Insan & Komuniti 25 May, 2025

Selamat perayaan Pesta Kaamatan, Hari Gawai! YKM ke Sabah! Santuni keluarga dan penerima bantuan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai pada 30 Mei 2025 ini merupakan sambutan penting yang diraikan pada setiap tahun oleh masyarakat Kadazan Dusun, Murut dan Rungus di Sabah.

Sehubungan dengan itu, Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) telah berkunjung ke Negeri di Bawah Bayu ini pada 23 Mei 2025 bagi menyantuni keluarga-keluarga yang akan menyambut Pesta Kaamatan dan juga yang telah menerima bantuan YKM.

Salah seorang penerima bantuan YKM yang menyambut Pesta Kaamatan adalah Arvina Chris Nolvi di Kampung Kilirip Kinarut, Papar bersama-sama empat orang anaknya yang masih bersekolah.

Arvina yang tiada pendapatan tetap telah kehilangan suami, Henry Anak Bisara akibat COVID-19 pada 15 Februari 2022. 

Suri rumah tersebut hanya mengharapkan bantuan bulanan YKM bagi mengharungi kehidupan membesarkan anak-anak yang masih di bawah tanggungannya.



Pengerusi YKM, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang menyantuni keluarga itu berkata ini adalah amalan dan tradisi yang telah digerakkan oleh YKM pada setiap musim perayaan penting yang disambut oleh Keluarga Malaysia, termasuk mereka yang menetap di Borneo.

“Penerima YKM berada di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan. Setiap kali musim perayaan penting, YKM akan mengadakan ziarah kasih dan menghulurkan sumbangan bagi memastikan setiap penerima YKM dapat menyambutnya dengan kegembiraan bersama seluruh ahli keluarga.

“Ziarah Kasih hari ini juga membuktikan komitmen berterusan YKM yang bersifat inklusif, tanpa ada mana-mana keluarga yang terkesan akibat COVID-19 terpinggir atau tertinggal daripada menerima bantuan YKM.” tambah beliau lagi.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri I dan Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Norubit @ Nerubi.



Sejurus melawat rumah Arvina, YKM turut melawat keluarga Husidah Ahali di Kampung Pomotodon Inanam, Kota Kinabalu yang juga salah seorang penerima bantuan YKM. 

Husidah yang kehilangan suami akibat COVID-19 kini menyara empat orang anak dengan sumber pendapatan sebanyak RM400 sebulan daripada jualan kuih-muih.

Ziarah kasih di Sabah ini diakhiri dengan mengunjungi keluarga Maslinah Abdul Manaf dari Kampung Inanam Laut, Kota Kinabalu yang turut kehilangan suami akibat COVID-19 pada 15 Ogos 2021. 

Maslinah yang juga peniaga dalam talian menggunakan platform tersebut sebagai salah satu sumber pendapatan selain bantuan YKM untuk meneruskan kehidupan seharian.



Pada masa sama, YKM turut menyalurkan bantuan perayaan kepada 14 penerima bangsa Dayak sempena Hari Gawai yang akan jatuh pada 1 Jun 2025.

Pengerusi YKM juga berharap setiap pihak termasuk komuniti setempat terutama di kawasan pedalaman untuk membantu menyampaikan maklumat mengenai bantuan ini kepada golongan yang terkesan akibat COVID-19 dan menghubungi YKM melalui emel admin@yayasankeluargamalaysia.org.my atau hubungi di talian 03-22027493. - KitaReporters/Kenyataan Media

9
10
0
10
0
You will be interested