Insan & Komuniti 17 Mar, 2025

Catatan Akademik| Adakah harga daging lembu sempena Aidilfitri kekal? Harap kerajaan buat pemantauan!

@samsudin oli mohamed
Samsudin Oli Mohamed ialah seorang pengamal media berpengalaman dengan 40 tahun dalam bidang penulisan berita. Beliau pernah bertugas di Balai Berita Berita Harian Kuala Lumpur dan juga sebagai wartawan bebas. Samsudin memiliki Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Kini, beliau dilantik sebagai Pengarang Kitareporters.com, seperti yang diumumkan oleh Ketua Pengarang Gamal Nasir.

Share this


Oleh MUHAMMAD AIZAT MD SIN

Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) 


Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 rakyat Malaysia tertanya-tanya sama ada harga daging lembu akan kekal pada kadar promosi RM100 untuk empat kilogram atau mengalami kenaikan akibat permintaan tinggi. 

Fenomena kenaikan harga bahan mentah terutama daging lembu menjelang musim perayaan bukanlah sesuatu yang baharu malah sering menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan pengguna dan peniaga.



Berdasarkan trend pasaran harga daging lembu lazimnya meningkat menjelang musim perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, yang dipengaruhi faktor permintaan tinggi serta kos pengeluaran dan bekalan. 

Walaupun terdapat jangkaan bahawa harga daging mungkin dikekalkan pada kadar promosi, ramai pihak masih ragu-ragu sama ada ia dapat direalisasikan dalam keadaan pasaran semasa.

Ketika bertanya kepada penjual daging di negeri ini, rumusannya ialah kenaikan harga daging lembu telah mula dirasai dalam beberapa minggu terakhir akibat bekalan yang semakin berkurangan dari sumber tempatan dan luar negara.

Kata mereka, mereka terpaksa menyesuaikan harga mengikut pasaran. 

Harga RM100 untuk empat kilogram mungkin boleh dikekalkan tetapi ia bergantung kepada kestabilan bekalan menjelang Hari Raya.



Manakala, Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Prof. Madya Dr. Ahmad Shabudin Ariffin yang ditemui turut memberikan pandangannya mengenai isu ini. 

Beliau menjelaskan bahawa harga daging lembu yang lebih rendah sememangnya memberi manfaat kepada pengguna terutama golongan berpendapatan rendah serta meningkatkan persaingan antara penjual. 

“Namun, jika harga diturunkan secara drastik ia boleh mencetuskan persaingan tidak sihat dalam kalangan peniaga kecil yang sukar menandingi kuasa perniagaan besar, sekali gus memberi kesan negatif terhadap kestabilan ekosistem industri,” katanya.


Dalam kalangan pengguna pula ramai yang berharap agar harga daging lembu tidak mengalami lonjakan mendadak kerana ia merupakan bahan asas dalam penyediaan juadah hari raya seperti rendang dan sup tulang.

Secara keseluruhannya walaupun terdapat kebimbangan mengenai potensi kenaikan harga daging lembu sempena Aidilfitri 2025, kerajaan dan pihak industri dijangka terus memainkan peranan dalam mengawal harga serta memastikan bekalan mencukupi. 

Pengguna juga disarankan untuk merancang pembelian lebih awal bagi mengelakkan kesan kenaikan harga pada saat akhir menjelang perayaan. 

Situasi pasaran akan terus dipantau bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin sepanjang musim perayaan ini.


Muhammad Aizat Md Sin ialah Pensyarah Fakultii Perniagaan Dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ). Artikel ini adalah pandangan penulis.


15
8
0
16
0
You will be interested