Setelah mempunyai anak yang kini berusia 6 tahun, Nuraeni, 32, dan suami bercadang untuk menambah zuriat.
Mulai akhir tahun 2023, Nuraeni, warga Desa Bodas, Kecamatan Tukdana, Kabupaten Indramayu di Jawa Barat ini mula mengandung kali kedua. Ketika itu Nuraeni dan suami, Warsilah, 39, tidak terbayang untuk mempunyai anak kembar.
Ketika sudah memasuki minggu ke-38 atau 9 bulan setengah, Nuraeni sudah berasa sakit memulas dan terus dibawa ke sebuah klinik kesihatan kerajaan berhampiran.
Melihat keadaan Nuraeni sukar dikendali di klinik itu, lalu dia dicadang dibawa ke Hospital Umum Indramayu pada Ahad, 7 Julai 2024.
Bagi tujuan keselamatan, Nuraeni perlu segera menjalani pembedahan caesarean. Doktor berjaya mengeluarkan bayi pertama pada jam 19.34 waktu Indonesia Barat (WIB), kedua 19.35, ketiga 19.36 dan keempat 19.37 kesemuanya kelamin perempuan. Dan keluar satu lagi bayi pada jam 19.38 berkelamin lelaki.
Tarikh lahir itu mudah diingati iaitu 7.7. 2024 atau hari Maal Hijrah 2024 . Ia juga adalah 1 Suro dalam kalendar Jawa.
Dan pasangan Nuraeni dan Warsilah percaya kelahiran 5 pasangan kembar itu akan memberi tuah kepada keluarga. Setakat ini nama kelima-lima bayi itu belum diberi nama.
Kelima-lima bayi mempunyai berat lebih ringan daripada ukuran kebiasaan iaitu 1.9 kg, 1.7 kg, 1.125 kg, 1.6 kg dan 1.9 kg. Kesemuanya terpaksa diletak dalam inkubator untuk tujuan pemerhatian.
Menurut Pengarah Hospital Indramayu, Deden Bonni Koswara, dua daripada bayi itu masih dirawat di inkubator, sementara yang lain sudah dibawa pulang bersama ibunya.