Insan & Komuniti 19 Jun, 2024

Diari Mama Masscom! Hidayah milik Allah! Bekas penghuni Puspen insaf! Jumpa dua anak di pusat sama!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Sebuah dewan di pusat pemulihan dadah. - Gambar hiasan



Hidayah Allah tidak memilih tempat, bangsa dan agama. Kisah yang akan penulis ceritakan pada kali ini ialah mengenai seorang bapa yang telah dimasukkan ke pusat pemulihan dadah dan bertemu dengan dua anak remaja lelakinya di situ. 

Kisah ini saya perolehi sewaktu membuat kajian bersama pelajar saya di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Chow Kit, Kuala Lumpur kra-kira 10 tahun lalu.  

Lelaki yang telah menjadi jurulatih di pusat pemulihan dadah berkenaan memberitahu, turning point atau titik perubahan Allah jentik hati dia untuk berubah dan insaf bila dia bertemu dua anak lelakinya di pusat pemulihan itu. Ketika itu dia rasa sungguh sedih dan merasakan dialah bapa yang tidak berguna untuk anak-anaknya.

Pada waktu yang sama, dia juga sedang menjalani pemulihan di pusat pemulihan dadah berkenaan. 

Bermula dari saat itu, dia bertekad untuk menjalani pemulihan bersama anak-anaknya dan cuba mendekati mereka di pusat pemulihan berkenaan. 

Beliau telah memeluk agama Islam dan dipilih menjadi jurulatih di pusat berkenaan kerana menunjukkan sikap yang baik dan telah bebas daripada dadah dan turut menjadi motivator untuk penagih dadah yang menjalani pemulihan di situ.



Menurut Ahmad (bukan nama sebenar) beliau telah terjebak dengan najis dadah sejak pada usia muda lagi. Ibunya adalah orang yang paling banyak membantunya untuk keluar daripada kancah ketagihan dadah. Namun bukan mudah untuk keluar dari dunia ketagihan apabila telah mengambil dadah sejak di bangku sekolah lagi. 

Mengimbau kisah silamnya, dia telah berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak. Namun disebabkan ketagihannya dia selalu memukul isteri dan tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa.

Dia telah ditangkap dalam satu serbuan dadah dan dimasukkan ke pusat pemulihan dadah. Perkara paling sedih dia rasai ketika berada di dalam pusat pemulihan berkenaan ialah apabila ibunya meninggal dunia dan dia tidak dapat melawat jenazah ibunya.

Ketika itu dia berasa sangat kesal dan menyalahkan dirinya kerana terjebak dengan najis dadah. Dia telah putus hubungan dengan keluarga sewaktu dimasukkan di pusat berkenaan. 

Namun satu peristiwa yang membuatkan dia betul-betul insaf ialah apabila ketika dia menjalani pemulihan dan dia berjumpa dengan dua anak lelakinya yang turut sama menjalani pemulihan di situ.



Tidak dapat dibayangkan perasaan dia ketika itu. Perasaan bersalah yang teramat sangat menyelubungi dirinya. Dia sedih melihat dua anak lelakinya turut terjebak dengan dadah dan kedua-duanya juga menjalani pemulihan yang sama dengannya. 

Melihat kesukaran anak-anaknya untuk "bercerai" daripada dadah sangat meruntun jiwa dan perasaannya. Dia rasa sangat bersalah kerana menjadi ayah yang tidak bertanggungjawab. 

Dia sedih memikirkan kesukaran isterinya yang terpaksa membesarkan anak-anaknya seorang diri sedangkan dia beberapa kali keluar masuk ke pusat pemulihan berkenaan. 

Dari situ dia berjanji untuk terus menjalani pemulihan untuk menjadi orang yang lebih baik dan tidak lagi mahu mengulangi kesilapan besar itu. Ahmad yang berbangsa India telah memeluk agama Islam di pusat berkenaan. 

Selepas itu, dia banyak membantu AADK dalam memberi latihan dan motivasi kepada penghuni pusat pemulihsn dadah. Penulis masih ingat cara Ahmad memberikan ceramah dan motivasi kepada kami sangat terkesan di hati saya dan pelajar pelajar saya ketika itu. 

Apa yang boleh saya kongsi di sini ialah, adakalanya hidayah dan jalan kebaikan yang Allah beri telah menjadikan seseorang itu menjadi lebih baik dan menjadi taulaan yang baik. 

Adakalanya kesilapan-kesilapan masa lalu adalah batu loncatan untuk kita memuhasabah diri dan mencari keredaahn ilahi. 

Ahmad menjadapat hidayah menjadi seorang Islam dan dia turut menjadi role model kepada mereka yang ingin berhijrah dan berubah ke arah yang lebih baik. - KitaReporters



16
13
0
14
0
You will be interested