman dan membina masa depan dengan caranya sendiri. 

Tanpa banyak bicara, tanpa menjaja kisah sedih, hanya proses dan usaha.

Itulah gambaran yang terpancar daripada satu perkongsian dalam TikTok milik pengguna @adeydnniel7, yang meraih perhatian ramai netizen. 

Perkongsian ringkas dengan kapsyen “Proses, alhamdulillah sedikit pengalaman yang begitu bermakna sekali dalam hidup ini” berjaya mengundang ratusan ribu tontonan dan ratusan komen sokongan daripada masyarakat pelbagai lapisan.



Apa yang membuatkan kisah anak muda ini begitu menyentuh hati bukanlah jumlah tontonan atau populariti semata-mata, tetapi realiti di sebalik perkongsian tersebut. 

Dnniel merupakan anak muda yang sanggup melakukan pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup, menimba pengalaman dan pada masa sama membina masa depan.

Dnniel mula bekerja seawal tingkatan dua. Pada usia di mana kebanyakan remaja masih bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa, dia sudah memilih untuk mengenal erti mencari rezeki sendiri. 

Namun begitu, apabila tiba waktu penting dalam hidupnya, dia berhenti bekerja buat seketika demi memberi tumpuan penuh kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).



Selepas tamat SPM, langkahnya tidak terhenti. Dnniel menyambung usaha dengan bekerja di sebuah kafe, sebelum beralih pula ke kantin sekolah dengan menjual air balang. 

Dalam masa yang sama, dia mula membina perniagaan kecil-kecilan menjual pakaian bundle, bermula secara sederhana sekadar untuk menambah pendapatan.



Usahanya tidak berhenti di situ. Dengan disiplin dan semangat yang konsisten, Dnniel kemudian menghadiri ujian fizikal AFRS (Airport Fire Rescue Service), satu cabaran yang menuntut kekuatan mental dan fizikal. 

Usahanya berbaloi apabila dia berjaya lulus ujian tersebut, sekali gus membuka ruang kepada pengalaman baharu dalam bidang yang jarang diterokai anak muda.



Menariknya, kejayaan itu tidak membuatkan dia meninggalkan usaha lain.

 Dalam tempoh yang sama, Dnniel masih meneruskan perniagaan bundle, namun kali ini dengan fokus kepada barangan berjenama. 

Dia juga masih bekerja di kantin sekolah, dan selepas tamat syif di sana, dia akan menyambung kerja separuh masa di sebuah kedai batik.



Rutin hariannya padat, pagi hingga petang di kantin, petang ke malam di kedai batik, sambil mengurus perniagaan bundle. 

Keletihan bukan alasan, sebaliknya pengalaman dianggap sebagai pelaburan masa depan. 

Inilah tahap kerajinan yang jarang dilihat dan inilah yang membuatkan kisahnya begitu dekat di hati masyarakat.



Dalam dunia hari ini, tidak sedikit anak muda yang memilih jalan mudah, mengeluh tentang peluang, menyalahkan keadaan atau menunggu bantuan tanpa usaha. 

Namun kisah Dnniel bergerak sebaliknya. Tahap kerajinan yang ditonjolkan dianggap jarang dilihat dan wajar dijadikan contoh, khususnya kepada generasi muda yang masih mencari arah hidup.



Walaupun perkongsian tersebut ringkas, mesej yang disampaikan cukup mendalam. 

Tiada unsur menunjuk-nunjuk, tiada drama berlebihan. Hanya paparan proses kerja, pengalaman dan rasa syukur. 

Sikap inilah yang membuatkan netizen tersentuh dan merasakan keikhlasan di sebalik setiap usaha yang dilakukan.

Rata-rata netizen meluahkan rasa kagum dan bangga terhadap sikap rajin yang ditunjukkan oleh anak muda ini.



“Inilah yang sepatutnya kita jadikan trend. Anak muda yang rajin bekerja. Walaupun tak kenal. Semoga menjadi inspirasi kepada orang muda yg lain,” tulis salah seornag netizen.

Antara komen lain yang menyifatkan Dnniel sebagai contoh lelaki rajin. â€śSalah satu contoh lelaki rajin. Tahniah dik semoga berjaya dalam hidup,” ujarnya ringkas.


Akhirnya, segala penat lelah dan usaha bertahun-tahun itu menemukan titik maknanya apabila Dnniel berjaya menjadi anggota Airport Fire Rescue Service (AFRS). 

Hari ini, anak muda yang pernah bekerja sejak tingkatan dua, menjual air balang, berniaga bundle dan bekerja siang malam itu kini bertugas secara rasmi di Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Pulau Pinang. Syabas anak muda! - KitaReporters



12
11
0
7
0
You will be interested