Insan & Komuniti 10 Jun, 2025

Video| Allahuakhbar! Pekerja warga asing solat raya tepi landasan! Tanggungjawab tetap ditunaikan!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. đź“§: akmar_mm@yahoo.com

Share this


Pada 7 Jun 2025 lalu, rakyat Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha. Walaupun cuti agak pendek kerana Aidiladha jatuh pada hari Sabtu, ia tidak menghalang orang ramai pulang ke kampung dan melakukan ibadah korban. Ada yang mengambil cuti awal kerana tidak mahu tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

Namun, dalam kemeriahan menyambut perayaan tersebut, masih ramai yang tidak dapat bercuti terutama pekerja warga asing beragama Islam. Sungguhpun bekerja, hal tersebut tidak menghalang mereka turut sama meraikan walaupun di tempat kerja.



Kebanyakan pekerja warga asing beragama Islam akan turut sama memeriahkan masjid untuk menunaikan solat sunat Aidiladha. Kalau tidak dapat menunaikan di masjid, mereka akan dirikan solat sunat di tempat mereka bekerja.

Inilah yang cuba dikongsikan oleh seorang pemuda apabila para pekerja warga asing yang terlibat dengan pembinaan landasan kereta api East Cost Rail Link (ECRL) tetap merai dan mendirikan solat sunat Aidiladha di tepi landasan kereta api yang masih dalam pembinaan.



Video yang dikongsinya menarik perhatian para netizen sehingga mendapat lebih 34.2 ribu jumlah tontonan. Bukan sahaja netizen terpesona dengan ketaatan pekerja warga asing tersebut, tetapi juga buat pemuda yang berkongsi video berkenaan.

Ini kerana pemuda atau pemilik akaun TikTok tersebut merupakan Orang Asli yang bukan beragama Islam. 

Menurut empunya diri, Ezad, dia sangat memahami dan menghormati ajaran dan budaya masing-masing. Begitulah sepatutnya sebagai rakyat yang tinggal di negara berbilang kaum dan agama. 

“Walaupun berlainan agama tetapi tetap saling hormat pada ajaran dan budaya masing-masing,” tulisnya ringkas tapi bermakna.


 



Dalam video yang dikongsi, kelihatan pekerja warga asing sedang menunaikan solat sunat Aidiladha di tepi landasan kereta api. Walaupun terpaksa bekerja ketika orang lain bercuti, mereka tidak melupakan tanggungjawab sebagai orang Islam.

Ketika membalas komen salah seorang netizen yang terpesona melihat situasi tersebut, Ezad menjelaskan walaupun dia dan salah seorang pekerja dari China mahu menggunakan jalan tersebut, namun dia sanggup menunggu sehingga para pekerja selesai solat.



“Ya kak. Sebab itu mereka minta kat situ nak buat solat jemaah. Jadi kita orang dengan chinaman setuju je walaupun kita orang nak guna jalan tu. Kita orang tunggulah sekejap sampai mereka selesaikan ibadah mereka,” jelasnya.

Seorang lagi netizen mengucapkan terima kasih kepada Ezad kerana begitu memahami dan sangat menghormati kepercayaan agama lain. 

“Terima kasih dik sebab sama-sama menghormati sesama kita yang berlainan agama dan warganegara,” tulis netizen tersebut.


 



Sementara itu ada juga netizen mencadangkan agar para pekerja tersebut dibawa ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidiladha. Namun, menurut Ezad, masjid terletak jauh dari tempat mereka bekerja. Atas sebab itu, mereka mendirikan solat sunat secara berjemaah di tepi landasan sahaja.

“Jauh bang. 20 kilometer nak keluar. Lagipun pemandu Islam semua cuti. Saya yang bukan Islam je kena masuk kerja. Nak hantar naik lori bahaya bang. Jadi mereka minta nak buat solat jemaah kat situ je,” terangnya. - KitaReporters


10
8
0
11
0
You will be interested