Insan & Komuniti 07 Oct, 2023

Jualan Ehsan Rahmah Pekan Bangi diserbu! Harga barangan keperluan dapur dijual murah! Penjimatan 30%!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


SEJAK jam 8 pagi, orang ramai sudah berkumpul untuk Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pekan Bangi walaupun operasi jualan hanya bermula jam 10 pagi. Sejak dimulakan pada September tahun lalu (2022), JER mendapat sambutan memuaskan terutama dalam kalangan keluarga B40.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13). Pengguna mendapat penjimatan sehingga 30 peratus.


Mazwan Johar memberi penerangan ringkas kepada orang ramai yang datang sempena JER di Pekan Bangi.


Bekas ADUN Sungai Ramal, Mazwan Johar, berkata JER amat bermanfaat kepada rakyat kerana mereka masih dihimpit masalah kenaikan harga barang keperluan dapur.

Beliau berkata, barang pun susah hendak dapat seperti beras, justeru kerajaan negeri meluluskan peruntukan untuk program JER sehingga akhir tahun ini (2023).

"Ada yang bertanya mengapa tidak buat JER pada Sabtu atau Ahad bagi memudahkan orang ramai membeli belah?

"Jika JER dibuat pada Sabtu dan Ahad, jumlah jualan amat terhad kerana tempat lain pun minta buat waktu yang sama. Tapi, jika hari bekerja, tiada masalah untuk mendapatkan tempahan.

"Kakitangan pejabat saya pun terpaksa mengambil time off semata-mata untuk membantu pengguna dalam JER ini. Tapi, saya akan cuba mendapatkan slot Jualan Ehsan Rahmah ni pada Sabtu atau Ahad.

"Setakat ini, tiada masalah mendapatkan orang ramai untuk datang membeli barangan di JER kerana kami akan membuat hebahan lebih awal, jadi orang ramai boleh membuat persiapan untuk datang ke sini," katanya.


Harga barangan keperluan dapur di JER mendapat potongan harga istimewa sehingga 30 peratus.


Sementara itu, JER yang menawarkan barang keperluan pada harga lebih rendah daripada harga pasaran menarik minat rakyat Selangor, lebih-lebih lagi ketika kos sara hidup melambung ketika ini.

Bagi warga emas, Habsah Ahmad, 65, berkata dia dapat menjimat belanja dapur sehingga RM10 jika membeli melalui JER seperti beras, minyak masak, ikan dan daging.

"Alhamdulillah, dapatlah jimat sikit. Jika boleh selalulah buat program JER kerana jika di kedai biasa, memang tidak dapat harga ini," katanya. 

Suri rumah, Norazah Md Saad, 43, berkata harga barang keperluan yang dijual dalam JER berpatutan dan berbaloi kepada keluarga besar dan dalam kalangan berpendapatan rendah (B40).

"Beras 5 kilogram (kg) baru RM10, ayam RM10, daging RM10, minyak masak RM25. Bagus usaha kerajaan untuk bantu rakyat B40 sebab harga barangan semua naik," katanya.


JER menyediakan barangan keperluan dapur seperti minyak masak, beras, telur dan daging.


Bagi peniaga nasi lemak, Rosnah Yahya, 45, JER membantu mengurangkan kos operasi perniagaannya. 

"Biasa jika beli di kedai, belanja di antara RM450 hingga RM500. Dulu jual nasi lemak RM1.20 tapi sejak kenaikan harga beras, saya terpaksa menaikkan nasi lemak RM1.50 sebungkus," katanya.

Orang ramai yang mahu tahu lokasi terkini JER di seluruh negeri, boleh semak Facebook Perbadanan Kemajuan Pembangunan Selangor atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS. - KitaReporters

23
6
0
12
0
You will be interested