Insan & Komuniti 10 Dec, 2024

Sembang-Sembang| Video| Indahnya perkahwinan! Amanah daripada Allah! Tanda kasih, penyatuan dua hati!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this



Cantiknya seorang isteri bila cantik juga luaran dan dalamannya. Hebatnya seorang suami bila dengan ikhlas melaksanakan tanggungjawab dan kewajipannya terhadap isteri dan rumah tangga. 

Rumah tangga bukan sekadar cinta dan kasih sayang tetapi amanah daripada Allah di mana suami isteri mestilah mempunyai hubungan dan pergaulan yang baik dan harmoni serta saling kasih mengasihi. 

Hanya pasangan suami isteri tahu hati budi antara satu sama lain. Saling percaya mempercayai menjadi antara sikap yang perlu ada antara suami isteri supaya keharmonian di dalam hidup berumah tangga terjamin. 

Jika tidak macam-macam masalah akan timbul. Banyak duka daripada gembira. 

Kalau masa bercinta kita faham sikapnya, setelah hidup bersama mesti lebih faham kerana faham memahamiantara satu sama lain adalah sikap yang perlu ada pada diri setiap pasangan suami isteri. 

Isteri bukan orang gaji. Suami pula bukan tuan. Kedua-duanya adalah ketua (si suami) dan pengurus (si isteri) dalam rumah tangga. 

Pincangnya rumah tangga dan kehidupan berkeluarga disebabkan kelemahan ketua keluarga (yakni suami) dan pengurusnya (yakni isteri).

Hancurnya sebuah perkahwinan bila kesetiaan tercalar. Musnahnya cinta dan kasih bila kepercayaan sudah hilang.

Bahagia rumah tangga kerana setia. Kerana tahu tanggungjawab. Kerana saling lengkap melengkapi. Kerana sayang sampai ke mati. Kerana iman sarat di hati

Dan yang cantiknya bila pasangan yang dipilih kerana Allah Taala bukan kerana harta. 



Perkahwinan satu perkongsian, bertimbang rasa dan bertolak ansur. Cinta selagi daya, bahagia biar sampai ke syurga. 

Hendak bahagia bukan boleh terus jadi serta-merta. Tidak kira dalam rumah tangga atau keluarga. Mesti ada cara, tidak boleh tunggu. Tapi perlu dicari, digali. 

Perhubungan bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak cabaran dan rintangan. 

Kebanyakan orang yang bahagia kerana mereka banyak berusaha, saling memahami, dan memiliki kesabaran yang tinggi untuk mencapai bahagia itu.

Biarpun bahagia itu subjektif, ia sangat sempurna untuk sebuah kehidupan terutama buat pasangan suami isteri. 

Ramai yang tidak bahagia dengan hubungan mereka kerana mereka tidak ingat berapa kali mereka berusaha untuk mengekalkan hubungan agar sentiasa bahagia apabila berlaku masalah. 

Bergaduh, tetapi tidak akan melampaui batas adalah rencah dalam rumah tangga, ia sebahagian daripada perhubungan yang sihat. Bergaduh itu normal. 

Namun apa yang membezakan dengan hubungan bahagia ialah, kawal jangan sampai melarat.

Setiap pasangan perlu ingat, menghina satu sama lain atau mengungkit masalah lama tidak perlu sama sekali. Tetapi lebih manis jika berusaha dan berbincang secara baik tanpa melukakan perasaan pasangan.

Pada masa sama, memuji satu sama lain juga kaedah terbaik menjaga keharmonian pasangan. 

Memberi pujian ikhlas dan ringkas sebenarnya memberi kesan yang sangat mendalam. Jangan malu, itu hak anda yang tidak patut dipersia. 

Setiap hari pujilah mereka. Bukan hanya tentang paras rupa, tetapi juga masakan, hiasan rumah atau lain-lain yang perlu.

Pujian membuatkan pasangan merasa mereka dihargai. Beri hadiah juga salah satu cara mencari bahagia. 

Pada masa sama, fokus kepada perkara positif, bukan negatif. Ia membantu pasangan menikmati bahagia yang berpanjangan.

Ini juga satu sikap yang meningkatkan kehangatan, kemesraan dan perasaan kasih sayang antara pasangan. Dan tentunya agama menjadi petunjuk kebahagiaan azali. Bahagia dunia akhirat.



Ingatlah...

Pasangan bahagia tidak takut atau malu menunjukkan kemesraan mereka terhadap satu sama lain di tempat umum asalkan tidak keterlaluan. 

Pegang tangan pasangan dan peluk mereka akan membawa hubungan anda dan pasangan lebih mesra.

Pasangan yang bahagia akan berterus terang dengan apa yang mereka perlukan. Mereka tidak akan menjadikan pasangan dalam keadaan serba salah. 

Sentiasa berharap pasangan faham keperluan antara sama lain dan bersikap terbuka.

Selalu berusaha untuk mengutamakan masa bersama dan berterusan membaiki dan meningkatkan kualiti hubungan adalah tindakan terbaik. 

Jangan tunggu sampai kehilangan nilai keseronokan dan semangat untuk lebih berkasih sayang dalam perhubungan.

Jangan meragui kesetiaan pasangan tanpa bukti. 

Ingatkan pasangan, kalian di pihak yang sama dan saling mengambil berat antara satu sama lain. Jaga hati masing masing. 

Memberikan pasangan anda kelebihan untuk tidak meragui adalah kekuatan kepada hubungan yang bahagia.

Pandai menjaga hati pasangan akan melengkapkan sebuah kebahagiaan yang berkekalan dan mendapat keberkatan Allah. 

Pada akhirnya, kemaafan jalan terbaik memulihkan hubungan. Tutup buku lama. Buka helaian baru. Babak demi babak. Lupakan yang lalu. 

Jadikan setiap hari satu pertemuan baharu yang mahal harganya. Kenang momen manis. Saat mula berkenalan, berkasih dan bercinta sehingga bersatu sebagai suami isteri. 

Sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pula suami isteri. Setiap orang berhak diberi peluang kedua. Takdir jadi penentu. Tapi tidak salahkan berdamai dengan dengan takdir? - KitaReporters



10
18
0
14
0
You will be interested