
Ahli Jiran Wanita KRT Zon Bandar Sungai Buaya menyiapkan bahan untuk membuat biskut raya.
Keberkatan Ramadan dan ibarat peribahasa Melayu, ‘Muafakat membawa berkat’, itu kata-kata yang boleh digambarkan apabila hasrat untuk mengadakan Program Gotong-Royong Buat Biskut Raya akhirnya tercapai.
Program anjuran Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Zon Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor menerusi Jiran Wanita KRT itu berjaya menarik 25 peserta dari lapan cawangan KRT untuk mengikuti aktiviti berkenaan.
Pengerusi KRT Persiaran Bakawali, memerangkap penyelaras program, Zaiton Ishak, berkata program yang julung kali itu walaupun perancangannya agak singkat iaitu pada minggu lalu akan tetapi dengan galakkan daripada Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Selangor, Nor Faizah Kamaruddin di samping komitmen semua pihak akhirnya berjaya dilaksanakan.

Ahli Jiran Wanita KRT bergotong-royong sambil belajar membuat biskut raya.
Program yang diadakan di Pusat Komuniti KRT Kasturisari Presint 14 itu, membabitkan wakil Jiran Wanita dari KRT Mawarsari, Kasturisari, Kembojasari, Melursari, Melatisari 2, Melatisari 3, Kantan Cempaka dan KRT Persiaran Bakawali selaku penaja yang semuanya dari KRT Zon Bandar Sungai.
Menurut Zaiton, program berkenaan juga bertujuan melatih Jiran Wanita berdikari dalam persiapan membuat biskut raya, di samping membimbing mereka dengan membuka peluang untuk menjana pendapatan sekali gus bakal melahirkan usahawan berjaya dalam kalangan wanita.
Menariknya semua kos perbelanjaan penyediaan bahan dan peralatan memasak dikongsi bersama dan selepas siap dimasak biskut itu diagihkan kepada peserta yang hadir.

Nor Faizah Kamaruddin (lima dari kiri) merakamkan kenangan bersama peserta Program Gotong-Royong Buat Biskut Raya.
Berucap pada majlis penutup program itu, Nor Faizah mengucapkan tahniah kepada KRT Zon Bandar Sungai Buaya melalui Jiran Wanita kerana buat kali pertama berjaya mengumpul lapan cawangan KRT bagi melaksanakan program berkenaan.
Menurutnya, memang menjadi matlamat jabatan berkenaan mengalakkan aktiviti seperti itu dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang mungkin dengan menarik lebih ramai penyertaan termasuk dalam kalangan generasi muda.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada KRT Kasturisari kerana menjadi tuan rumah dan menyediakan tempat yang selesa bagi peserta menjalankan aktiviti kerana ia juga mampu ke arah memupuk semangat muhibah dan perpaduan pelbagai kaum,” ujarnya. - KitaReporters

Ahli Jiran Wanita bersama biskut raya yang dapat disiapkan dalam program itu.