Insan & Komuniti 20 Jul, 2024

Video| Mak oii! 2 kali tertelan jarum peniti! Cungkil gigi, pakai tudung! Wanita, sila berhati-hati!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Kejadian tertelan jarum peniti bukanlah perkara baharu. Sejak dulu lagi kejadian malang ini sering terjadi. Namun, masih ramai lagi yang alpa. Kebanyakan ia terjadi kepada golongan wanita ketika memakai tudung (hijab).

Tudung yang kemas dan terletak elok adalah idaman semua wanita. Mereka sanggup menghabiskan masa yang lama untuk memastikan tudung dipakai kelihatan kemas.  

Justeru, bagi memastikan tudung kemas, salah satu alat yang digunakan ialah jarum peniti. 

Walaupun kini pelbagai jenis fesyen tudung di pasaran, namun masih ramai yang menggunakan jarum peniti untuk tujuan tersebut. Jadi, risiko tertelan jarum sangat tinggi terutama jenis yang mudah lupa. 



Inilah yang berlaku ke atas seorang wanita. Dia berkongsi pengalaman ngeri tersebut dalam TikTok miliknya. Kejadian yang berlaku pada 2021 dan 2022 itu menjadi kisah hitam dalam hidupnya. Mujur nyawanya masih panjang setelah dua kali terlibat dalam kemalangan tersebut.

Menurutnya, kali pertama berlaku ketika dia mencungkil gigi menggunakan jarum dan kali kedua ketika memakai tudung. Kedua-dua kejadian berlaku kerana dia terlupa jarum tersebut.



Dek kerana kemalangan tersebut, dia terpaksa dibedah untuk mengeluarkan jarum yang tersangkut di dalam usus. 

Sebelum itu, pelbagai cara digunakan untuk mengeluarkan jarum tersebut tetapi tidak berjaya. Cara terakhir ialah melalui pembedahan.

Menurut wanita yang dikenali sebagai Wanie ini, dia berkongsi pengalaman tersebut sebagai pengajaran untuk dirinya dan juga para wanita lain agar lebih berhati-hati. Sedikit sahaja lalai, maka buruk padahnya.



Video yang dikongsi oleh Wanie itu telah mendapat 600 ribu tontonan. Impak perkongsian tersebut membuatkan ramai wanita sedar dan mula bersikap lebih berhati-hati ketika menggunakan jarum peniti. Mereka mula saling berpesan-pesan agar kejadian seperti ini tidak berulang.

“Kalau boleh yang mana suka guna jarum peniti, janganlah letak kat bibir. Benda nak jadi kita tak jangka. Tersedak dan masuk tekak terus ke kita tak tahu. Memang bahaya,” nasihat salah seorang netizen.



Sementara itu ada juga yang berkongsi pengalaman sama.

“Saya pun pernah tertelan jarum sampai sekarang tak keluar-keluar jarum tu. Dua tiga hari sahaja rasa sakit lepas tu tak dah,” cerita netizen tersebut.



Semoga dengan kisah ini para wanita lebih berhati-hati ketika menggunakan jarum peniti. Cuba juga periksa atas sofa atau tilam sekiranya ada tertinggal jarum. Jangan sampai anak-anak kecil tertelan pula. 

Jadikan kisah ini sebagai pengajaran untuk kita semua. - KitaReporters



7
14
0
15
0
You will be interested