Kunjungan ke rumah Siti Hawa Hussin di Sungai Buaya, Banting, Selangor
Hari raya bukan sahaja masa untuk menziarahi keluarga dan mengeratkan silaturahim, tetapi hari raya juga merupakan masa untuk bertemu sanak saudara yang lama terpisah dan peluang mencari susur galur keluarga yang telah lama tidak berjumpa kerana pelbagai faktor.
Baru-baru ini, Hari Raya Aidilfitri 1444H/2023M ini telah mempertemu keluarga yang berasal dari Banting, Selangor dengan saudara mara mereka yang menetap di Labu, Negeri Sembilan. Lebih kurang 20 tahun mereka tidak bertemu.
Pertemuan keluarga di Kancong Darat , Banting
Paling menyeronokkan dalam pertemuan ini terdengar mereka bercakap dalam bahasa daerah mereka yang berlainan walau mereka datang dari satu rumpun keluarga yang sama. Keluarga yang berasal dari Labu, Negeri Sembilan bercakap dalam dialek Negeri Sembilan dan Keluarga yang berasal dari Banting Selangor bercakap Melayu bercampur bahasa Jawa.
Kemeriahan terjalin bila ada yang tergelak mendengar ayat-ayat yang kurang difahami khususnya bahasa Jawa dan mereka secara tidak langsung mempelajari bahasa nenek moyang budaya atok nenek mereka dalam lawatan singkat itu.
Generasi ketiga
Generasi ke-4 dan ke-5
Kisah keluarga ini sangat menarik. Menurut Siti Hawa Hussin, 72, dari Banting Selangor, datuknya yang berasal dari Banyumas, Jawa Tengah, Indonesia berhijrah ke Malaya bersama dua adik lelakinya kira-kira lebih seratus tahun lalu.
Datuknya yang bernama Othman Ali datang bersama dua adik lelakinya bernama Mursyid dan Mohd Nor ke Banting, Selangor. Othman dan Mursyid bertemu jodoh dengan wanita tempatan dari Banting. Manakala Mohd Nor pula berhijrah ke Labu Negeri Sembilan dan bertemu jodoh dengan gadis dari daerah yang sama.
Othman mempunyai 4 anak lelaki, manakala Mursyid mempunyai 3 anak perempuan dan seorang lelaki. Mohd Nor yang berkahwin dengan wanita tempatan di Labu mempunyai 3 orang anak, dua perempuan dan seorang lelaki .
Keturunan mereka terus berkembang sejak seratus tahun lalu.
Menurut Siti Hawa walaupun tiga beradik ini berpisah daerah, iaitu dua di Banting Selangor dan seorang di Labu Negeri Sembilan, mereka masih berhubung antara satu sama lain.
Siti Hawa memberitahu, dulu sewaktu beliau masih muda keluarganya sering juga ke Labu, Negeri Sembilan dibawa oleh arwah ayah mereka menziarahi keluarga di sana. Bila ada kenduri kendara mereka akan ke sana menghadiri majlis saudara mara.
Namun disebabkan keluarga mereka semakin berkembang, faktor usia mereka juga sudah tidak kerap ke Labu. Disebabkan itu ramai generasi muda keluarga mereka sudah tidak mengenali saudara mara lagi.
Kesibukan menyebabkan generasi muda keluarga ini tidak tahu mereka mempunyai sanak saudara di Banting. Sejak 100 tahun lalu, keluarga mereka telah berkembang menjadi 6 keturunan dan berjumlah lebih kurang 500 orang.
Generasi ketiga
Awal tahun ini (2023) keluarga ini telah berjaya menjejaki saudara mara mereka dan hari raya ini dijadikan saat titik pertemuan mereka menziarahi sanak saudara yang mereka tidak pernah jumpa khususnya dari generasi keempat ke bawah iaitu cicit kepada Othman, Mursyid dan Nor.
Seorang cicit kepada Mohd Nor memberitahu, peluang bertemu sanak saudara yang lama terpisah ini sangat mengharukan beliau.
Zaihan Yazid, 60, yang begitu teruja bertemu sanak saudara berkata, beliau tidak sangka dapat bertemu ramai sanak saudara yang berasal dari Banting, Selangor.
Katanya ada antara saudara mara ini pernah bekerja satu pejabat dan mereka tidak tahu yang mereka ada talian persaudaraan.
Rombongan sebanyak 5 buah kereta dari keluarga Labu telah sempat menziaarahi beberapa buah rumah saudara mara yang berada di Sungai Buaya, Banting dan Kancong Darat di Banting.
Mereka telah dijamu dengan pelbagai juadah makanan keturunan Jawa dan makanan tradisi masyarakat Selangor.
Zaihan Yazid
Zaihan sangat mengharapkan ukhuwah itu dapat dipanjangkan dan diteruskan oleh generasi kelima DAN bawah mereka, iaitu generasi yang berusia 40 tahun ke bawah untuk terus mencari sanak saudara dan susur galur keluarga mereka.
Generasi ketiga iaitu keluarga arwah ayah Zaihan rata-rata sudah berusia 80 tahun dan ramai yang sudah tiada. Malah generasi keempat juga sudah mencecah usia 60-an.
Beliau juga berharap generasi sekarang membina ukhuwah dan silaturahim dengan sanak saudara supaya mereka dapat tahu asal usul mereka dan mengenali sejarah keluarga yang sangat menarik ini. - KitaReporters