Insan & Komuniti 14 Jul, 2024

Sembang-Sembang| Betul ke? Bukan nak mengata tapi cerita saja! Bukan nak mengungkit atau mendengki?

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Bukan hendak mengata. Tapi nak cerita sahaja. Hendak bagi tahu perangai dia. Bukan apa, meluat dah tengok. Perangai dia yang sudah berubah. 

Kita tahu dia lebih senang daripada kita. Tapi jangan lupa diri. Dia senang pun sebab kita bantu dengan izin Allah. Bukan mengungkit. Jauh sekali berdengki. Malah kita bersyukur sebab rezeki dia lebih daripada kita. 

Tetap kita bercakap benda yang betul. Sekadar hendak luahkan perasaan sebab nak ubat hati yang sakit. Perit sebab perbuatan dia. Lupa kawan bila sudah senang. 

Kita tak hendak menumpang pun kesenangan dia. Syukur dengan rezeki yang Allah bagi kita. Cukup seadanya. 



Kes di atas antara topik perbualan bila berkumpul beramai-ramai dengan geng membawang. Jika positif diambil alhamdulillah… Jika sebaliknya cepat bertaubat. Kembali ke pangkal jalan. 

Mulai sekarang, hentikan tabiat membawang. Bila berkumpul dengan kawan-kawan, jaga lidah. Jaga percakapan jangan sampai jatuh mengumpat. 

Apabila berkumpul ramai-ramai dan ada yang mula buka cerita, jangan hendak tambah skrip. Ingat Allah. Sedarlah yang kita ni pun sama taraf dengan orang yang diumpat. Kita juga hamba Allah. 

Masing-masing ada kekurangan. Cepat-cepat istighfar, sambil tegurlah kawan yang sedap menganyam ketupat itu supaya berhenti menokok tambah cerita. 

Kalau tak dapat juga kawal keadaan, sebaiknya kita pergi dari tempat itu dengan berhemah. Minta diri dengan sopan dan beralasan munasabah. 

Dalam situasi ini, tengok kelemahan kita juga. Kalau yang menjadi tukang karutnya kawan baik kita, cuba ajak dia bercerita tentang kelemahan diri masing-masing. 

Bila kita bercerita tentang baik buruk diri kita secara tidak langsung kita pun akan sedar yang banyak juga kekurangan diri kita yang kita tidak nampak. Cuba lihat tepi kain sendiri, masih elok atau sudah koyak, atau terbertas benang di mana-mana. 

Sebab itu kita perlu dua telinga, kita kena mendengar dua kali dulu sebelum bercakap sesuatu. Jangan main redah ikut sedap mulut sahaja. 



Ingatlah, bila hendak mengata orang cuba bayangkan kita berada di tempat orang yang hendak kita mengata itu. 

Apa salah kita doa yang baik baik untuk orang itu dan  sesiapa sahaja supaya mereka dirahmati Allah SWT termasuk juga diri kita. 

Cuba kita ubah pemikiran kita, bila kita diumpat, bermakna ada orang ambil berat, ada orang cuba memberi ingat, bagi pandangan. 

Supaya kita terasa dekat dengan Tuhan. Dengan niat untuk pelihara diri dan jaga ukhwah sesama saudara. Jaga silaturahim supaya jangan putus. 

Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang bersyukur. Setiap yang bersyukur akan sentiasa ingat kepada yang memberi.

Kejayaan dan kegagalan adalah sebahagian kisah dalam hidup kita. Kedua-duanya hanyalah sementara. Sampai masa, hilang semuanya. 

Pedulikan apa orang lain hendak kata. Bahagia atau deritanya hidup kita, hanya kita yang tahu. Apa yang kita rasa, kita harus lalui. Hanya kita dan Allah sahaja yang tahu. 

Dia menguji mengikut kemampuan kita kerana sayang. Orang hanya melihat, kita yang menanggung dan merasa.

Oleh itu jom kita istiqamah. Perbaiki kelemahan dan kekurangan. 

Kawal diri dan ingat selalu yang buruk itu daripada kelemahan kita dan yang baik pula daripada Allah SWT. - KitaReporters


9
16
0
9
0
You will be interested