Insan & Komuniti 22 Nov, 2024

Cikgu jadi jutawan! Pemenang cabutan BSN SSP! Mahu kongsi rezeki dengan bersedekah, zakat dan infaq!

@yati yazid
Pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia. Masih mewarnai dunia penulisan sehingga kini.

Share this

Mohd Azraien Rajab bersama isteri dan anak lelakinya ketika dipilih sebagai pemenang Cabutan Jutawan BSN SSP yang ke-105 bernilai RM1 juta, baru-baru ini. 


Seorang guru tidak menyangka amalannya menyimpan dalam Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) sejak lebih 16 tahun lalu membawa tuah apabila dipilih sebagai pemenang Cabutan Jutawan BSN SSP yang ke-105 bernilai RM1 juta.

Mohd Azraien Rajab, 47, berkata beliau tidak menyangka dipilih sebagai pemenang kerana pada awalnya hanya sekadar suka-suka untuk menabung dalam akaun BSN SSP.

“Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang ke Selangor dari kampung di Bachok, Kelantan dan kawan telefon mengatakan saya menang. Saya tidak percaya dan dia kongsi pautan pengumuman BSN.


Mohd Azraien (kanan) tidak menyangka dipilih sebagai pemenang kerana pada awalnya hanya suka-suka untuk menabung.

“Apabila menontonnya, saya amat terkejut dan macam tidak percaya kerana sebelum ini langsung tidak pernah berharap untuk menang,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat BSN hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan guru Bahasa Arab di Sekolah Kebangsaan Puncak Perdana bercadang menggunakan wang kemenangannya dengan memberi zakat, sedekah dan infaq. 

“Di sebalik rezeki yang saya terima ada rezeki orang lain. Selepas selesai bahagian sedekah, zakat itu, saya mahu simpan untuk menunaikan ibadah haji. Saya juga merancang untuk mengadakan kenduri kesyukuran di kampung halaman pada Februari 2025 nanti. 

“Malah, saya juga mahu bawa isteri dan dua anak lelaki berjalan-jalan sebagai ‘reward’. Saya mahu berkongsi hadiah yang diibaratkan keajaiban itu bersama mereka” katanya lagi. 


BSN memaklumkan seramai 3.83 juta penyimpan dalam BSN SSP dengan jumlah simpanan RM5.46 bilion. Di Selangor sahaja, jumlah penyimpan adalah seramai 407,318 individu dengan jumlah RM651 juta.


Terdahulu, BSN memaklumkan seramai 3.83 juta penyimpan dalam BSN SSP dengan jumlah simpanan RM5.46 bilion. Di Selangor sahaja, jumlah penyimpan adalah seramai 407,318 individu dengan jumlah RM651 juta. 

Semoga niat suci Cikgu Azraien diberkati dan terus dimurahkan rezeki. Tahniah cikgu! - KitaReporters

13
14
0
7
0
You will be interested