MENYIMPAN harapan mengadakan majlis perkahwinan yang sempurna dengan dihadiri ahli keluarga dan sahabat handai dan diraikan secara meriah pasti menjadi impian setiap insan bernama manusia.
Namun sekiranya yang dirancang tidak menjadi, itu takdir, kita hanya merancang tetapi Dia yang menentukan segala-galanya.
Sama seperti pengantin perempuan di Tunisia yang banyak menghabiskan tenaga, masa dan perbelanjaan semata-mata mahu memastikan hari bahagianya diraikan dengan penuh riang dan menjadi kenangan manis dalam hidupnya.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan perkahwinan
Namun sayangnya, semua yang dirancang tidak menjadi apabila bakal ibu mentuanya yang pertama kali bertemu mata dengannya tidak merestui hanya kerana merasakan wanita tersebut tidak cantik dan bersesuaian dengan anak lelakinya.
Memetik laporan pledgetime.com, wanita yang dikenali Lamia Al-Labawi hanya mampu tersenyum selepas apa yang diidam selama ini menjadi angan-angan sahaja.
Malah bakal suaminya yang patuh dengan ibunya terpaksa meninggalkan dan sekali gus membatalkan majlis perkahwinan mereka.
Mengejutkan lagi, lelaki yang tidak dinamakan itu dilaporkan lari selepas mengetahui ibunya tidak menyukai wanita pilihannya.
Lamia berkata, sebelum ini bakal ibu mentua hanya berkomunikasi dengannya melalui media sosial dan tidak pernah bersemuka.
Merasakan Lamia tidak layak dan sesuai untuk anak lelakinya, wanita berkenaan meminta supaya majlis diberhentikan dan tidak merestui perkahwinan berkenaan.
Lamia mengakui walaupun terlalu sedih dan kecewa namun dia hanya mampu tersenyum pada majlis berkenaan dengan busana perkahwinannya sementara tunangnya dilihat gelisah sebelum meninggalkan majlis berkenaan.
Lamia kemudian mencurahkan isi hatinya dalam laman media sosial dan menyatakan impiannya musnah.
Wanita cekal itu menceritakan dirinya adalah seorang anak yatim dan telah melaburkan banyak duit untuk majlis perkahwinannya.
Lebih mengejutkan dengan penolakan tersebut membuatkan dia terpaksa menanggung malu dengan tetamu yang hadir selain menanggung segala perbelanjaan pada majlis berkenaan.
Sementara pengguna dalam media sosial menyokong Lamia dan mengutuk lelaki tersebut serta kerana menganggap dia bukan ‘lelaki sejati’.
Menariknya, artis teater, Hedi Mejri turut menzahirkan sokongannya kepada Lamia. Malah menyifatkan wanita itu tidak kehilangan seorang lelaki,
"Kamu telah mengelak seorang yang boleh menyumpah kamu seumur hidup dan sebaliknya telah mendapat kasih sayang dan kebebasan yang tidak boleh digantikan," kata Mejri. - KitaReporters